Rabu, 19 Mei 2010
Sebentar lagi waktu Maghrib tiba. Ahmad Matin, yang mesra dipanggil Aceng, sudah berpakaian rapi. Petang itu, ia mengenakan baju untuk bersolat warna abu-abu dengan songkok di kepala dan berkain sarung. Seperti hari-hari biasa, menjelang Maghrib, lelaki ini tengah mempersiapkan diri untuk mengerjakan solat Maghrib berjemaah di Surau al-Huda yang berjarak 150 m dari rumahnya. Selagi sihat dan nyawa masih di kandung badan, tak ingin sekali pun ia meninggalkan solat berjemaah. Rasanya, rugi sekali jika tidak mengikuti solat berjemaah. Kerana fadhilat solat berjemaah jauh lebih utama berbanding solat bersendirian. Hari itu, langit di atas kota Bekasi terlihat cerah. Lalu lalang kenderaan yang melintas di jalan raya jauh-jauh terdengar dari rumah Aceng. Setelah segelas air suam diminumnya, Aceng segera melangkahkan kakinya menuju surau. Sejenak ia menatap langit. Senja itu, kelelawar sudah mulai berkeliaran, burung-burung berterbangan hendak kembali ke sarangnya seolah menghias langit yang memancarkan warna merah petanda malam sebentar lagi tiba. “Bismillahirrahmanirrahim,” ucap Aceng seraya melangkahkan kakinya dengan mantap. Seulas senyum kerap menghiasi bibirnya setiap ia bertemu orang-orang yang menyapanya di sepanjang jalanan. Tak berselang lama, azan Maghrib pun berkumandang. Aceng sudah berada di surau dan segera menunaikan solat maghrib berjemaah. Selepas menunaikan solat sunat Maghrib, Aceng berzikir sejenak seperti biasanya. Lantas di sela-sela waktu menunggu waktu isyak itu, Aceng sempat berbual-bual sebentar dengan jemaah lain di surau. “Sehabis solat maghrib dan zikir, kita berbual-bual, bertanya khabar sesama jemaah,” kata H. Husaidi, Pengerusi Surau al-Huda, ketika diwawancara wartawan Majalah Hidayah. Waktu solat isyak menjelang. H. Jamhari memukul beduk, petanda masuk waktu isyak. Aceng yang kebetulan masih memiliki wuduk bersiap-siap untuk mengumandangkan azan. Kebetulan, saat itu, ia bertindak sebagai muazin di Surau al-Huda. Semua kalimat azan telah selesai dikumandangkan. Tanpa ada arahan, para jemaah langsung melakukan solat qabliyah dua rakaat, tak terkecuali Aceng. Para jemaah di surau tersebut sungguh tak melihat gejala apapun dalam diri Aceng. Semuanya biasa-biasa saja. Mulai takbir hingga menjelang tahiyat. Akan tetapi, begitu sujud kedua di rakaat kedua yang semestinya dilanjutkan dengan tahiyat, lelaki berusia setengah abad itu tak dapat menguasai tubuhnya lagi. Perlahan-lahan tubuh Aceng mendadak melayah ke kiri seperti hendak salam terakhir. Tubuhnya tersungkur dan langsung tak sedarkan diri. Tentu saja, pemandangan ini mengejutkan seisi jemaah di surau tersebut. H. Nashim yang kedudukannya di sebelah kanan Aceng dan sudah selesai mengerjakan solat qabliyah sempat berkata, “Ahh... ahh.. ahh...” begitu mengetahui tubuh Aceng melayah sebelum menyelesaikan solat qabliyahnya.
Ia segera menghampiri Aceng yang tertelungkup. H. Husaidi yang baru saja menyelesaikan qabliyahnya ikut membantu. Tubuh Aceng diangkat kemudian cuba diberikan segelas air mineral, namun rupanya Aceng sudah tak bergerak lagi. Mulutnya diam seribu bahasa dan sudah tak dapat meminum air yang diberikan kedua temannya tersebut. Kedua matanya sudah merapat. Sedar bahawa tak ada respon lagi dari Aceng, para jemaah kemudian membaringkannya. Tentu saja keadaan ini membuat para jemaah lain yang bermaksud menunaikan solat isyak berjemaah agak panik. Lima minit berlalu, tanda-tanda kehidupan Aceng sepertinya sudah tidak ada harapan lagi. Sampai akhirnya kepastian itu datang setelah dilakukan pemeriksaan oleh doktor yang dipanggil datang ke surau.
Doktor itu pun menggeleng-gelengkan kepala sebagai isyarat bahawa tidak ada lagi tanda kehidupan dalam tubuh Aceng. Ya, Aceng sudah meninggal dunia. “Innaa lillaahi wa innaa ilaihi raaji’uun,” serentak beberapa jemaah yang berada di keliling tubuh Aceng berucap. Berita kematian Aceng terdengar di sekitar surau. Tak lama kemudian berdatangan orang ramai yang memang mengenali Aceng datang ke surau. Ada rasa terngiang-ngiang mengingat senandung azan isyak yang dikumandangkan Aceng masih mereka dengar, namun tak berselang lama mereka mendengar pula khabar kematiannya. Mereka terharu sekaligus kagum mendengar kematian Aceng yang mati di surau ketika sedang bersolat sunat qabliyah. “Kita segera usung jenazahnya kembali ke rumahnya. Ternyata ketika sampai, pintu rumahnya terkunci. Isteri dan anak-anaknya rupanya tidak berada di rumah. Namun tak lama kemudian, mereka pulang.” Ada kesedihan menyelimuti raut seisi keluarga kerana orang terbaik di sisi mereka, kini telah meninggalkan mereka. Apalagi isteri dan anak-anaknya. Akan tetapi, mereka mengerti tak boleh berbuat apa-apa kecuali akhirnya menerima dengan lapang dada. Meski pun sedih, ada sekilas kebahagiaan di wajah si isteri. Sebabnya diketahui dari penuturan para jemaah di Surau al-Huda bahawa suaminya meninggal dunia saat mengerjakan solat sunnah qabliyah isyak.
Selanjutnya dapatkan Hidayah November 2010 di pasaran...
Friday, November 5, 2010
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment