SETIAP KEMATIAN ADA IKTIBARNYA
Saudara pengarang,
Kisah iktibar 1 yang dipaparkan oleh Hidayah dalam keluaran April 2010 lalu menginsafkan saya. Tajuknya: ‘Mata dan Hidung Berdarah Saat Sakaratul Maut.’ Memanglah setiap kematian itu ada pengajarannya. Apa yang sebenarnya berlaku kepada pemuda itu yang matanya dan hidungnya mengeluarkan darah ketika hadapi sakaratul maut itu memang mengerikan. Dari segi perubatan, ada kemungkinannya juga darah yang keluar itu disebabkan bahana minuman keras yang berlebihan yang diambil oleh si mati. Ada kemungkinan juga disebabkan keterlaluan merokok atau pengambilan dadah yang berlebihan. Tak boleh dinafikan bahawa perbuatan maksiat yang dilakukan di akhir hayat seperti menonton vcd porno dan pergaulan bebas lelaki perempuan memberi kesan ‘bala’ kepada si mati. Rasanya andaian-andaian seumpama ini saja sudah memberi kesan menakutkan kepada kita. Saya membayangkan perbuatan menonton vcd lucah ini merupakan gejala yang banyak melibatkan generasi muda yang tanpa kawalan ibu bapa atau keluarga. Alangkah rendahnya moral anak-anak muda yang terjebak dalam perbuatan melempiaskan nafsu serakah mereka. Adalah menjadi tanggungjawab kita sebagai ibu bapa untuk memantau segala aktiviti anak-anak muda kita agar mereka tidak mudah terjebak dalam kegiatan yang bergelomang dosa ini. Harap Hidayah dapat terus memaparkan kisah-kisah masyarakat seperti ini untuk dijadikan iktibar kita bersama.
Sahlan Abdul Razak,
Arau, Perlis.
• Semoga keinsafan yang anda rasakan itu turut dirasai oleh para pembaca lainnya. Bersama-samalah kita memetik manfaatnya. - Pengarang
WASPADALAH DALAM KEHIDUPAN DUNIA ARTIS
Saudara pengarang,
Dunia artis memanglah penuh dengan warna warninya. Penuh dengan keseronokan dan keindahan. Semasa nama sedang popular, dirinya disanjung dan dimuliakan. Kemerduan suaranya menjadi hiburan ribuan dan jutaan peminat. Dan si artis juga tenggelam dalam pujian dan sanjungan para peminatnya. Malah ada kalangan artis yang namanya turut disanjung-sanjung walaupun telah sekian lama disemadikan ke alam barzakh. Malangnya ada kalangan artis ini (penghibur yang berjuang atas nama seni ini) lupa diri dengan kemasyhuran diri. Terpesona dengan kecantikan diri dan sanjungan para peminat. Ada antaranya yang lupa untuk menunaikan tanggungjawab sebagai umat Islam. Lupa bersolat, berpuasa dan sebagainya. Lebih malang lagi ada yang berazam untuk meneruskan kerjaya mereka hingga ke akhir hayat. Gambaran kehidupan artis ini yang lupa diri kerana mengejar populariti dapat diikuti melalui Iktibar 3 bertajuk ‘Kisah Pilu Penyanyi Ronggeng’ yang tersiar dalam Hidayah April 2010 lalu (halaman 22). Andainya ada kalangan artis-artis tempatan kita yang berkesempatan membaca kisah tersebut semoga dapatlah mengambil iktibar apa yang berlaku terhadap penyanyi ronggeng itu. Semoga.
Anisah Haji Ramli,
Alor Gajah, Melaka.
• Mahunya begitulah. Kehidupan kita bukan berakhir di dunia ini semata-mata. Kehidupan lebih panjang dan berkekalan bermula di alam barzakh nanti. – Pengarang.
HIDAYAH ‘MENGHIBUR’ JIWA
Saudara Pengarang,
Sebagai pekerja pembantu rumah di Singapura, saya juga berkesempatan membaca majalah Hidayah. Bagi saya Hidayah yang saya beli setiap bulan menjadi ‘penghibur’ kepada jiwa saya dalam menjalani kehidupan di negara orang. Untuk makluman tuan, saya bekerja dengan sebuah keluarga dan khusus menjaga ibu kepada majikan saya. Pekerjaan saya ini memerlukan kesabaran dan ketabahan dalam menghadapi kerenah ahli keluarga majikan. Namun saya bersyukur kerana dapat mencari rezeki di sini. Hidayah disamping menghibur hati, juga memberi kekuatan dalaman kepada saya dalam menghadapi cabaran hidup. Banyak rencananya yang bermanfaat boleh dijadikan panduan dan iktibar. Saya suka membaca rencana-rencana yang berkaitan dengan akhirat kerana ianya disampaikan secara sederhana dan mudah difahami. Suka juga saya mengesyorkan agar ruangan ‘jenaka’ ditambah halamannya menjadi empat halaman. Walaupun ruangan ini pendek, tapi bagi saya ada kesegaran jiwa apabila mengikutinya. Kalau boleh sertakanlah dengan kartun-kartun jenaka.
Gadis pembantu rumah,
Singapura.
• Pembaca terbaik ialah yang dapat mengambil manfaat dan renungan dari apa yang dibacanya. Anda adalah seorang daripadanya. – Pengarang.
KENAL HIDAYAH KERANA KAWAN
Saudara pengarang,
Saya mula mengenal Hidayah hanya beberapa keluaran kebelakangan ini. Itupun secara kebetulan, seorang teman saya memperkenalkan majalah Hidayah ini kepada saya ketika kami sedang makan tengah hari di sebuah restoran. Saya tanya dia apakah isi majalah yang dia selalu bawa ketika makan. Dia jawab ini majalah bercorak agama. Cerita pasal mati, pasal kubur, pasal sembahyang dan bab-bab agama lain lagi. “Kau jangan ingat dunia saja. Pasal akhirat pun kau kena ambil tahu dan ambil berat,” nasihatnya sambil merokemenkan Hidayah kepada saya. Dia meminjamkan Hidayah tersebut buat beberapa hari. Apabila saya membelek dan meneliti dari halaman ke halaman, memang benarlah sebagaimana yang dikatakannya. Dulu saya lihat juga majalah ini. Melihat kaitan kulit depannya selalu cerita pasal orang mati saya fikir majalah ini macam majalah misteri saja. Tapi rupanya isinya lain. Sekarang saya berlanggan Hidayah setiap bulan. Tak puas-puas saya membacanya. Saya berharap Hidayah dapat tambah halaman lagi menjadi 200 muka ke agar banyak lagi rencana-rencana bermanfaat dapat disiarkan setiap keluarannya.
Rahayu Effendi,
Seremban, Negeri Sembilan.
• Benarlah kata orang, tak kenal maka tak cinta. Harapnya anda juga turut dapat memperkenalkan majalah Hidayah ini kepada kawan-kawan yang lain pula. Boleh tambah pahala tu... – Pengarang.
Tuesday, May 4, 2010
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment