Thursday, September 17, 2009

Surat Pembaca

TABAH SEORANG IBU JADI TELADAN
Saudara pengarang,
Saya bersyukur kerana dapat menatap naskhah bulan September 2009 lalu. Menatap lembaran demi lembarannya, ternyata Hidayah memang banyak kisah-kisah dan rencana menarik untuk dibaca dan dihayati.
Namun di ruangan ini saya mengambil kesempatan untuk menyatakan rasa terharu apabila membaca kisah iktibar “tabah ibu berhati mulia” yang dijadikan cover keluaran tersebut. Sememangnya tidak ramai insan seperti wanita itu. Beliau begitu tabah menghadapi hidup ini walaupun menghadapi cubaan dan ujian yang berat dengan kehilangan hampir semua anggota keluarganya dalam tragedi runtuhan tanah lungsur yang turut mengorbankan ramai mangsa. Kita sendiri memang mudah untuk menyuruh orang bersabar, tetapi apabila sesuatu bencana menimpa diri sendiri dan ahli keluarga kita, dapatkah kita bersabar begitu rupa? Wanita itu seorang wanita biasa. Cuma kelebihan beliau ialah kecenderongannya menghadiri majlis-majlis ilmu di surau dan terlibat dalam mengatur jadual pengajian agama di tempatnya. Saya berharap kisah-kisah teladan seperti ini dapat terus disiarkan oleh Hidayah untuk dikongsi dengan para pembacanya. Cuma saya musykil mengapa Hidayah masih terus menyamarkan wajah pihak yang terlibat? Bukankah yang dipaparkan itu sesuatu yang baik. Harap penjelasan daripada pihak Hidayah.

Salmah Haji Mohammed,
Pondok Tanjung, Taiping, Perak.

• Hidayah memegang pada etika menghormati sumber maklumat dan pihak yang terlibat. Bagi kami, apa yang penting ialah mesej dan iktibar kisah yang disiarkan. Harap para pembaca yang budiman dapat memaklumi perkara ini, wassalam. – Pengarang.

KEKALKAN IMEJ HIDAYAH
Saudara pengarang,
Saya mengucapkan tahniah kepada Hidayah yang muncul dengan persembahan yang baru. Di samping mengekalkan halaman-halaman berwarna, ada bilangan halaman tertentu yang disiarkan dalam warna hitam putih.
Saya rasa perubahan ini agak menarik. Kerana apabila telah menatap halaman berwarna, mata akan dapat direhatkan apabila membaca halaman-halaman hitam putih. Memang sewajarnya majalah seperti Hidayah ini mengadakan perubahan-perubahan dalam tempoh tertentu bagi mengelakkan ‘streotypes’ dalam setiap keluarannya. Namun begitu, Hidayah harus ‘istiqamah’ dalam persembahan rencana yang dipaparkan selama ini iaitu untuk tujuan dakwah dan iktibar. Saya berpedapat Hidayah ada kekutannya sendiri. Tak perlulah yang sensasi atau ‘tokok tambah’. Pembaca sendiri dapat menilai persembahan sesbuah majalah itu.
Wassalam!

Siti Saadiah Haji Marjoko
Kulai, Johor.

• Kami faham apa yang anda maksudkan dan bersyukur mendapat pembaca seperti anda. – Pengarang.

MALDIVES YANG MEMPESONA
Saudara Penarang,
Kalaulah saya tak baca Hidayah keluaran September 2009, mungkin saya tidak dapat memaklumi sekilas maklumat mengenai Maldives. Selama ini pun saya mengenal Maldives kalau tak silap negeri kepulauan itu pernah menghantar pembaca Al-Qurannya dalam salah satu musabaqah Al-Quran antara bangsa di Malaysia beberapa ketika lalu. Maldives juga bukan negara yang menjadi tumpuan berita. Mungkin kerana itu ianya kurang dikenali dan dimaklumi oleh ramai. Berbeza dengan beberapa negara Islam lain seperti Iraq, Iran, Afghanistan dan lain-lainnya. Rupanya Maldives selama ini lebih ke depan sebagai ‘negara Islam’ dengan peningkatan syiarnya. Lebih menarik ialah peraturan dimana pejabat-pejabat kerajaan dan kedai-kedai ditutup sementara 15 minit sebelum dan selepas solat lima waktu. Bagaimana kalau kita di Malaysia mengamalkan peraturan begitu? Saya rasa rencana seumpama ini akan lebih menarik jika wartawan Hidayah sendiri yang membuat lawatan dan tinjauan ke negara-negara umat Islam dan memaparkan dengan pandangan dari kaca matanya sendiri. Bagaimanapun syabas kepada Hidayah kerana mengadakan ruangan yang memberi manfaat kepada pembaca Hidayah umumnya. Semoga Hidayah terus maju jaya dalam dunia penerbitan.

Haji Yahya Hamdan,
Pasir Putih, Kelantan.

• Terima kasih dengan perhatian anda itu. Mungkin cadangan anda itu boleh kami kemukakan kepada ‘bos’ Hidayah. Mana tahu kalau ‘ada rezeki’ adalah peluang karyawan kami melangkah jauh keluar negara... – Pengarang.

No comments: