MUHARAM adalah bulan pertama dalam sistem kalender Islam (Hijriyah). Kata ‘Muharam’ sendiri bermakna ‘dilarang’, ‘diharamkan’ atau ‘dipantang’. Kerana pada bulan ini segala bentuk permusuhan dan peperangan dilarang atau diharamkan. Muharam merupakan bulan yang mulia kerana di dalamnya kita dianjurkan untuk berpuasa setiap tarikh 9 (Tasu’ah) atau 10 (‘Asyura). Pendapat ini dikemukakan Imam Syafi’i, Imam Ahmad, Ishaq bin Rahawaih, Ibnul Qayyim dan lain-lainnya. Ada juga pendapat yang menganjurkan berpuasa pada tarikh 11. Pada masa pra-Islam, ‘Asyura selalu diperingati sebagai hari raya rasmi bangsa Arab. Pada masa itu orang-orang berpuasa dan merayakannya penuh sukacita sebagaimana hari Nawruz yang dijadikan hari raya di Iran. Mereka, terutama kelompok Yazidi, mengadakan perayaan dengan mengenakan pakaian baru dan menghias kota-kota mereka. Sementara kaum Yahudi berpuasa ‘Asyura dalam rangka menghormati kemenangan Nabi Musa a.s. atas Raja Firaun. Saat Nabi s.a.w. hijrah ke Madinah, dia melihat tradisi kaum Yahudi ini. Kerana itu, dia menganjurkan kepada pengikutnya untuk ikut berpuasa juga. Justeru, Nabi Muhammad s.a.w. menilai bahawa dia dan pengikutnyalah yang sebenarnya lebih berhak berpuasa untuk menghormati dan memuliakan Nabi Musa dibandingkan kaum Yahudi. Sementara di Indonesia khususnya di Jawa, tradisi puasa 10 Muharram ini dikenal dengan istilah Sura atau Suro. Sura sendiri merupakan salah satu nama bulan dari tahun Caka. Nama ini berasal dari mitologi Hindu-Jawa, Aji Caka. Dalam kitab Tanah Jawi disebutkan bahawa kedatangan orang-orang Hindu di Jawa menandai dimulainya zaman baru, iaitu zaman Aji Caka yang menurut perhitungan mereka zaman itu bersamaan dengan tahun 78 Masihi. Oleh sebab itu, tahun Caka dan tahun Masihi berselisih 78 tahun. Puluhan tahun berikutnya, ketika Mataram ada di bawah pemerintahan Sultan Agung Hanyokrokusumo, tarikh Caka mulai diperbaiki. Maka kemudian tarikh 1 Muharam 1043 H (8 Julai 1633 M) ditetapkan sebagai tarikh 1 Suro tahun Alip (1555 Caka baru atau Caka-Jawa). Bagi kalangan pengikut Syi’ah pula dan sebahagian sufi, hari ‘Asyura merupakan hari berkabungnya atas kesyahidan Husain bin Ali r.a., cucu Nabi Muhammad s.a.w. pada Pertempuran Karbala tahun 61 H (680). Kerana itu, di Bengkulu, Indonesia ada tradisi tabot untuk mengenang tentang kisah kepahlawanan dan kematian cucu Nabi s.a.w. tersebut. Sementara di Pariaman, Sumatera Barat ada tabot. Terlepas dari semuanya itu, kemuliaan bulan Muharam juga dicatat dalam al-Quran yang ertinya, “Sesungguhnya bilangan bulan di sisi Allah ialah dua belas bulan, dalam ketetapan Allah di waktu Dia menciptakan langit dan bumi, di antaranya empat bulan haram. Itulah (ketetapan) agama yang lurus, maka janganlah menganiaya diri dalam bulan yang empat itu, dan perangilah musyrikin semuanya, dan ketahuilah bahawa Allah beserta orang-orang yang bertakwa.” (QS. At-Taubah: 36) Empat bulan haram yang dimaksudkan ayat di atas adalah Muharam, Zulhijjah, Dzulkaedah, dan Rejab. Demikian mulianya bulan Muharam, sehingga Allah menciptakan Nabi Adam a.s. pada bulan ini. Selain itu, bulan Muharram juga sebagai masanya Nabi Idris a.s. diangkat Allah ke langit, Nabi Nuh a.s. selamat dari banjir bah dengan kapal, Nabi Ibrahim a.s. lahir dan menerima taubatnya, Nabi Yusuf selamat saat dicampakkan ke telaga oleh saudara-saudaranya dan baginda dibebaskan dari penjara, Nabi Ya’kub dapat melihat kembali, Nabi Ayub a.s. sembuh dari penyakit kulit, Nabi Yunus keluar dari perut ikan, hari pertama alam diciptakan Allah, rahmat dan hujan diturunkan, Allah menjadikan ‘Arasy, Luh Mahfuz, Jibril a.s. dan Nabi Isa a.s. diangkat ke langit dan sebagainya.
Selanjutnya dapatkan Hidayah Januari 2011 di pasaran...
Wednesday, January 5, 2011
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment