Monday, October 10, 2011

Salam Kami Oktober 2011

ASSALAMUALAIKUM WR.WBT.
SEGALA puji dan syukur kita ke hadrat Allah s.w.t. serta salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w. Kita telahpun melalui detik-detik Syawal. Setiap kita kembali menjalani kehidupan biasa. Baik pekerja di pejabat, baik pekerja-pekerja di kilang, baik yang bekerja sendiri dan sebagainya. Bagi pelajar-pelajar pula inilah masanya saat penting yang dihadapi untuk mengambil peperiksaan PMR, SRP, SPM dan STPM. Peperiksaan yang sebenar bukanlah hanya pada hari peperiksaan saja, tapi ialah hari-hari sebelumnya dan pelbagai persediaan mental dan kejiwaan. Setiap kita mungkin mempunyai anak yang akan menempoh musim peperiksaan ini. Tugas dan tanggungjawab kita ialah mendoakan agar semua anak-anak kita beroleh kejayaan dan kecemerlangan dalam bidang akademik. Namun dalam menentukan kejayaan sebenarnya ialah para pelajar itu sendiri dan qadha qadar dari Allah s.w.t. jua. Bagi masyarakat Islam pula, sehabis Syawal ini kita disibukkan dengan persediaan para jemaah yang akan menjadi tetamu Allah di tanah suci. Alangkah beruntungnya mereka yang diizinkan menyahut panggilan Illahi pada tahun ini. Semoga mereka memperolehi ‘haji mabrur’. Begitulah indahnya Islam ini yang melalui fasa-fasanya pada setiap tahun. Dengan sambutan hari raya puasa, hari raya haji, kemudian di susuli pula dengan sambutan awal Muharramnya dan lain-lain lagi menyemarakkan syiar Islam di bumi tercinta ini. Dalam melalui detik-detik ini Hidayah tetap muncul dihadapan anda. Membawa pelbagai kisah dan rencana-rencana yang bermanfaat untuk dibaca dan dihayati. Kisah-kisah iktibar yang dipaparkan kali ini membawa mesej yang positif. Bermula dengan kisah pengayuh beca yang ‘bersedekah’ tenaganya setiap Jumaat, kisah keajaiban lailatur qadar, lelaki yang sembuh penyakitnya berkat puasa Ramadan dan lelaki yang menemui ajalnya ketika bersolat di subuh Ramadan. Benarlah setiap kita mahu meninggal dunia dalam keadaan yang baik (Husnul Khatimah). Maka wajarlah kita mengetahui bahawa orang yang sedang sakit, hendaklah mengamalkan ‘doa Nabi Yunus a.s.’ sebagaimana terdapat dalam firman Allah dalam surah Al-Anbiyaa’: 87 apabila kita sedang sakit. Rasulullah s.a.w. bersabda bermaksud: “Siapa saja dari muslim yang berdoa dengan doa ini diwaktu sakitnya sebanyak empat puluh kali, lalu ia mati dalam sakitnya itu, maka ia diberi pahala syahid. Namun jika ia sembuh, maka ia sembuh dalam keadaan semua dosanya telah diampuni.” (HR. Al-Hakim) Terima kasih dengan sokongan pembaca yang berterusan. Selamat berjumpa lagi dalam keluaran akan datang, InsyaAllah.
Wassalam.

Pengarang
Shahimisaifulislam@yahoo.com.my

No comments: