SEMASA bersekolah dulu umur baru meningkat antara 10 dan 12 tahun dan banyak peristiwa yang dapat dilihat dalam masa itu. Apabila sudah besar panjang macam ini, sudah tahu, dan sudah membaca sedikit sebanyak hal ehwal agama dan adat istiadatnya, maka kita “geleng kepala” apabila mengenang semula peristiwa yang dilakukan oleh masyarakat Islam kita ketika itu. Ambil contoh dalam membuat persiapan “kerja kahwin”. Banyak kerja yang terbuang dan membazir dibuat. Ada perkara yang tidak disuruh oleh agama, kita lakukan. Ia lebih merupakan ‘adat’ istiadat saja. Kalau pun buat sebenarnya mengundang “dosa”, dan kalau tak buat tak jadi apa-apa pun. Kalau ada satu keluarga dalam kampung itu mahu mengahwinkan anak perempuannya, maka hampir dua bulan persiapan sudah diatur. Yang baiknya ialah adanya kerjasama, tolong menolong, bergotong-royong semua orang kampung terhadap keluarga yang mahu mengkahwinkan anaknya itu. Yang tak baiknya, adanya hal-hal yang tidak disuruh oleh agama, tetapi dilakukannya. Hal tersebut lebih menjurus kepada perbuatan-perbuatan “dosa” kecil dan dosa besar. Rupa-rupanya dalam kita menyediakan untuk membuat kenduri kerja kahwin anak, kita tak sedar kita ada buat dosa. Kita langgar perintah agama. Agama tidak suruh kita buat macam tu, kita buat. Apabila agama tak suruh, tetapi kita lakukannya, tentulah kita mengundang dosa, sama ada ia dosa kecil atau pun dosa besar. Dosa besar yang sering kita undang dalam menyediakan untuk membuat kenduri kahwin ini ialah dengan melalaikan “waktu solat”. Inilah pokok utama yang mengundang dosa.
Meninggalkan sembahyang dengan sengaja, hukumnya berdosa. Ini tidak ada tolak ansur lagi. Oleh kerana terlalu sibuk dengan kerja-kerja yang tidak perlu apa lagi pada waktu-waktu asar dan maghrib, maka solat tertinggal.
Misalnya dizaman dulu dalam tahun 50an, orang-orang di sebuah kampung di Melaka apabila membuat kerja kahwin akan mengadakan satu majlis “mandi berhias”. Majlis ini betul-betul bermula hampir maghrib dan waktu maghrib itulah penggantin datang apa disebut “mandi berhias”. Semua orang yang terlibat tidak “solat”. Biasanya “satu rumah terlibat sama” dengan upacara “mandi berhias” ini, dan satu rumahlah tak solat. Cubalah kita bayangkan betapa kita “mengundang dosa” pada waktu-waktu yang sangat penting itu untuk menyembah Allah. Pada waktulah, tuan rumah menyediakan makanan untuk para tetamu yang menghantar pengantin “mandi berhias” dengan jamuan yang istimewa itu. Betul-betul pada waktu menjamu selera oleh para tetamu itu ialah tepat pada waktu orang sembahyang Maghrib. Orang-orang yang taat sedang bersolat, manakala orang-orang yang mengelolakan “pengantin” mandi berhias sedang makan dengan seenak-enaknya. Sedangkan rezeki yang kita makan itu Allah yang anugerahkan. Sedangkan suruhan Allah yang memberi kita rezeki itu tidak kita lakukan. Di manakah letaknya “kesyukuran” kita kepada “Khalik” pencipta kita itu? Inilah yang disebutkan tadi, kita sedang “mengundang dosa” dalam satu majlis yang sepatutnya tidak berlaku kejadian tersebut. Itulah barang kali “Zaman semi jahiliah” dimana manusia (Islam) masih tidak tahu, masih tidak faham tentang agama. Satu lagi perkara atau pun perbuatan yang boleh “mengundang dosa” ialah pada waktu apa yang disebut “Hari Langsung”, atau pun hari “Bersanding”. Biasanya upacara ini akan berlaku pada waktu hampir-hampir waktu maghrib. Upacara “bersanding” ini ialah hari akhir pada majlis sesebuah perkahwinan itu. Pengantin lelaki akan diarak dari rumahnya di sebuah tempat lain ke rumah pengantin perempuan. Biasanya, ia bermula pada sebelah petang.
Pasukan kompang akan mengarak pengantin melalui jalan-jalan tertentu ke rumah pengantin perempuan. Kalau rumah pengantin lelaki itu disebelah kampung saja, maka pasukan rebana atau pun kompang akan mengaraknya berjalan kaki melalui rumah-rumah dan halaman-halaman jiran-jiran lainnya sehinggalah tiba ke rumah pengantin perempuan. Dalam perarakan tersebut akan dibawa bunga-bunga manggar. Ada juga bintang-bintang, bulan yang dibuat dari kertas. Semua bunga manggar dan lain-lainnya akan dibawa oleh budak-budak sekolah. Sebelum tiba ke rumah pengantin perempuan, bunga manggar dan perhiasan-perhiasan lain seperti “bulan”, “bintang-bintang”, akan direbut oleh mereka yang ikut perarakan pengantin itu. Kadang-kadang budak-budak sekolah ada membawa lari semua alat-alat perhiasan itu. Itu memang sudah menjadi adat budaya bagi mereka yang “mengarak pengantin lelaki”. Biasanya, pengantin lelaki tiba di rumah pengantin perempuan waktu petang hampir waktu solat maqrib. Apabila semuanya sudah selesai berkompang dan sebagainya, pengantin lelaki akan di pimpin naik tangga terus duduk diatas pelamin untuk upacara berinai.
Selanjutnya dapatkan Hidayah Oktober 2011 di pasaran...
Monday, October 10, 2011
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment