ASSALAMUALAIKUM WR.WBT.
SEGALA puji dan syukur kita ke hadapan Allah s.w.t. serta salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w. Hidayah yang anda tatap kali ini telah memasuki bilangan 141. Ibarat kehidupan kanak-kanak, Hidayah kini sedang melangkah usia remajanya. Kalau murid sekolah, dah mula bersiap ke tingkatan 1. Bagi karyawan Hidayah, angka bilangan ini memberi erti yang besar dalam kerjaya kami. Ianya begitu sentimental. Betapa tidak...ianya melambangkan hubungan erat dengan sokongan pembaca yang kian meningkat terhadap majalah bercorak dakwah ini. Tanpa sokongan pembaca, Hidayah tidak akan sampai ke tahap ini. Terbukti konsep yang dibawa oleh Hidayah dapat diterima ramai. Malah kami berbangga dan bersyukur apabila ada kalangan anak-anak muda yang tidak segan silu menatap Hidayah. Majalah ini tidak menjadi artis dan dunia hiburannya sebagai bahan pelaris. Apa yang dikemukakan ialah kisah-kisah kehidupan masyarakat dahulu dan sekarang, rencana-rencana keagamaan dan perbagai rencah lain sebagai santapan kerohanian buat para pembaca setianya. Begitu juga dalam persembahan kali ini, Hidayah tetap muncul dengan pelbagai kisah iktibarnya. Ikutilah bagaimana Allah mahu menunjukkan kemuliaan kepada seorang Walinya melalui kisah: ‘Kubur Ulama Yang Bercahaya”. Bacalah juga kisah iktibar ‘Meninggal dengan kaki mengangkang’ yang memaparkan perlakuan buruk seorang wanita yang terjebak dalam perbuatan tidak bermoral. Alasan kemiskinan dan tekanan hidup tidak boleh dijadikan matlamat menghalalkan cara. Juga jangan lupa mengikuti iktibar ‘Anugerah selepas meninggalkan maksiat’. Kisah benar ini membuktikan bahawa apabila seseorang itu telah mendapat hidayah, Allah s.w.t. akan memberi jalan keluar dalam mengatasi masalah kehidupan para hamba pilihanNya di dunia ini. Fahamilah maksud hadis Qudsi ini: “Wahai anak cucu Adam, Aku yang menciptakanmu dengan tangan kekuasaanKu, Aku yang merawatmu dengan memberi nikmatKu kepadamu, sementara engkau berpaling dan menderhakaiKu. Jika engkau mahu kembali padaKu, pasti Aku akan mengampunimu. Dimana engkau akan mendapatkan Tuhan selainKu, Aku Maha Pengampun Dan Maha Pengasih.” Begitulah hebatnya hidayah Allah. Terima kasih dengan sokongan berterusan anda. Kita berjumpa lagi dalam keluaran akan datang, InsyaAllah. Wassalam!
Pengarang
Shahimisaifulislam@yahoo.com.my
Tuesday, May 4, 2010
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment