SELAIN Fatimah yang begitu popular dalam sejarah, terdapat Zainab, puteri sulung Rasulullah s.a.w. dari perkahwinannya dengan Khadijah binti Khuwailid yang memiliki jejak perjuangan hidup yang pelik namun sarat makna. Sebelum Rasulullah diangkat menjadi Nabi, baginda menikahkan puterinya itu dengan sepupunya, Abul Ash bin Rabi’. Ibu Abul ‘Ash adalah Halah binti Khuwailid, ibu saudara Zainab dari pihak bondanya.
Dari hasil pernikahan tersebut, Zainab dan Abul ‘Ash dikaruniai dua orang anak, yakni Ali dan Umamah. Namun Ali meninggal dunia ketika masih kanak-kanak, sedang Umamah tumbuh dewasa dan kemudian berkahwin dengan Ali bin Abi Thalib setelah Fatimah Az-Zahra wafat. Suatu ketika, Zainab mengunjungi keluarganya. Ketika itu ia baru saja mendapat khabar tentang sebuah peristiwa besar lantaran ayahnya, Muhammad s.a.w., baru saja diangkat menjadi Nabi akhir zaman. Zainab mendengarkan keterangan hal tersebut dari ibunya, Khadijah. Berita ini tentulah membahagiakannya seraya berdegup kencang disusupi hidayah Islam setelah peristiwa tersebut. Sejak itu pula ia menyatakan keislamannya. Hanya saja, keislaman itu masih dilakukan secara sembunyi-sembunyi. Ia belum menerangkannya kepada Abul ‘Ash suaminya. Padahal Abul ‘Ash bin Rabi’ adalah termasuk orang-orang musyrik yang menyembah berhala. Pekerjaan sehari-harinya adalah sebagai pedagang. Ia sering meninggalkan Zainab untuk keperluan perniagaannya. Ia sendiri termasuk orang yang mengingkari kerasulan Muhammad s.a.w. meskipun dia adalah menantunya. Namun, ia tidak mengetahui bahawa isterinya, Zainab, sudah memeluk Islam mengikuti kepercayaan bapa mentuanya. Sampai suatu ketika, tersingkaplah tabir keislaman Zainab. Kejadian tersebut tak disia-siakan Zainab untuk mengajak suaminya agar memeluk Islam. Tapi Abul ‘Ash tetap membangkang. Ia mengabaikan ajakan tersebut. “Duhai Zainab isteriku, tidak akan tercapai tujuan di antara kita kecuali engkau tetap dalam agamamu dan aku tetap dalam agamaku.” Demikianlah. Menantu sulung Nabi s.a.w. itu masih setia dalam agama lamanya. Kepiluan tentulah merayap dalam diri seorang isteri yang berpisah dari suami. Namun perpisahan itu harus dilakukan. Ia tak memiliki pilihan lain sebab akidah telah membatasi mereka untuk merajut hari-hari bersama. Meski demikian Zainab tetap tegas dengan pilihannya. “Sabarlah, wahai suamiku. Kini engkau tidak halal lagi bagiku selama engkau tetap memeluk agamamu itu. Serahkanlah aku kepada ayahku, atau kau masuklah Islam bersamaku. Sebab jika tidak, Zainab isterimu ini, tidak akan menjadi milikmu sejak hari ini, kecuali bila kau beriman pada agama yang aku imani.”
Pasangan suami isteri itu pun akhirnya terdiam sebentar sambil merenung. Sampai tiba-tiba terdengar suara membisikkan kepada keduanya bahawa mereka tak mungkin lagi bersama kecuali suatu ketika agama mempersatukannya. “Jika agama memisahkan antara kedua jasad mereka, maka cinta mereka akan tetap ada hingga keduanya dipersatukan oleh sebuah agama.”
Menebus Diri
Kalau bukan kerana perbedaan akidah, sebetulnya sangat disayangkan perpisahan terjadi antara keduanya. Sebab sebagai seorang isteri, bagaimana pun juga Zainab telah menunjukan bakti kesetiaannya, yakni ketika suaminya ditawan oleh pasukan muslim. Saat itu ia berani menjaminkan dirinya demi untuk suami. Kisah itu bermula tatkala Abul ‘Ash bin Rabi’ pergi dalam lawatan dagangnya menuju Syria beserta kafilah-kafilah Quraisy. Khabar tersebut rupanya didengar oleh Rasulullah s.a.w. Sebagai panglima perang, baginda tahu kalau rombongan dagang itu tak semata-mata berniaga namun juga memiliki rencana licik untuk menumpas kaum muslimin. Kerana itulah Rasulullah memutuskan untuk mencegatnya. Maka sekembalinya rombongan tersebut dari sana, mereka langsung dihadang. Bertindak sebagai ketua rombongan tersebut Zaid bin Haritsah, ditemani 313 pasukan muslimin. Mereka menghadang kafilah dagang tersebut di Badar pada bulan Jamadil Awal. Mereka menangkap para kafilah itu dan barang-barang yang dibawanya serta menahan beberapa orang dari kafilah tersebut, termasuk Abul ‘Ash bin Rabi’. Ketika penduduk Makkah datang untuk menebus para tawanan, saudara lelaki Abul ‘Ash, Amr bin Rabi’, datang juga untuk menebus dirinya. Khabar ini pun rupanya sampai ke telinga Zainab yang saat itu masih tinggal di Makkah. Ia pun telah mendengar berita serangan kaum muslimin atas kafilah-kafilah Quraisy, termasuk berita tertawannya Abul ‘Ash. Sebagai ikhtiarnya, Zainab pun memutuskan untuk mengirimkan kalungnya, hadiah dari ibunya, ketika ia akan berkahwin dengan Abul ‘Ash bin Rabi’. Dengan kalung itu, Zainab berharap Rasulullah dan pasukan muslimin dapat mengampuni dan melindungi suaminya.
Tak berapa lama kalung itu pun sampai ke tangan Rasulullah. Baginda segera mengenali kalung tersebut sebab kalung itu telah mengingatkan dia kepada isterinya yang sangat ia sayangi. “Wahai kaum mukminin, seorang mukmin adalah penolong bagi orang mukmin lainnya. Setidaknya mereka memberikan perlindungan. Kita lindungi orang yang dilindungi Zainab. Jika kalian dapat mencari jalan untuk membebaskan Abul ‘Ash kepada Zainab dan mengembalikan kalungnya itu kepadanya, maka lakukanlah,” seru Nabi s.a.w. kepada pasukan muslimin di tempat penyerbuan. Mendengar seruan tersebut, pasukan muslim pun mematuhinya. “Baik, Rasulullah.” Mereka pun segera membebaskan Abul ‘Ash dan mengembalikan kalung itu kepada Zainab. Namun Rasulullah s.a.w. pun meminta Abul ‘Ash agar berjanji membiarkan Zainab bergabung bersama Rasulullah. Dan Abul ‘Ash pun memenuhi janjinya. Begitu Rasulullah kembali pulang, Zainab datang menemui dan memintanya untuk mengembalikan segala sesuatu yang telah diberikan kepadanya kepada Abul ‘Ash. Ini bererti, Zainab secara tegas hendak memisahkan diri dari ikatan perkahwinan dengan Abul ‘Ash. Dan Rasulullah pun mengabulkannya. Maka sejak itulah Zainab tidak halal lagi bagi Abul ‘Ash selama dia masih kafir dan terlarang mendatangi Abul ‘Ash.
Selanjutnya dapatkan Hidayah November 2010 di pasaran...
Thursday, November 4, 2010
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment