CERITA orang terima rasuah tidak menjadi rahsia lagi. Menerima rasuah pula ada pelbagai cara, ada cara terang-terangan, cara gelap, cara sembunyi-sembunyi dan pelbagai lagi. Rasuah sekarang ini makin menjadi-jadi dan berlaku di sana sini serta di mana sahaja, dalam rumah, dalam kedai, dalam hotel, atas jalan raya, atas jambatan, dalam padang, coffee house dan lain-lain tempat. Mereka yang “makan rasuah” ini tidak tahu akibatnya. Bukan sahaja makan harta secara haram, bahkan hidup mereka hilang barakahnya. Balasan Allah s.w.t. kepada mereka yang makan rasuah terlalu berat. Balasannya, kadang-kadang Allah tunjukkan di atas dunia lagi. Ada rumahnya terbakar. Ada yang menerima musibah kerana keluarga dan diri sendiri menerima kemalangan dan bermacam-macam hal yang lain. Ada kalanya pula, Allah menangguhkan balasannya itu hingga hari akhirat kelak. Balasan di dunia dan akhirat tentang mereka yang makan benda-benda haram seperti rasuah ini telah diberitahu oleh Allah melalui lisan NabiNya Muhammad s.a.w. Oleh kerana mereka ini tidak tahu apa-apa mengenai kesalahan ini dari segi hukum agama, maka mereka terima rasuah dengan memberi makan kepada anak, isteri, ibu bapa, bapa mertua, ibu mertua dan sesiapa yang didalam tanggungannya. Seolah-olah rasuah itu tidak ada apa-apa bagi mereka. Dari rasuah mereka beli rumah baru, kereta baru, tanah baru, ‘bini’ baru dan barang-barang rumah baru dari wang rasuah yang dirampas dari hak orang. Oleh kerana mereka “jahil” dalam ilmu agama, tidak pernah mengaji agama, mendengar ceramah agama, tidak pernah menghadiri kuliah agama dan tidak pernah membaca buku agama, maka mereka terima rasuah itu “macam makan cendul” sahaja.
Ada kes rasuah dibawa ke Mahkamah. Apabila mereka diheret dan dibicarakan ke Mahkamah atas tuduhan rasuah, maka mereka akan pakai “ketayap putih”.Selah-olah ketayap putih itu mencerminkan pemakainya sebagai “orang baik-baik” belaka, kerana orang yang memakai ketayap putih lambang “lebai”, orang yang sudah naik “haji”. Dalam pembicaraan, mereka mendapatkan seorang peguam yang bijak dan pintar. Oleh kerana atas kebijaksanaan peguam itu, dia dibebaskan kerana tidak cukup bukti. Tetapi di hadapan Allah mereka tidak akan terlepas. Mereka cuma terlepas di dunia sahaja, tetapi di akhirat mereka tetap akan menerima hukuman dari Allah. Ada sebuah hadis Nabi s.a.w. yang panjang yang diriwayatkan oleh seorang sahabat Nabi yang paling rapat, iaitu Muaz bin Jabal tentang bagaimana Rasulullah s.a.w. memberitahu, manusia yang akan dibangkitkan dari kubur di akhirat nanti, dengan pelbagai bentuk dan rupa yang memalukan. Rupa dan bentuk ini bergantung kepada dosa yang dibuat oleh manusia di atas dunia, diantaranya termasuk makan benda-benda haram iaitu rasuah. Rasulullah s.a.w. menjelaskan ada yang dibangkitkan kelak berwajah “babi”, kerana memakan yang haram, dan merampas hak orang. Yang jelas kepada kita ialah apa yang dimaksudkan oleh Nabi s.a.w. itu ialah mereka yang rasuah, kerana rasuah itu memakan yang haram dan mengambil hak orang lain secara haram. Sebagaimana yang kita maklum bahawa “rasuah” ialah memakan harta yang tidak halal, mengambil hak orang lain, merampas harta orang secara paksa, memakan titik peluh orang secara haram.
Selanjutnya dapatkan Hidayah November 2010 di pasaran...
Friday, November 5, 2010
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment