MENGHARUNGI kehidupan berumahtangga sebenarnya melakukan pengembaraan di belantara kehidupan yang tak bertepi. Pelbagai masalah yang melingkupinya begitu dinamis sehingga setiap pasangan, sebagai pasangan suami isteri, siap ataupun tidak, akan terus dihadapkan pada permasalahan yang datang silih berganti. Tentu dengan wajah persoalan yang boleh mudah diatasi ataupun sebaliknya. Permasalahan yang datang boleh membawa setiap pasangan diambang kebahagiaan, akan menyeret mereka dalam lubang luka yang mendalam.
Selayaknya sebagai ‘pengembaraan hidup’, maka yang diperlukan bagi setiap ‘pengembara’ adalah bekal, agar pengembaraan yang dilakukan dapat sampai pada tujuan. Jangan sekali-kali berharap cepat sampai, beroleh sesuatu yang menyenangkan saat pengembaraan berlangsung, atau mengharapkan dapat menikmati hasil saat pengembaraan selesai. Sama sekali tidak. Perkahwinan adalah proses pengembaraan sepanjang waktu. Ianya berjalan seiring pasangan masih saling melengkapi hingga maut atau perceraian memisahkan. Maka jika kita berfikir akan memperoleh hasil, sebenarnya proses pengembaraan itulah hasil yang sesungguhnya. Setiap saat, setiap kita dapat merasakan sakinah, mawaddah warahmah tanpa harus menunggu usia perkahwinan memasuki usia belasan bahkan puluhan tahun. Rumahtangga Rasulullah s.a.w. adalah cermin terbaik yang patut dicontohi bagi setiap pasangan. Rumahtangga dibangun dengan segenap kasih sayang tanpa sedikitpun tindakan yang menyakiti pasangan. Aroma ‘romantisme’ tanpa segan disebarkan di dalamnya agar pasangannya merasa nyaman sehingga perasaan cinta pun semakin erat. Dalam sebuah hadis diriwayatkan Muslim, Aisyah r.a. mengisahkan, “Suatu saat ketika aku minum, dan aku sedang haid, lantas aku memberikan gelasku kepada Rasulullah s.a.w. dan baginda meminumnya dari mulut gelas tempat aku minum. Dalam kesempatan lain aku memakan sepotong daging, lantas baginda mengambil potongan daging itu dan memakannya tepat di tempat aku memakannya.” (HR. Muslim). Dalam riwayat lain juga diceritakan bahawa pernah suatu malam Rasulullah terlambat pulang kerana dakwah yang ia lakukan sedikit mengalami kesulitan. Sesampainya di rumah, baginda tidak menemukan pintu kerana telah ditutup Aisyah. Marahkah Rasul? Tidak sama sekali. Rasulullah justeru merasa hiba (keberatan) jika sampai membangunkan isteri terkasihnya itu, sebab baginda yakin selama ini Aisyah sudah lelah menunggu kepulangannya. Akhirnya, baginda pun lebih memilih tidur di depan pintu sampai pagi. Sebaliknya, Aisyah pula merasa bersalah atas kejadian itu. Rasulullah s.a.w. tidak melewatkan kesempatan sedikit pun kecuali ia manfaatkan untuk membahagiakan dan menyenangkan isterinya. Dalam hal ini, Aisyah kembali mengisahkan: “Pada suatu ketika, aku ikut bersama Rasulullah s.a.w. dalam sebuah lawatan. Pada waktu itu aku masih seorang gadis yang ramping. Baginda memerintahkan rombongan agar bergerak terlebih dulu. Mereka pun berangkat mendahului kami. Kemudian baginda berkata padaku, “Kemarilah! Sekarang kita berlumba lari.” Aku pun melayaninya dan akhirnya aku dapat mengunggulinya. Ia hanya diam atas keunggulanku tadi. Hingga pada kesempatan lain, ketika bentuk tubuhku sudah agak gemuk, aku ikut bersamanya dalam sebuah lawatan. Rasulullah memerintahkan rombongan agar bergerak terlebih dulu. Kemudian baginda mencabarku berlumba kembali. Dan akhirnya, baginda dapat mengungguliku. Rasulullah tertawa seraya berkata, “Inilah penebus kekalahan yang lalu!” (HR. Ahmad). Dari sini tergambar jelas sebuah perhatian yang sangat besar. Dalam setiap kesempatan Rasulullah tak melupakan kehadiran isterinya sampai-sampai ia pun ‘membuat waktu khusus’ walaupun di tengah lawatannya. Baginda pun tak melupakan detik-detik penting seperti yang tergambar dalam kisah Aisyah di atas dimana semula Rasulullah pernah kalah dari Aisyah lalu pada kesempatan lain boleh memenangkannya. Sikap mesra dan perhatian Rasulullah sebagai suami ditunjukan juga dalam hal membantu pekerjaan rumahtangga, menjahit pakaiannya sendiri, tiada pernah mencela masakan, apalagi mengherdik. Isteri selalu dilibatkan dalam setiap peristiwa terpenting dalam hidupnya. Baginda tidak pernah abai terlebih lagi melupakan. Di saat wahyu Allah datang kepadanya dan ia tidak merasa kuat, si isteri menyelimuti dirinya, menghangatkan diri Muhammad s.a.w. dengan segenap kasih dalam perhatiannya.
Kehidupan Poligami Rasulullah
Tinta sejarah mencatatkan bahawa rumahtangga Rasulullah diwarnai kehidupan poligami. Sebuah corak kehidupan rumahtangga yang sampai kini kerap menyulut permasalahan bagi kebanyakan orang. Namun amalan poligami ini tentu saja jauh dari yang dibayangkan, namun seringkali hal ini dipertikaikan oleh kalangan yang membenci Islam. Amalan poligami Rasulullah justeru sebuah langkah maju dari amalan jahiliah dimana sebelumnya perempuan boleh dinikahi tanpa batasan jumlah. Rasulullah s.a.w. pun berusaha membahagi perhatian kepada para isterinya sehingga satu sama lain merasa senang. Prinsip adil sebagai pembatas perasaan tidak diabaikan isteri-isterinya sentiasa diupayakan, malahan Saudah r.a., seorang janda perang yang tak lagi muda ikhlas memberikan gilirannya pada isteri-isterinya yang lain. Namun sejarah pun tak menafikan bahawa Aisyah dan Hafshah pernah berada di puncak cemburu sehingga keduanya menyedari bahawa perbuatan tersebut semata-mata dilandasi nafsu belaka dan murni bukan kerana Rasulullah tak mampu berbuat adil. Fakta sejarah lain yang patut diketahui dari kehidupan rumahtangga Rasulullah adalah sebenarnya ia melakukan perkahwinan ‘monogami’ yang cukup lama, yakni saat Rasulullah berkahwin dengan Khadijah r.a. sampai maut memisahkan mereka. Demikian pula dengan rumahtangga Ali dan Fatimah, puteri Rasulullah. Rasulullah berkahwin dengan Aisyah di saat usianya remaja, namun baginda menggaulinya ketika Aisyah telah memasuki usia matang. Rasulullah mengahwini isteri-isterinya yang lain yang kebanyakan janda perang oleh kerana tak ada yang melindungi mereka selepas ditinggal mati suami-suami mereka.
Selanjutnya dapatkan Hidayah Januari 2011 di pasaran...
Wednesday, January 5, 2011
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment