Wednesday, September 11, 2013

Bertaubat Yang Membawa Ke Syurga

YANG pasti! Tidak ada seorang manusia pun di muka bumi ini yang sempurna. Manusia adalah tempat salah, dosa, lupa dan khilaf kecuali oleh para Nabi ‘alaihimussalam.. Kalau nak hitung agaknya berapa banyak dosa-dosa dan kesalahan yang kita lakukan hari ini, belum lagi hari kelmarin atau hari mendatang. Tidak mustahil tidak mungkin terjerumus ke kancah dosa termasuk dosa-dosa besar yang tanpa kita sedari atau kita buat-buat tidak sedar. Semoga Allah melindungi kita. Demikianlah keadaan manusia yang banyak dinyatakan oleh Allah di dalam Al-Quran. Diantaranya firman Allah yang bermaksud: “Manusia itu diciptakan dalam keadaan lemah.” (An-Nisa’: 28) “Sesungguhnya manusia itu sangat zalim dan sangat mengingkari (nikmat Allah).” (Ibrahim: 34) Rasulullah juga menegaskan tentang kelemahan dan kekurangan anak cucu Adam ini. Dari sahabat Anas bin Malik, bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda: “Setiap anak Adam (manusia) pasti sering berbuat kesalahan “Dan sebaik-baik orang yang berbuat kesalahan adalah yang mahu bertaubat.” (HR. Ibnu Majah no. 4251 dan lainnya) Tidaklah Nabi mengatakan sebaik-baik manusia adalah yang tidak pernah bersalah, kerana tidak ada seorang manusia pun yang maksum (terjaga dari kesalahan) kecuali para Nabi. Tetapi Rasulullah menegaskan bahawa orang-orang yang bertaubat dan mengakui kesalahan, serta kembali kepada kebenaranlah yang terbaik di antara mereka. Oleh kerana itu, bila kita terjerumus ke dalam perbuatan dosa dan kesalahan, maka segeralah bertaubat kepada Rabbul ‘alamin. Allah berfirman yang bermaksud: “Bersegeralah menuju kepada ampunan dari Rabb kalian dan kepada al jannah (syurga) yang seluas langit dan bumi, yang disediakan bagi orang-orang yang bertakwa.” (Ali Imran: 133)

Anjuran untuk Bertaubat
Taubat, tidaklah sebatas usaha seorang hamba untuk memohon ampunan dari Allah, namun taubat ini sekaligus termasuk ibadah agung yang mulia di sisiNya kerana perbuatan taubat itu merupakan perintah dari Allah. Sebagaimana Allah berfirman yang bermaksud: “Wahai orang-orang yang beriman, bertaubatlah kepada Allah dengan taubat yang semurni-murninya,...” (At Tahrim: 8) Taubat juga merupakan ibadah yang sangat dicintai oleh Allah. Allah sangat gembira melihat hambaNya yang setiap kali terjebak dalam dosa dan kesalahan ia segera bertaubat dari dosa dan kesalahannya. Sebagaimana sabda Nabi s.a.w. yang bermaksud:
“Sesungguhnya Allah sangat gembira terhadap taubat hamba-Nya melebihi kegembiraan salah seorang di antara kalian yang kehilangan untanya di padang pasir kemudian menemukannya kembali.” (HR. Muslim no.2747) Dalam sabdanya yang lain, Rasulullah mengatakan: “Sesungguhnya Allah membentangkan tanganNya pada malam hari untuk menerima taubat orang yang berbuat kejelekan pada siang hari, dan Allah membentangkan tanganNya pada siang hari untuk menerima taubat orang yang berbuat kejelekan pada malam hari, sampai matahari terbit dari barat.” (HR. Muslim no. 2759) Rasulullah sebagai insan uswah hasanah (tauladan terbaik bagi umat Islam) tidak pernah meninggalkan amalan mulia ini, walaupun beliau seorang yang ma’shum. Beliau menyatakan: “Wahai sekalian manusia, bertaubatlah kepada Allah dan beristighfarlah kepada-Nya, sesunggunya aku bertaubat kepadaNya dalam sehari seratus kali.” (HR. Muslim no. 2702) ‘Aisyah mengatakan: “Dahulu Rasulullah sebelum wafat banyak mengucapkan: “Maha Suci Allah dan dengan memujiNya aku memohon ampun dan aku bertaubat kepadaNya.” (Muttafaqun ‘Alaihi)

Selanjutnya dapatkan Hidayah September 2013 di pasaran...

No comments: