BEBERAPA keluaran yang lalu HIDAYAH telah menyiarkan mengenai kisah bagaimana jemaah Haji kita yang menunaikan fardu Haji dengan perjalanan menaiki kapal laut. Sebelum pesawat (kapal terbang) bermula dengan membawa jemaah haji ke Makkah, orang-orang zaman dulu menunaikan fardu naik kapal. Bahkan ada cerita zaman dulu-dulu, jemaah haji kita pergi ke Makkah, “naik kapal layar”. Kata orang-orang bercerita, sehingga empat lima bulan baru sampai. Cerita ini sukar untuk dipastikan apakah benar ada orang naik kapal layar dari Tanah Melayu ke Arab Saudi kerana mahu tunaikan rukun Islam kelima. Bagaimana pun kemungkinannya ada, kerana tunaikan haji menjadi salah satu rukun Islam. Mungkin mereka yang mempunyai wang, dan cukup pula “rukun dan syaratnya” tentulah mereka akan tunaikan rukun Islam kelima itu. Tetapi sehingga ini belum ada kisah yang tertulis atau dirakamkan “jemaah naik kapal layar” ke Makkah. Yang ada cerita dan gambar ialah “kapal biasa” memang membawa penumpang, dan barang-barang dagang oleh tuan-tuan punya kapal itu sendiri. Bagaimanapun, kita tinggalkan cerita orang naik kapal layar. Tetapi apa yang saya mahu ceritakan disini ialah orang-orang kita tunaikan haji dengan naik kapal sejak zaman tahun 20an lagi. Rupa-rupanya zaman tahun 20an dulu lagi, ada orang kita sudah menunaikan fardu haji naik kapal. Tetapi tidaklah sama dengan kapal yang kita naik sebelum bermula dengan kapal terbang dalam tahun 70an dulu. Orang-orang zaman itu kalau mahu buat Haji, terpaksa membuat persiapan tiga bulan sebelum berangkat. Ertinya, seseorang yang mahu tunai haji, akan mula bersiap dari bulan Rejab lagi. Menurut cerita mulut ke mulut dari keluarga dimana datuk nenek yang pergi dulu-dulu sangatlah menarik dan kadang-kadang melucukan juga. Cubalah kita bayangkan zaman dulu orang pergi ke Madinah dari Makkah menaiki unta. Cuba kita bayangkan, berapa lamakah baru sampai ke Madinah.
Cerita-cerita yang disampaikan bahawa, jemaah haji dulu hanya naik unta sahaja. Tidak ada kenderaan lain, sama ada kereta atau pun keretapi. Bermula dari pelabuhan Singapura, para jemaah akan menaiki kapal yang akan memakan masa selama lima belas hari atau pun lebih dari itu. Ada dua pelabuhan di tanah Melayu ketika itu. Satu lagi ialah di Pulau Pinang. Dari kedua-dua pelabuhan ini, para jemaah akan belayar hingga ke Jeddah.
Ada seorang tua menceritakan tentang hal ini dimana “Datuknya” menunaikan haji dalam tahun 20an dulu. Katanya: “Datuknya bercerita bahawa ada juga masalah-masalah yang dihadapi semasa naik kapal ketika itu.
Bagaimana pun, katanya, kapten kapal amat cekap dan sentiasa memantau para penumpang. Para pegawai dan anak-anak kapal juga ditugaskan untuk menjaga keselamatan para penumpang, terutama para jemaah haji.
Apa juga masalah yang dihadapi akan diadukan kepada pegawai-pegawai dan anak-anak kapal yang bertugas. Tindakan segera terus diambil bagi mengatasinya. Zaman dulu, orang pergi Haji mesti menggunakan khidmat syeikh-syeikh haji. Melalui ejen-ejennya yang ada di Malaya, maka para jemaah akan berurus melalui ejen-ejen yang ada di Malaya. Kebanyakan Syeikh-Syeikh Haji yang ada di Makkah yang menggelolakan para jemaah adalah orang-orang dari Pantai Timur iaitu dari Kelantan. Mereka tinggal lama di sana. Ada yang belajar agama, ada pula yang berniaga. Tetapi mereka semuanya fasih berbahasa Arab. Syeikh-syeikh Haji inilah yang mempengaruhi para jemaah dibawah kelolaannya supaya “memakai serban” setelah mengerjakan ibadah haji.
Ini, kata mereka, sebagai menandakan anda semua sudah selamat menunaikan fardu haji dan sudah pun mendapat “title” Haji. Jadi, untuk menandakan bahawa kamu semua sudah “haji” oleh orang-orang kampung anda, maka anda semua eloklah pakai serban” Dengan itu nama pun ditambah dengan title “Haji Fulan bin Fulan”. Kemudian ada diantara para jemaah kita apabila pulang ke kampung dengan memakai serban sama ada yang lelaki dan perempuannya melilit kepala mereka sebagaimana sekarang. Kemudian ada pula yang memberitahu kepada jemaah yang sudah “tunaikan haji” itu, bahawa pakai serban hukumnya Sunat. Para Syeikh itu pun mencari hadis untuk menguatkan seranannya pakai serban itu. Hinggalah sekarang, orang-orang kampung yang sudah tunai haji dan pulang kampung mesti pakai serban, kalau tidak pun sekadar pakai “ketayap putih”.
Sebenarnya, kalau dikaji pakai serban itu adalah budaya orang Arab. Kain yang dililit dikepalanya itu mempunyai pelbagai guna untuk mereka. Kalau mereka berjalan di padang pasir ditiup angin kencang yang kadang-kadang mengandungi pasir, maka kain lilit serban itulah digunakan untuk menutup muka dan sebahagian dari matanya.
Kalau musim panas, mereka akan gunakan serban itu untuk menutup kepalanya bagi mengurangkan dari terikan panas di padang pasir itu. Kalau mereka mahu bersolat, maka kain serban itulah akan digunakan sebagai alas untuk bersembahyang. Memang banyak gunanya kain serban yang dipakai itu oleh orang-orang Arab.
Bagi orang-orang kita memakainya tidaklah salah, tetapi mengatakan memakainya sebagai “sunat” itulah yang dipertikaikan. Kalau tidak pakai serban pun, Allah Maha Tahu bahawa kita sudah sempurnakan rukun Islam yang kelima iaitu menunaikan fardu dengan rukun syaratnya sempurna dan semoga Allah menerima ibadah haji kita itu, Amin. Kalau kita tidak lilit serban pun, tak apa, dan tidak berdosa. Kalau orang tidak panggil kita haji pun tak apa. Allah s.w.t. Maha Tahu segala-galanya. Kita janganlah marah-marah kalau ada orang panggil kita tanpa menyebutkan title haji itu. Tak sebut pun, tak apalah... Kadang-kadang ada orang marah-marah kerana tidak panggil dia “Haji fulan”. Katanya: “Aku keluar belanja ribu-ribu ringgit tunaikan haji, kamu tidak panggil aku “haji”. Ini, tidak boleh.” Elakkanlah perangai macam ni. Islam tidak suruh kita buat macam itu. Seolah-olah kita tunai haji mahukan “title” haji itu, bukan kerana Allah, bukan kerana mahu tunaikan perintah Allah. Zaman dulu-dulu, itulah pendekatan yang dipakai oleh para Syeikh-Syeikh Haji, sebelum adanya “Tabung Haji” dan peraturan-peraturan lain sebagaimana yang ada sekarang.
Selanjutnya dapatkan Hidayah Februari di pasaran...
Sunday, February 7, 2010
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment