Sumbangan Hidayah Semarakkan Syiar Agama
Saudara Pengarang,
Saya adalah seorang pelajar sebuah sekolah pondok di Baling, Kedah. Selain membaca dan mengkaji kitab-kitab pengajian, membaca adalah menjadi hobi saya. Salah sebuah majalah kegemaran saya ialah Hidayah.
Bagi saya Hidayah adalah sebuah majalah bercorak dakwah yang paling saya minati. Bidangnya sederhana, mudah dibawa kemana-mana. Kisah-kisah iktibar dan bahan-bahan rencananya membawa manfaat kepada pembaca terutama pelajar pondok seperti saya ini. Saya juga meyokong pendekatan Hidayah yang memaparkan kisah-kisah iktibar dan rencana-rencananya dari Indonesia. Seingat saya tidak ada mana-mana majalah tempatan yang berbuat seperti Hidayah ini. Saya juga bersyukur mendapat makluman bahawa Hidayah edisi Indonesia merupakan salah satu majalah terkemuka di Indonesia . Difahamkan edisinya juga dibaca oleh ribuan pembaca para pekerjanya yang bekerja di Hong Kong dan luar Indonesia. Ini merupakan satu kejayaan gemilang bagi penerbit majalah Hidayah. Saya mengambil kesempatan di sini mengucapkan tahniah kepada karyawan Hidayah yang tidak jemu-jemu menyumbang bakti dalam bidang penulisan ini demi meninggikan syiar agama di negara kita. Syabas Hidayah!
Marzuki Ismail,
Baling, Kedah.
• Terima kasih dengan tahniah anda. Setiap pujian atau kritikan dari pembaca akan terus menyemarakkan lagi semangat kami untuk terus berkarya. – Pengarang
Contohilah orang-orang yang beriman
Saudara Pengarang,
Saya merasa kagum dengan kulit depan dan kisah iktibar 1 Hidayah keluaran Januari 2010 lalu yang memaparkan jenazah utuh seorang kiai yang telah dikebumikan 26 tahun. Kisah yang dipaparkan itu lengkap dengan bukti gambar jenazahnya yang dipindahkan ke perkuburan baru. Berita mengenai jenazah utuh ini bukanlah berita baru, namun apabila kisahnya dipaparkan dengan bukti-bukti bergambar seperti ini menguatkan lagi keyakinan dan kesahihan beritanya. Namun demikian, ianya bukanlah menidakkan berita mengenai jenazah-jenazah utuh lain yang pernah dipaparkan oleh Hidayah selama ini. Cuma untuk mendapatkan ‘bukti bergambar’ itu memang agak sukar berbeza dengan kisah yang disampaikan melalui mulut ke mulut. Sememangnya kisah-kisah kematian seperti ini mengkagumkan kita dengan kebesaran Tuhan. Membaca Hidayah membuat kita terasa dekat dengan kematian. Sebenarnya pun kita tidak boleh lari dari kematian. Dan kita pun tidak tahu bilakah kita akan mati. Mahunya biarlah kita mati dalam kebaikan. Mungkin tidak semua orang boleh menjadi ‘kiai’, Tuan Guru atau ustaz, namun untuk mencontohi kebaikan-kebaikan mereka bukanlah perkara yang mustahil asalkan kita ada keazaman untuk termasuk dalam golongan orang-orang yang salih dan salihah, InsyaAllah.
Zaitun Abdful Kadir,
Kuala Sungai Baru, Melaka.
• Keazaman untuk melakukan kebaikan dan mencontohi orang-orang yang beriman itu juga termasuk dalam perbuatan terpuji. Allah hu akbar! – Pengarang.
Hinanya Perasuah
Saudara Pengarang,
Saya tertarik dengan rencana yang ditulis oleh Ahmad Idris bertajuk ‘Rezeki Rasuah Beri Anak Isteri Makan’ (Hidayah keluaran Januari 2010 muka 116-119) Sesungguhnya memang ramai yang tahu dosa melakukan rasuah ini. Mereka yang terlibat, baik yang memberi, baik yang menerima, baik yang jadi orang tengahnya atau sesiapa saja yang terlibat dalam urusan rasuah itu akan menerima akibatnya. Mereka yang benasib baik di dunia ini mungkin terlepas dengan hukuman dipenjara. Namun di akhirat, mereka tidak akan terlepas dari hukuman Allah s.w.t. Yang peliknya, mereka yang terlibat dengan rasuah ini menyedari ‘betapa hina dan busuknya’ rasuah itu, namun terpaksa pejam mata atau buat-buat ‘pejam mata’ untuk mendapatkan projek buat syarikatnya.
“Kalau tak hulur, tak merasalah...”. “Mana ada perniagaan sekarang yang tidak ada rasuah?” dan berbagai-bagai cakap lain lagi untuk menghalalkan mereka berbuat demikian. Begitulah pahitnya dunia perasuah. Penguatkuasaan, undang-undang, peraturan dan sebagainya menjadi topeng semata-mata. Malah hebatnya rasuah sehingga mereka yang tidak rasuah pun dipandang serong. Seorang Polis yang jujur umpamanya, apabila menahan seorang penunggang motorsikal akan dipandang serong oleh orang ramai kononnya si Polis itu boleh lepaskan kesalahan dengan menghulurkan sedikit ‘habuan’ Aduh..! Alangkah pedihnya tanggapan itu. Sedangkan Polis itu mungkin seorang imam di kawasan Taman Perumahannya. Mungkin seorang bapa teladan dan seorang suami yang penyayang. Apakah orang berkedudukan demikian tergamak melakukan hal yang menjijikkan itu untuk memberi anak isterinya makan hasil wang rasuah? Itu baru Polis, bagaimana pula dengan mereka yang terlibat bekerja sebagai Kastam, SPRM, tentera dan sebagainya? Namun Allah Maha Adil. Mereka yang jujur, ikhlas dan berwawasan akhirat akan tetap mendapat balasan pahalanya di akhirat. Itulah yang diharap-harapkan, InsyaAllah.
Haji Abdullah Zulkifli,
Kepala Batas, Kedah.
• Itulah yang dikatakan persepsi. Seekor kerbau membawa lumpur, habis semua terpalit. Namun yang terpalit, boleh mencucinya di telaga iman... Pengarang.
Sunday, February 7, 2010
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment