Dalam beberapa keluaran yang lalu ada disebutkan mengenai orang-orang yang boleh “berijtihad”. Diantara disebutkan orang itu mestilah mempunyai ilmu agama yang dalam dan luas. Diantara syarat lain mestilah tahu bahasa Arab. Dalam sebuah kitab agama disebutkan bahawa di akhirat kelak bahasa yang dipakai dalam syurga kelak ialah bahasa Muhammad. Bahasa Muhammad yang dimaksudkan disini ialah “bahasa Arab”. Itulah sebabnya bahasa Arab sejak dulu hingga sekarang tidak pernah hilang dari muka bumi ini, walau pun banyak bahasa lain sudah hilang, tenggelam begitu sahaja. Satu lagi ialah bahasa Arab, sehingga sekarang tidak berubah, maksudnya, maknanya, takrifnya, sebab bahasa itu bahasa akan digunakan atau pun dipakai di dalam syurga kelak. Itulah sebabnya dalam kitab-kitab, para ulama dulu menetapkan orang-orang yang mahu “Berijtihad”, mestilah tahu dan fasih dalam bahasa Arab. Keluaran ini tentang adakah orang-orang atau pun imam-imam Mujtahid, sama ada sekarang atau pun dimasa akan datang? Para ulama yang mengarang kitab ini telah mengupas dengan panjang lebar berhubung dengan perkara itu. Seorang Imam Mujtahid yang berijtihad yang mengeluarkan hukuman-hukuman dari al-Quran dan Sunnah Rasul, maka hasil ijtihadnya itu dinamakan “Mazhab”-nya. Hasil ijtihad Imam Syafi’i dinamakan Mazhab Syafi’i hasil ijtihad Imam Maliki dinamakan Mazhab Maliki dan begitulah seterusnya. Mazhab adalah bahasa Arab yang ertinya jalan yang dilalui. Tetapi dalam istilah syari’at Islam bererti fatwa atau pendapat seorang Imam Mujtahid. Di dalam dunia Islam sekarang terkenal 4 besar Mazhab, iaitu:
• Mazhab Hanafi, iaitu fatwa-fatwa Imam Abu Hanifah an-Nu’man bin Tasbit, (lahir 81 H. meninggal 150 H) dan sahabat-sahabat beliau.
Mazhab ini mulanya tumbuh di Iraq (khufah), kemudian tersiar luas di Syria, Afghanistan, India, Turki, Khurasan, Mesir, Algeria, Tripoli, Balkan, Brazil dan lain-lain.
• Mazhab Maliki, iaitu fatwa-fatwa Imam Maliki bin Anas dan sahabat-sahabat beliau. (lahir 83 H. meninggal 179 H). Mazhab ini mulanya tumbuh di Madinah, kemudian tersiar luas di Hijaz, Moroko, Sepanyol, Sudan dan lain-lain.
• Madzhab Imam Syafi’i, iaitu fatwa-fatwa Imam Muhammad bin Idris (lahir 150 H. meninggal 204 H.).
Mazhab ini mulanya tumbuh di Iraq dan Mesir, kemudian tersiar luas di Iraq, Mesir, Khurasan, Afganistan, India, Malaysia, Indonesia, Thailand, Hijaz, Hadhralmaut, Yaman, Oman, Sudan, Somali, Syria, Palestin, Philipina dan lain-lain.
• Mazhab Hanbali, iaitu fatwa-fatwa Imam Ahmad bin Hanbal dan sahabat-sahabat beliau. (lahir 162 H. meninggal 241 H.). Mazhab ini tumbuh di Iraq dan kemudian tersiar luas dan akhirnya penganutnya yang banyak adalah di Nejed, negeri Ibnu Sa’ud, keluarga yang memerintah Saudi Arabia sekarang.
Inilah 4 Madzhab besar yang ditakdirkan Allah akan berkembang dan tetap memenuhi dunia Islam sampai sekarang.
Mazhab-mazhab dalam fiqih pada mulanya banyak terdapat dalam dunia Islam kerana Imam-imam Mujtahid itu banyak pula, apalagi agama Islam sendiri menyuruh menggembirakan dan merestui agar setiap orang Islam harus pandai menjadi Imam mujtahid, supaya hukum-hukum Islam itu tumbuh dari abad ke abad. Para sahabat Nabi Muhammad s.a.w. yang berfatwa tentang hukum fiqih sesudah Nabi s.a.w. wafat boleh digolongkan kepada Imam-imam Mujtahid kerana beliau-beliau itu mengeluarkan hukum dari Al-Quran dan Hadis. Dan dulu terdapat juga Imam Mujtahid, seperti Imam Daud Zhahiri, iaitu Abu Suleiman bin Khalaf Al Ashbahani (lahir 200 H. meninggal 270 H. di Baghdad). Tetapi sekarang sudah hilang. Dulu terdapat “Mazhab Ibnu Hazam”, iaitu mazhab yang dibentuk oleh Ali Ibnu Hazam di Andalusi (Cordova) (lahir 373 H. meninggal 443 H.). Sekarang Mazhab itu tidak kedengaran lagi. Dulu juga terdapat “Mazhab Auza’i, Mazhab Al Leits” dan lain-lain lagi. Tetapi semuanya itu tidak tahan hidup dan hilang dibawa arus, mungkin kerana dasar-dasar mazhabnya tidak kuat sehingga mudah saja hilang diterbangkan angin. Yang tinggal sekarang dan yang diterima oleh dunia Islam ialah Mazhab yang 4 ini, iaitu Maliki, Hanafi, Syafi’i dan Hanbali. Kalau kita berjalan ke seluruh dunia Islam pada waktu sekarang dan kita perhatikan masyarakat Islam dan pengadilan-pengadilan agamanya, akan terlihat sebagai berikut:
• Moroco menganut Mazhab Maliki.
• Algeria menganut Mazhab Hanafi.
• Tunisia menganut Mazhab Hanafi.
• Libya menganut Mazhab Hanafi dan sedikit Syafi’i.
• Turki menganut Mazhab Hanafi.
• Mesir menganut Madzhab Hanafi dan sebahagian Mazhab Syafi’i.
• Iraq menganut Mazhab Hanafi dan sedikit Syi’ah Imamiyah.
• Pakistan menganut Mazhab Hanafi dan sedikit Syi’ah Isma’iliyah.
• India menganut Mazhab Hanafi.
• Indonesia mengaut Mazhab Syafi’i.
• Philipina menganut Madzhab Syafi’i.
• Malaysia menganut Mazhab Syafi’i.
• China menganut Mazhab Hanafi.
• Somalia menganut Mazhab Syafi’i.
• Sudan menganut Mazhab Hanafi.
• Negeria menganut Mazhab Hanafi.
• Afganistan menganut Mazhab Hanafi.
• Lebanon menganut Mazhab Hanafi dan sebahagian syi’ah Imamiyah.
• Arabia Selatan menganut Mazhab Syafi’i.
• Saudi Arabia menganut Madzhab Hanbali dan sebahagian Hanafi.
• Yaman menganut Madzhab Syi’ah Zaidiyah.
• Iran menganut Mazhab Syi’ah Ima–miyah.
• Daerah-daerah di Russia menga–nut Mazhab Hanafi dan sedikit Syi’ah.
Demikianlah pada umumnya mereka menganut salah satu mazhab yang empat, walaupun di sana sini terdapat juga beberapa orang yang “anti Mazhab”, tetapi pengadilan-pengadilan Agama tetap menganut hukum sebagai yang tertera dalam mazhabnya masing-masing. Satu soal yang ramai dibicarakan dalam dunia Islam pada masa terakhir ini ialah persoalan tentang masih ada atau tidakkah Imam Mujtahid pada waktu sekarang atau pada waktu-waktu yang akan datang?
Ikuti seterusnya dalam Hidayah Oktober...
Thursday, September 17, 2009
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment