SAMBUTAN Hari Raya Aidiladha atau hari raya korban pada bulan November 2009 lalu begitu besar ertinya dalam hidup saya. Itulah pertama kali saya berpeluang menunaikan solat Hari Raya Aidiladha di Masjid Baitul Rahman di Banda Aceh yang terkenal itu. Memang sebenarnya kami merancang sejak beberapa bulan lalu untuk ‘mengembara’ ke negeri serambi Makkah itu bertepatan jatuh pada hari raya haji. Saya bersama-sama dua rakan pengembara iaitu Yusof Ahmad dari Batu Kikir, Negeri Sembilan dan Muhammad Sharif bin Sulaiman dari Ampang, Selangor bertolak dari Lapangan Terbang KLIA dan selamat mendarat di bumi Aceh melalui penerbangan pesawat AK305 jam 6.30 petang pada hari Isnin 23 November. Ini merupakan kali kedua saya menjijak bumi Aceh. Tahun sebelumnya (2008) saya turut ‘menjadi pengembara’ di bumi bersejarah ini.
Entah mengapa hati saya begitu terasa dekat dengan bumi yang banyak melahirkan para pejuang kemerdekaan Indonesia ini. Antaranya yang terkenal ialah Tengku Daud Burueh. Apatah lagi sebagaimana kebanyakan perasaan rakyat Malaysia lainnya, hati saya turut diragut simpati yang membuak-buak apabila Aceh teruji dengan mala petaka dahsyat bencana Tsunami yang telah meragut nyawa lebih 200,000 nyawa di Aceh sahaja pada tarikh 26 Disember 2004. Alangkah hebatnya dugaan yang kau terima wahai para warga Aceh...! Alangkah hebatnya pula kesabaran yang kau tanggung selama ini wahai warga Aceh...! Bila mengenang azab derita dan sengsaranya mangsa korban tsunami itu, terasa kecil dan amat kecil segala ujian dan pancaroba yang pernah saya tempoh sepanjang hidup ini. Kali ini saya dan kawan-kawan datang lagi ke bumi Aceh ini. Saya tidak menganggap diri saya sebagai ‘pelancong’, tapi sebenarnya adalah ‘pengembara di bumi Allah’ yang malang tapi bertuah ini. Kerana Tsunami yang melandamu, dalam bala menimpa ada hikmah rupanya. Setelah berpuluh tahun bersengketa menuntut kemerdekaan, setelah ribuan nyawa terkorban dalam peperangan, Aceh kini menikmati status autonominya. Kami mendaftar dan masuk hotel. Malam itu selepas solat Maghrib dan Isyak di Masjid Baitu Rahman kami menikmati pemandangan Banda Aceh waktu malam dan menjamu selera. Esoknya Selasa 24 November bermulalah pengembaraan kami yang sebenarnya. Selepas bersolat subuh dan bersarapan di hotel kami bertolak menuju ke Meulaboh sebuah bandar pelabuhan. Kami menaiki kenderaan pacuan 4 roda jenis Mitsubishi yang cukup selesa untuk empat orang termasuk pemandu kenderaan. Sepanjang perjalanan kami melalui tepi pantai dan menempuh beberapa pekan dan Bandar. Dari kenderaan itulah kami mengintai denyut nadi kehidupan masyarakat sekitar. Pemandangannya samalah seperti perjalanan dari Medan ke tempat pelancongan Danau Toba di Sumatera utara. Melihat kecantikan alam semula jadi di sini, bagaikan terlupa sejenak bahawa beberapa tahun lalu kawasan-kawasan ini musnah teruk dihentam Tsunami yang mengerikan. Dalam perjalanan kami sempat berhenti sebentar di sebuah tempat bernama Calang. Di sini sempat juga melurus-luruskan pinggang dan memetik kamera masing-masing merakam pemandangan sekitar sementara menunggu feri. Kami sampai di Meulaboh beberapa jam kemudian. Di sini sempat saya menyaksikan di satu kawasan yang luas dimana terdapat sebatang pokok kelapa masih tegak gagah berdiri. Dikatakan semua pokok dan tanaman sekitarnya hancur musnah dalam tragedi Tsunami lalu. Namun sebatang pokok kelapa itu dibiarkan menjulang sebagai saksi bisu. Saya melihatnya dan memikir betapa hebat dan dahsyatnya kekuasaan Allah s.w.t. Allahuakbar...! Saya juga dapat menyaksikan satu kawasan atau kem tentera yang terletak di tepi laut musnah dilanda tsunami bagaikan padang jarak padang tekukur. Kawasan itu dibiarkan begitu tanpa sebaran pembangunan. Agaknya pihak berkuasa sengaja berbuat demikian. Dulu engkau hebat sangat. Buru pemberontak, buru anggota Gerakan Aceh Merdeka (GAM), bunuh sana, bunuh sini dan kini dengan sekali libasan tsunami kamu berkubur tanpa batu nisan.
Allahuakbar..! Di sini juga ribuan mangsa tsunami terkorban. Namun apabila menyaksikan pembangunan yang sedang hebat di Bandar ini, bagaikan tak terasa bahawa beberapa tahun lalu sebilangan bangunan dan warganya telah terkubur ditelan tragedi dahsyat itu. Malam itu kami berlabuh di kota pelabuhan itu. Keesokannya Rabu 25 November kami meneruskan ‘pengembaraan’ balik ke banda Aceh melalui Bandar Sigli. Perjalanannya panjang bermula jam 8.30 pagi hingga 8.00 malam. Sebelum sampai ke Sigli, kami menempuh beberapa Bandar seperti Geumpang, Tangse dan Lameulo. Di Banda Aceh kami menginap di Hotel GrandNanggroe yang terletak di Jalan Tengku Imum Lueng Bata. Hari Khamis 26 November kami melalui acara bebas. Kami sepakat menunaikan puasa sunat pada hari itu sempena 9 Zulhijjah dan puasa sunat Khamis. Menariknya pihak hotel sendiri menyediakan makan sahur kepada mereka yang mahu berbuat demikian. Kami menikmati berbuka puasa di Masjid Baitul Rahman. Menunya tiga biji kurma dan segelas air. Selepas bersolat maghrib dan isyak kami berpakat menikmati makanan ‘orang Aceh’ di sebuah restoran berdekatan masjid. Malam itu kami terasa bertuah kerana dapat menikmati sambutan perayaan sempena Aidladha oleh warga Banda Aceh. Pestanya memang hebat termasuk perarakan kereta berhias. Difahamkan satu daerah menghantar satu kereta berhias masing-masing. Perarakannya ialah mengelilingi Banda Aceh yang acaranya berakhir sampai jam 11.30 malam.
Suasananya macam kita menyambut perayaan dengan pelbagai kereta berhias yang berlokasi di Dataran Merdeka di Kuala Lumpur itulah... Banda Aceh berlimpah dengan lampu hiasnya. Bersemarak dengan kereta berhiasnya. Wajah para warganya ceria dalam kegembiraan menyambut kedatangan Aidiladha. Di Banda Aceh kenderaan awamnya berupa bas dipanggil ‘Labi-Labi’. Mengapa dipanggil begitu ye...? Selain itu, beca yang bermotorsikal juga merupakan kenderaan awam yang popular di sana. Sekali naik tambangnya lebih kurang RM1.00 sahaja. Sementara kenderaan persendirian paling popular di sini ialah motorsikal.
Selanjutnya dapatkan Hidayah Februari di pasaran...
Sunday, February 7, 2010
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment