RAKYAT dari “Benua India” yang beragama Islam nampaknya menguasai semua perniagaan sama ada yang besar mahupun yang paling kecil sekali. Perniagaan hotel, walau pun hotel-hotel itu bukan hak milik mereka, tetapi penguasa dan pengendalian hotel-hotel tersebut dilakukan rakyat dari benua itu. Begitu juga dengan perniagaan makanan, dari restoran besar sehingga kepada gerai-gerai tepi tembok, tepi jalan, tepi-tepi mana pun dan sudut-sudut mana pun dimonopoli oleh mereka. Tidak ada satu ruang pun yang boleh kita mencelah melihat rakyat tempatan yang ada menjalankan perniagaan tersebut. Kedai makan misalnya, semuanya di kuasai oleh mereka. Mereka menjual aneka jenis makanan sama ada yang berat mahu pun yang ringan-ringan. Cakap apa saja perniagaan yang ada di seluruh Arab Saudi itu, siapa yang menjalankan perniagaannya? Sehingga pasar lambak di tepi jalan pun dikuasai oleh mereka. Apabila kita pulang dari masjid terutama pada waktu sembahyang subuh, maka laluan tempat penginapan itu lebat dengan jualan lambak. Serba serbinya ada. Mahu jubah, mahu ketayap, mahu tasbih, mahu perhiasan-perhiasan tangan, kaki, telinga, hidung semuanya ada dipasar lambak selepas waktu sembahyang asar, maghrib dan isyak serta subuh kecuali waktu zohor tidak ada kerana waktu ini terlalu panas, mereka tidak tahan berjemur. Dulu sebelum pembangunan dilancarkan dimana hotel-hotel lama masih ada, kedai-kedai lama dan bazar-bazar lama masih wujud, kita boleh membeli semuanya ini melalui bazar-bazar dan kedai-kedai tersebut. Oleh kerana sekarang semuanya sudah dibersihkan dan dirobohkan, mereka ubah cara berniaga dengan mengadakan “pasar lambak”. Bagaimana pun, pasar lambak ini masih dianggap “tidak sah” dari segi undang-undang Majlis Perbandaran Makkah. Mereka ini dihambat oleh pegawai-pegawai penguatkuasa yang sentiasa meronda di kawasan-kawasan berkenaan. Yang menghairankan, para peniaga pasar lambak ini kenal dan tahu watak dan wajah penguatkuasa itu. Apabila mereka melihat wajah mereka, maka lintang pukang mereka membungkus barang-barang jualan lambak terus lari. Kadang-kadang kita sedang memilih-milih barang yang kita berkenan, tiba-tiba sahaja peniaga membungkus, dan lari. Kita pula terpaksa mengejar mereka untuk membayar harga yang sudah kita ambil. Bagi kita tentulah tidak kenal pegawai penguatkuasa itu, kerana pakaian mereka sama saja dengan pakaian orang-orang yang baru pulang dari masjid, tetapi bagi peniaga pasar lambak cukup kenal. Bercakap tentang perniagaan makanan, bagi kaum India yang menjalankan perniagaan itu meletakkan harga “ikut suka”nya saja. Kalau dia rasa satu mangkuk plastik dalca tujuh atau lapan riyal, dia akan beri tahu kita dengan harga itu. Tetapi harga yang sebenarnya yang biasa kita beli ialah antara tiga riyal atau pun empat riyal, kalau paling tinggi pun lima riyal. Tetapi dilihatnya jemaah ini bukan dari rakyat tempatan atau pun bukan dari Benuanya, dia pun “ketuk” atau pun “sembelih” ikut harga yang dia mahu sendiri. Inilah yang terjadi sekarang. Saban tahun kita ke sana dan membeli barang makanan, harganya sentiasa naik sahaja. Tidak ada yang turun pun.
Ikuti seterusnya dalam Hidayah Oktober...
Thursday, September 17, 2009
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment