Monday, May 14, 2012

Khalwat: Bilik Hotel Ustaz Kena Serbu

DALAM sambutan maulid Nabi s.a.w., boleh dikatakan saban malam terutama hari Sabtu malam Ahad, masjid-masjid dan surau dipenuhi dengan acara ceramah mengenai maulid. Ada sebuah surau di pinggir Ibu Kota Kuala Lumpur telah mengadakan majlis sambutan maulid. Seorang ustaz telah diundang memberikan ceramahnya. Ustaz ini tidaklah hebat sangat pun, tetapi bagi memenuhi acara maulid, beliau diantara diundang memberikan ceramahnya. Dalam ceramahnya itu, ustaz itu tidak pula menghuraikan mengenai Sirah Rasulullah s.a.w. Cuma beliau sentuh sikit-sikit saja. Beliau banyak bercakap hal-hal lain yang berlaku sekitar dirinya, dan pengalamannya mengadakan ceramah-ceramah di sana sini. Tetapi ada satu cerita yang agak menarik disampaikannya. Cerita itu adalah mengenai dirinya sendiri yang diserbu oleh pegawai-pegawai dan kakitangan pencegah maksiat. Kebetulan beliau mendapat undangan dari sebuah jawatan kuasa masjid di sebuah Pulau peranginan di bahagian utara Semenanjung. Oleh kerana pulau itu merupakan tempat berehat, ustaz itu membawa bersama isteri dan anak-anaknya. Menurut cerita ustaz itu, selepas memberikan ceramah pada malam itu beliau pulang ke hotelnya. “Hotelnya pun tidaklah mahal sangat pun,” katanya dengan senyum. Oleh kerana letih dan mengantuk sangat, dia bersama keluarganya tidur awal pada malam itu. Kira-kira jam 2.00 pagi, pintu biliknya diketuk orang. Ustaz ini pun kelam kabut bangun. Dia menyangka tentulah ada sesuatu yang berlaku di luar sana. Anak-anak dan isterinya lelap tidur. Dengan mata yang terpisat-pisat, sambil mengesat-ngesat mata, ustaz itu bukalah pintu. Seorang wanita terus menerpa masuk ke dalam bilik. Dia beritahu dia pegawai pencegah maksiat, dan mahu periksa ada orang buat maksiat. Ustaz itu bercerita lagi, tanpa memperdulikan penjelasan yang diberikan bahawa yang terbaring di atas katil seramai 4 orang itu adalah anak-anak dan isterinya. “Khalwat apa bendanya,” ustaz itu bercerita. Tetapi pegawai itu konon mempunyai kuasa besar terus memeriksa dalam almari, celah-celah pintu, bawah katil, masuk ke bahagian dapur. Di luar pintu ramai yang melihat-lihat ke bilik barang kali mereka nak melihat adakah wanita yang sedang separuh bogel sedang diberkas atau pun disoal siasat. Kemudian pegawai maksiat itu meminta surat nikah dari ustaz sebagai bukti yang terbaring itu adalah anak dan isterinya. “Saya datang di sini untuk memberikan ceramah agama. Nak buat apa saya bawa surat nikah,” jawab ustaz itu menceritakan peristiwa dia dan keluarganya diserbu oleh rombongan pencegah maksiat. Inilah satu peristiwa yang paling pahit yang dialami dalam hidupnya. Mendengar cerita dari ustaz tersebut, kita dapat membuat kesimpulan betapa kerja-kerja itu mengundang dosa dan mengundang fitnah kepada pegawai-pegawai pencegah maksiat itu sendiri.


Selanjutnya dapatkan Hidayah Mei 2012 di pasaran...

No comments: