Wednesday, January 5, 2011

Salam Kami Januari 2011

ASSALAMUALAIKUM WR.WBT.
SEGALA puji dan syukur kita ke hadapan Allah s.w.t. serta salam kepada junjungan besar Nabi Muhamamad s.a.w. Sememangnya perubahan dari semasa ke semasa begitu cepat terasa. Apatah lagi dengan munculnya tahun baru Muharam 1432 hampir bersamaan dengan tahun baru Masihi 2011. Rasanya kita agak letih dikejar-kejar dengan masa. Baru saja selesai bulan Zulhijjah, kita didatangi tahun baru pula. Azam tahun lepas tak sempat tertunai, kini bercita-cita pula dengan azam baru yang lain. Walau apapun azam kita, hendaknya kita sedari bahawa usia kita semakin lanjut. Kita semakin ‘tua’. Kubur telah dekat memanggil. Ambillah tahap usia Rasulullah s.a.w. yang berumur 63 tahun. Bandingkan dengan usia kita sekarang. Kalau anda berusia 60 tahun, maknanya anda masih ada tiga tahun saja lagi berada di atas muka bumi ini. Andai usia anda melebihi angka tersebut, bererti anda diberi ‘subsidi’. Gunakanlah pemberian itu untuk menambah amal ibadat. Memang ada yang tidak suka mengingat-ingat pasal mati ini. Tapi hendaklah ingat bagaimana Aisyah r.a. berkata, “Ya Rasulullah, adakah seseorang yang dihimpunkan bersama para syuhada?” Maka menjawab Rasulullah s.a.w., “Iaitu orang yang mengingati mati sehari semalam dua puluh kali.” Jadi hari ini saja berapa kali anda mengingat akan kematian anda? Khalifah Umar bin Abdul Aziz berkata: “Banyakkanlah mengingati mati. Jika engkau lapang rezeki, ia akan menyempitkannya dan jika rezekimu itu sempit, ia akan melapangkannya.” Hidayah juga kian meningkat usianya. Kini Hidayah memasuki tahun ke-13. ‘Panjangnya umur Hidayah’ ini adalah berkat sokongan para pembaca. Sudah tentu kami amat bersyukur dan berterima kasih dengan sokongan berterusan anda itu.
Wassalam!

Pengarang
Shahimisaifulislam@yahoo.com.my

No comments: