SEBENARNYA banyak cerita yang menarik yang boleh dijadikan “teladan” bagi kita pergi ke Makkah dan Madinah sama ada yang mengerjakan “Haji” atau pun “Umrah”. Cerita-cerita “aneh” dan tidak aneh akan kita dengar sama ada kita sedang berada di sana atau pun apabila kita sudah pulang semula ke tanahair. Ada cerita yang kita yang pergi ini tak tahu, tetapi ada orang yang tahu dan dapat cerita itu, lalu pulang ke kampung bercerita. Kadang-kadang ada orang jumpa benda-benda yang “pelik”. Ada juga jemaah haji atau pun umrah tidak jumpa jalan pulang ke tempat penginapannya. Ada sebahagian “tersesat” jalan begitu jauh sekali. Ada sampai di kaki bukit, tetapi jalan untuk ke hotel masih belum ditemuinya. Tetapi yang banyak menyimpan kisah dan cerita aneh dan pelik ini para Mutawif itu sendiri. Mereka ini (Mutawif) sentiasa berdamping dengan para jemaah. Mereka juga sentiasa berada di Makkah dan Madinah kerana bertugas. Mereka banyak bergaul dengan para jemaah dari serata negeri. Ada pelbagai kisah dan cerita yang mereka dengar, ada cerita yang diceritakan kepadanya. Ada cerita yang dia siasat dan macam-macam sumber lainnya. Tidak lama dulu, kami satu rombongan ke Makkah kerana mengerjakan Umrah dengan anak syarikat Tabung Haji yang mengendalikan pakej Umrah. Mutawif kami, bernama FATHOR RAZI SAYUTI, seorang rakyat Indonesia yang bekerja dengan/syarikat Tabung Haji ini. Sebagai seorang Mutawif, ustaz ini memang banyak menyimpan cerita. Beliau juga seorang yang berpengetahuan agama. Banyak kisah Makkah dan Madinah yang dicakapkannya dalam masa perjalanan dari Jeddah ke Madinah memberi maklumat kepada para jemaah, terutama bagi mereka yang pertama kali ke Makkah bandar suci Makkah dan Madinah. Kedua-dua bandar ini dianggap “suci”. Orang bukan Islam memang tidak boleh memasukinya. Walau pun apa cara mereka buat masuk kedua-dua bandar ini, orang-orang ini akan ditimpa musibah. Kalau ada yang masuk secara “sembunyi-sembunyi”, secara “curi-curi”, dan cara “mengaku-ngaku aku orang Islam,” maka mereka akan mengalami hal-hal yang aneh. Ada satu peristiwa seorang pemuda yang bukan Islam masuk ke Makkah. Walau pun dia sudah diberitahu bahawa bukan Islam dilarang masuk, tetapi dia masuk secara “diam-diam”. Sebaik-baik saja dia berada di bandar suci Makkah ini, dia merasa gelisah. Tidak lama kemudian secara tiba-tiba dia lari sekuat hatinya. Lariannya itu telah menimbulkan keghairahan bagi orang ramai yang melihatnya, kerana dia lari tanpa dikejar oleh sesiapa pun. Sebaik-baik saja, pemuda itu melintasi “tanah halal” ertinya di luar kawasan Makkah, dia pun berhenti berlari. Dia berhenti dengan keadaan yang termengah-mengah dan penat kerana berlari. Orang bertanya kepadanya, kenapa dia tiba-tiba saja melarikan diri tak tentu pasal, sedangkan tidak ada sesiapa yang mengejarnya? Pemuda itu menjelaskan kedudukan sebenarnya, kenapa dia berlari tidak berhenti-henti itu. Dia lari kerana terlalu takut digigit oleh binatang liar yang mengerjanya. “Ketika saya berada di Bandar Makkah, tiba-tiba saya melihat ada sekumpulan anjing liar tiba-tiba mengejar saya. “Pada mulanya anjing-anjing itu menyalak, kemudian saya melarikan diri. Sebaik-baik saja saya lari, anjing-anjing itu menghambat saya dari belakang sambil menyalak. “Anjing itu memang kelihatan garang. Anjing-anjing itu memang anjing liar menggigit orang. Melihat keadaan yang sangat membahayakan diri saya itu, saya pun lari untuk menyelamatkan diri. “Sebaik-baik saja saya tiba di kawasan ini, anjing-anjing itu pun menghilangkan diri dari pandangan mata saya,” cerita pemuda itu dengan wajah yang begitu takut sekali. Orang ramai pun barang kali tidak tahu pemuda itu bukan seorang Islam, jadi, ceritanya itu tidak diambil pusing sangat. Tentu barang kali dalam ramai orang yang melihat kejadian itu, ada orang yang mengerti bahawa pemuda itu bukan Islam lalu menyoalnya tentang agamanya, lelaki itu “mendiamkan diri”. Ini bererti dia bukan Islam, dan sebab itulah dia “berperasaan” ada anjing-anjing mengejar untuk menggigitnya. Tentulah barang kali memang “tidak ada seekor anjing” pun yang mengejarnya pada saat itu. Tetapi dia “menyangka” ada anjing-anjing menghambatnya. Mutawif yang menceritakan kisah ini, tidak pula memberitahu apakah lelaki itu telah diberitahu “jangan masuk lagi ke bandar Makkah selepas ini.” Sebelum ini ada seorang mutawif dari Indonesia ada bercerita tentang kisah bagaimana seorang pemuda Indonesia yang beragama Kristian, tetapi mengaku beragama islam, masuk ke tanah suci Makkah. Sebaik-baik saja dia berada di bandar suci, dia memberitahu kawannya bahawa dia tidak pernah melihat Masjidil Haram, dan juga Baitullah. Dia juga tidak mendengar apa-apa, sama ada orang azan atau pun bersembahyang. Akhirnya, sahabatnya ini bertanya kepadanya tentang agama yang dianutinya, apakah agama Islam atau pun yang lain? Pemuda itu terpaksa berterus terang bahawa dia telah “menipu” kawannya mengaku dia beragama Islam, tetapi sebenarnya dia beragama kristian. Dengan segera, kawannya menyuruh dia keluar dari kawasan tanah suci. Kawannya tanpa lengah lagi menyuruh pemuda itu itu keluar segera dari bandar suci Makkah sebelum terjadi apa-apa terhadap dirinya.
Selanjutnya dapatkan Hidayah Oktober 2011 di pasaran...
Sunday, October 9, 2011
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment