Monday, September 20, 2010

Salam Kami Oktober 2010

ASSALAMUALAIKUM WR.WBT.
SEGALA puji dan syukur kita ke hadapan Allah s.w.t. serta salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w. SYAWAL 1431 menjelang jua...Betapa harmoninya hidup ini. Lepas satu nikmat diberikan nikmat lain lagi. Tanpa putus-putus dan tidak pernah habis-habis. Ramadan yang telah dilalui dengan nikmat dan rahmatnya dan keampunanNya menyusul pula kedatangan Syawal. Kedatangannya bukan sekadar dirai dengan hanya menghulur salam saling bermaafan, bukan sekadar mengecap nikmat kuih muih, lemang ketupat dengan rendangnya. Bukan dengan balik kampung mengunjungi ibu bapa, menziarahi sanak keluarga dan sahabat handai, bukan itu semata-mata... Nikmat yang sebenarnya ialah nikmat masih berkemampuan menjalani ibadat puasa dan lain-lainnya kerana Allah. Abul-Laits Assamarqandi meriwayatkan dengan sanadnya dari Abu Darda’ r.a. yang berkata: “Andaikan tidak kerana tiga macam, maka saya tidak hirau untuk segera mati. Pertama: meletakkan dahi ke tanah kerana sujud kepada Allah. Dan (kedua) Puasa pada musim kemarau sehingga dapat merasakan benar-benar lapar dan haus dan (ketiga) duduk bersama kaum (orang-orang) yang menjaga benar-benar kalimat percakapan yang keluar dari mulut sebagaimana memilih biji-biji kurma yang baik.” Sehubungan dengan itu ada hadis yang bermaksud: “...adapun amal yang mendapat tujuh ratus, maka tiap amal memperjuangkan agama Allah atau perbelanjaan dalam jihad fisabilillah. Adapun yang tidak diketahui pahalanya kecuali oleh Allah s.w.t.sendiri ialah puasa.” Begitulah kelebihan ibadat puasa. Jadi peringatan di sini, buat saya dan para pembaca dalam menyambut syawal ini hendaklah kita melakukan amalan puasa sunat enam hari. Abu Hurairah r.a. berkata, Nabi s.a.w. bersabda: “Siapa yang puasa di bulan Ramadan kalau dilanjutkan dengan (puasa) enam hari pada bulan Syawal, maka sama dengan berpuasa sepanjang tahun.” Pembaca budiman, marilah kita rebut setiap amal kebaikan dan amal ibadat dalam sisa-sisa hidup kita yang masih tinggal ini. Entah Syawal tahun depan mungkin sebilangan kita akan menyambut di perut bumi. Jangan-jangan entah esok lusa kita sudah tiada lagi. Allah sahaja yang mengetahuinya. Terima kasih kepada pembaca yang mengirimkan ucapan “Selamat Hari Raya” melalui email dan kad raya dan sms. Sokongan anda hendaknya berterusan sampai bila-bila. Kami di sini juga turut memohon maaf dan mengucapkan “Selamat Menyambut Syawal 1431”.
Pembaca semua adalah di hati penerbit dan karyawan Hidayah.
Wassalam!

Pengarang
Shahimisaifulislam@yahoo.com.my

No comments: