Sunday, February 7, 2010

Salam Kami Februari 2010

ASSALAMUALAIKUM WR.WBT.
SEGALA puji dan syukur kita ke hadapan Allah s.w.t. serta salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w. Pembaca budiman, dalam waktu terdekat ini nanti, kebanyakan ibu bapa akan menunggu-nunggu keputusan peperiksaan SPM (dan juga STPM). Semuanya mengharapkan anak masing-masing mendapat keputusan yang cemerlang. Kejayaan akan disambut dengan kegembiraan. Yang kurang berjaya atau gagal disambut dengan rasa duka. Itulah gambaran biasa setiap tahun. Kejayaan dalam peperiksaan akademik dijadikan kayu ukur masa depan anak-anak. Tidak salah mengharapkan impian seumpama itu. Itu adalah sikap yang ideal bagi ibu bapa. Anak-anak seolah pelaburan masa depan keluarga. Namun harus diingat, bahawa kejayaan akademik semata-mata tanpa ditunjang dengan pendidikan asas agama dan ketinggian moral bukan jaminan asas kebahagiaan anak-anak. Dalam kehidupan sekular yang berpandu kepada materialistik kejayaan duniawi akan disanjung. Sedangkan pendidikan agama menjadi pilihan kedua atau diremehkan malah diabaikan kecuali apabila perlu saja. Malanglah kita sebagai ibu bapa yang menjadikan anak-anak sebagai pelaburan masa depan keluarga. Sedangkan memberi ilmu dunia dan akhirat adalah menjadi tanggungjawab ibu bapa. Untuk mendapatkan anak-anak yang salih, ibu bapa perlu membentuk dirinya menjadi orang yang salih. Dengarlah pesanan ulama terkenal Abullaits Assamarqandi dalam kitab ‘Tanbihul Ghafilin’ yang menyebut: Ada sahabat yang menyebut: “Tidak suka mendoakan kedua ibu bapa itu mungkin menyebabkan kesulitan penghidupan anak. Dan apakah yang memungkin dapat memuaskan ibu bapa yang telah mati? Jawapannya tiga macam: (1) Dia sendiri menjadi orang yang salih. (2) Menghubungi keluarga dan sahabat-sahabat ibu bapanya. (3) Membacakan istighfar dan mendoakan serta bersedekah untuk kedua ibu bapanya. Maka mulailah dengan diri kita sendiri menjadi ‘anak yang salih’ dan semoga dengan itu anak-anak juga akan mengikut jejak kita, InsyaAllah. Apakah lagi yang lebih bahagia dalam hidup ini sekiranya anak-anak kita berjaya gemilang di dunia dan cemerlang di akhirat. Alhamdulilah sebagaimana biasa Hidayah terus menemui anda. Tahun 1431 Hijrah bersamaan tahun 2010 ini diharap akan terus mengeratkan hubungan kita dengan para pembaca. Semoga. Terima kasih dengan sokongan anda yang berterusan. Wassalam!

Pengarang
Shahimisaifulislam@yahoo.com.my

No comments: