Monday, September 20, 2010

Surat Pembaca

RAYUAN DERMA DARI ANAK-ANAK YATIM MUAR
Saudara Pengarang,
Assalamualaikum wr.wbt. Terlebih dahulu pihak kami mengucapkan ribuan terima kasih seandainya surat ini terpilih untuk disiarkan di ruangan ini. Kami AJK Pertubuhan Kebajikan Anak-Anak Yatim Islam Muar merayu kepada para pembaca Hidayah dan para dermawan untuk menghulurkan bantuan derma kepada pertubuhan ini bagi membiyai perbelanjaan anak-anak yatim di bawah kelolaan kami. Bilangan anak-anak yatim di sini ialah seramai 97 orang, 47 lelaki dan 50 perempuan. Sesungguhnya setiap sen yang dihulurkan kepada pertubuhan ini amat bermakna buat anak-anak yatim ini. Segala sumbangan menurut jumlah tertentu akan dikecualikan dari Cukai Pendapatan. Setiap sumbangan para dermawan boleh dibankkan terus ke dalam akaun bank kami. Sila kirimkan salinan slip bank untuk makluman kami
BANK ISLAM MALAYSIA BERHAD,
CAWANGAN MUAR No. Akaun: 1023010004926
Mudah-mudahan dengan sumbangan para dermawan ini kami doakan akan diterima sebagai amal kebajikan kelak di akhirat. Kami sekeluarga PKAYIM mengucapkan “Selamat Hari Raya Aidilfitri, maaf zahir dan batin,” kepada pembaca Hidayah khususnya dan umat Islam umumnya. Andai ingin berhubung terus dengan kami bolehlah menggunakan alamat berikut:
Yang Dipertua,
Pertubuhan Kebajikan Anak-Anak Yatim Islam Muar,
N0.18, Jalan Petrie, Peti Surat 109, 84007 Muar, Johor Darul Ta’zim.
Wassalam.

AJK PKAYIM,
Muar, Johor.

• Sesungguhnya tangan kanan yang menghulur derma tanpa diketahui tangan kirinya akan mendapat pahala yang berganda kerana keikhlasan pemberinya. Mungkin anda salah seorang daripadanya... – Pengarang.

MAHU HIDAYAH BERKUALITI
Saudara Pengarang,
Saya tertarik dengan cadangan saudara Yusman Abdul Rahman dari Simpang Pulai, Ipoh, Perak yang mencadangkan supaya majalah Hidayah diterbitkan dua kali sebulan. Itu satu cadangan yang menarik, tapi kita harus ingat bahawa untuk menerbitkan majalah Hidayah dua kali sebulan bukannya payah sangat, tapi kita harus lihat pada isi kandungan yang dimuatkan didalamnya, apakah ianya mengikut fakta atau tidak, kerana majalah ini adalah bercorak keagamaan. Kita tidak boleh main tangkap muat sahaja dan kita harus menilai mutu rencana yang dimuatkan didalamnya, apakah ianya benar-benar memberi kepuasan kepada semua pembaca. Kalau kita pandang dari sudut keuntungan memanglah untung, tapi dari sudut kualiti bagaimana, kalau banyak tapi kualitinya kurang memuaskan, ianya akan membosankan pembaca. Begitu juga dengan kos percetakan dan kos atau gaji tambahan kepada para penulis rencana serta karyawan Hidayah kerana tugasnya bertambah, maka upahnya juga mestilah bertambah, kalau tidak nanti apa kata mereka, sudah tentulah rungutan dan seranah yang mereka lemparkan kepada majikan. Saudara Yusman kena fikirkan itu. Ini harus difikirkan secara mendalam oleh pihak penerbit, kebajikan pekerja juga perlu diambil kira, kerana pekerja dan majikan perlu berada dalam satu pasukan yang selesa barulah sesuatu perkara itu dapat berjalan dengan lancar. Kalau pekerja dan majikan tidak bersatu hati, maka ianya akan menimbulkan banyak masalah, perkara ini haruslah difikirkan sedalam-dalamnya.
Berhati-hatilah dalam membuat keputusan. Ianya harus diselidiki tentang pasaran dan permintaan khalayak sebelum bertindak untuk menerbitkan dua kali sebulan, apakah ianya memerlukan dan ianya menjamin akan kepuasan para pembaca khususnya para peminat majalah Hidayah atau sebaliknya. Janganlah kita berfkir apabila mendapat pujian dari seseorang maka kita harus bertindak tanpa membuat sebarang kajian yang terperinci. Yang akan menanggung beban ialah penerbit. Pembaca tidak akan merasa apa-apa akibat lambakan Hidayah di kedai-kedai buku atau kedai-kedai surat khabar. Kepada saudara Yusman saya memohon maaf, saya bukanlah menidakkan saranan saudara, seperti yang saya katakan diawal tulisan, bahawa cadangan ini adalah satu cadangan yang baik, tapi kita harus fikirkan bersama apakah ianya boleh memberi keuntungan kepada semua pihak, sama ada penerbit, karyawan dan pembaca.

ARA,
Pelabuhan Klang, Selangor.

• Pandangan anda ada kebenarannya. Namun bagi Yusman pula, beliau sekadar melontar cadangan sahaja. Sementara Hidayah tetap berlaku adil untuk menyiarkan pendapat para pembacanya. – Pengarang.

MENANTIKAN KELAHIRAN ANAK KANDUNG
Saudara Pengarang,
Saya terharu membaca rencana bertajuk ‘Mengekalkan Perkahwinan Tanpa Cahaya Mata’ yang tersiar dalam Hidayah keluaran September 2010 halaman 108. Fokusnya teradap pasangan suami isteri yang belum dikurniai anak setelah sekian tahun berkahwin memang menarik. Sejuk rasa hati mengikuti saranannya. Cadangan tips bahagianya juga menarik untuk diamalkan. Sesungguhnya berkata itu mudah. Tapi apabila terkena diri sendiri tahulah rasa pahit maungnya. Begitulah juga mengenai diri saya yang telah lapan tahun berumahtanga belum ada tanda-tanda untuk mendapatkan cahaya mata. Namun syukurlah suami saya bersetuju untuk mengambil seorang anak angkat yang kini telah berusia lebih tiga tahun. Kehadiran anak angkat perempuan kami itu memberi sinar cahaya dalam kehidupan kami. Kemanjaan dan keletahnya menjadi pengubat rindu kami untuk memiliki anak kandung sendiri. Dan seandainya Allah s.w.t. mengurniakan anak kandung kami sendiri, tidak akan mengurangkan kasih sayang kami kepada anak angkat kami itu, InsyaAllah. Terima kasih Hidayah kerana menyiarkan rencana tersebut.

Sazlina Amran,
Bukit Tunku, Kuala Lumpur.

• Setiap sesuatu itu ada hikmahnya. Ianya telah tersurat sejak azali lagi. Saya doakan anda akan dikurniakan anak kandung yang anda dan suami cita-citakan selama ini...amin! – Pengarang.

No comments: