DALAM kehidupan masyarakat, judi tidak dapat dihapus atau dipisahkan. Di negara kita sendiri judi sudah lama bersarang dalam berbagai bentuk, kecil dan besar. Dari penjualan 4 nombor ekor, Magnum, toto, tiket loteri kebajikan masyarakat (yang terkenal tahun-tahun 60-an), laga ayam, laga lembu hinggalah ke perjudian yang besar dan kemuncaknya ialah pusat judi di Genting Highland, Pahang yang terkenal itu. Dikalangan ‘orang-orang kecil’ judi berkembang melalui permainan poker (daun terup), main mahjung (permainan judi orang Cina) yang turut ditumpang oleh orang-orang Melayu dan permainan judi lainnya. Bagaimana dengan Islam? Tentu saja melarang dan mengharamkannya. Pelarangan ini disebutkan dalam al-Quran yang ertinya, “Mereka bertanya kepadamu tentang khamar dan judi. Katakanlah: “Pada keduanya itu terdapat dosa besar dan beberapa manfaat bagi manusia tetapi dosa keduanya lebih besar dari manfaatnya.” (Al-Baqarah: 219) Sedang Nabi s.a.w. bersabda, “Barang siapa berkata kepada rakannya: mari bermain judi, maka hendaklah ia bersedekah.” (HR. Bukhari dan Muslim) Judi dilarang kerana dalam persepsi Islam dapat mendatangkan dua kesan buruk. Pertama, efek dalam dimensi sosial berupa permusuhan dan kebencian. Kedua, efek dalam dimensi agama berupa menghalang-halangi upaya seseorang untuk mengingat Tuhannya dan menegakkan solat. Sedangkan Prof. Dr. Yusuf Al-Qardhawi dalam bukunya, Halal dan Haram dalam Islam, menulis bahawa larangan judi tersebut kerana mengandung beberapa hikmah yang dikandungnya, iaitu: Pertama, seorang muslim hendaknya mengikuti sunnatullah dalam bekerja mencari wang, dan mencarinya dimulai dari pendahuluan-pendahuluannya. Masukilah rumah dan tunggulah hasil (musabbab) dari sebab-sebabnya. Sedang judi dapat menjadikan manusia hanya bergantung kepada pembahagian, sedekah dan angan-angan kosong; bukan bergantung kepada usaha, aktiviti dan menghargai cara-cara yang telah ditentukan Allah, serta perintah-perintahNya yang harus diturut.
Kedua, Islam menjadikan harta manusia sebagai barang berharga yang dilindungi. Oleh kerana itu, tidak boleh diambil begitu saja, kecuali dengan cara tukar-menukar sebagai yang telah disyariatkanNya, atau dengan jalan hibah dan sedekah. Ketiga, perjudian itu dapat menimbulkan permusuhan dan pertentangan antara pemain-pemain itu sendiri, kendati nampak dari mulutnya bahawa mereka telah saling merelakan. Sebab bagaimana pun akan selalu ada pihak yang menang dan yang kalah, yang dirampas dan yang merampas. Keempat, kerugiannya mendorong pihak yang kalah untuk mengulangi lagi, barangkali dengan ulangan yang kedua itu dapat menutup kerugiannya yang pertama. Sedang yang menang, kerana didorong oleh lazat menang, maka ia tertarik untuk mengulangi lagi. Kelima, hobi ini merupakan bahaya yang mengancam masyarakat dan peribadi.
Seterusnya dapatkan Hidayah Mei 2010 di pasaran...
Tuesday, May 4, 2010
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment