Monday, September 20, 2010

Konon 'Hantu Sungai' Makan Telur Dan Pisang

KADANG-KADANG saya tersenyum apabila menghimbau kembali zaman sekolah-sekolah dulu, zaman remaja ketika usia belasan tahun dulu. Sebabnya, ada peristiwa-peristiwa yang melucukan, sedih, pilu dan menakutkan bila kita ingatkan dari segi agama dan akidahnya. Zaman di mana orang-orang Melayu/Islam ketika itu tidak ada pendidikan agama secara mendalam, apa lagi secara serius. Zaman dimana orang Melayu hidup dalam “separuh jahiliah”. Orang-orang Melayu/Islam hanya tahu sembahyang, puasa saja. Sedangkan hukum hakam tentangnya tidak begitu mahir. Cuma main ikut-ikut. Orang sembahyang, kita pun sebagai budak-budak pun ikut sama sembahyang. Kalau pun belajar tentang sembahyang itu cuma pada bacaannya dan perbuatan berdiri, rukuk, sujud dan rukun-rukun lain. Kadang-kadang dalam sembahyang boleh main-main. Cubit kawan sebelah, tarik bajunya dan hal-hal yang boleh membatalkan sembahyang itu sendiri. Oleh kerana mereka ini tidak mendapat pengajaran yang betul bagaimana mahu sembahyang mengikut rukun-rukun dan aturan-aturan yang ditentukan, maka terjadilah hal-hal yang serupa itu. Dikalangan remaja pula memang tidak mempedulikan langsung tentang soal-soal agama. Ada yang berjudi di tepi masjid. Malah di tangga masjid pun ada yang berjudi. Sempat main daun terup lagi... Walau pun tidak menggunakan wang, tetapi kotak rokok atau pun “rubber band”, tetapi soalnya perbuatan itu adalah salah sama sekali dari pandangan agama. Ada juga perbuatan-perbuatan yang memang menyalahi akidah dan berlaku syirik. Misalnya, ada bomoh-bomoh yang mengubati orang sakit dalam kampung itu menggunakan “jampi serapah” dengan menyebut nama-nama yang bukan nama-nama Allah.
Kalau pesakit tidak juga sembuh, maka bomoh akan memerintahkan tuan rumah iaitu kalau isteri yang sakit, maka suami diperintahkan buat apa yang disebut sebagai “ancak”. Ancak ialah dibuat dari pelepah pokok pinang. Di bentuk empat persegi dijadikan seperti sebuah kotak. Didalamnya diisikan bertih, pisang dan telur empat biji, dua darinya sudah direbus. Empat penjuru kotak pelepah itu diletakkan lilin kemudian dipasang. Ancak yang sudah diisikan dengan bahan-bahan tersebut kemudiannya dihanyutkan ke dalam sungai. Bomoh itu memberitahu bahawa makanan yang didalam ancak itu untuk beri makan “hantu sungai”. Hanya orang yang dianggap “berani” yang akan ditugaskan membawa ancak itu untuk dihanyutkan ke dalam sungai. Yang ditugaskan membawa “ancak” itu untuk dihanyutkan ke sungai, itulah “hantu sungai” sebenarnya. Sebabnya, sebelum ancak itu dilepaskan, dialah orangnya yang mengambil semua bahan yang ada didalam ancak tersebut. Kecuali yang tidak diambil bertihnya saja. Apabila ada orang tahu ancak yang mahu dihanyutkan, orang-orang akan menunggu dihilir sungai, kalau ancak itu dihanyutkan dari hulu sungai. Ia bergantung kepada arus air sungai itu sendiri. Mereka yang menunggu dihilir sungai, dan mendapati dalam ancak itu kosong, mereka akan bersorak, “hantu dah makan”. Itulah kerja bomoh yang ada di kampung-kampung tertentu. Perbuatan-perbuatan syirik seperti ini bermaharaja lela dalam kampung, dan tidak sesiapa pun yang ambil tahu dan ambil peduli.
Si bomoh bersama dengan tuan rumah dimana keluarga yang sakit itu turut sama melakukan perbuatan syirik yang benar-benar dan nyata melanggar perintah Allah s.w.t. “Mana ada hantu sungai? Hantu mana boleh makan? Semuanya kerja bohong? Bomoh pun ikut pembohong? Ini semata-mata untuk mendapatkan sedikit duit dari orang yang sakit itu.” Kalaulah zaman itu, ada ustaz atau pun tokoh agama dalam kampung tersebut tahu dan mempunyai pengetahuan agama, tentulah hal serupa ini tidak akan berlaku. Zaman berlalu dengan berbagai-bagai perbuatan syirik dalam kampung. Perbuatan-perbuatan “mungkarat”, terjadi sebagai serpihan-serpihan hidup dalam sebuah masyarakat yang tidak ada pendidikan agama yang betul. Zaman apa pun, ia adalah sama, kerana zaman dan masa itu adalah Allah s.w.t. yang menciptakannya. Kita sebagai manusia tidak boleh menyalahkan “masa atau pun zaman”. Allah Maha Mengetahui dan tidak akan membiarkan hamba-hambanya hidup dalam keadaan “separuh kebodohan”. Ada keluarga yang mampu menghantar anak-anak mereka belajar agama keluar negara. Apabila anak-anak itu pulang, mereka membawa ilmu yang dipelajari, dan mendapati apa yang berlaku dalam kampungnya adalah “tidak betul”, melanggar syariat dari apa yang terkandung dalam Kitabullah dan Sunah Rasulullah s.a.w.

Selanjutnya dapatkan Hidayah Oktober 2010 di pasaran...

No comments: