Wednesday, September 11, 2013

Jin Perintah Bumi Ini Sebelum Manusia

Dalam kitab-kitab agama ada menjelaskan sebab-sebab kenapa iblis tidak mahu tunduk kepada perintah Allah apabila Allah memerintahkan para malaikat dan iblis memberi hormat kepada Adam a.s.?
Sebenarnya ada sebab-sebab tertentu kenapa iblis tidak mahu ikut perintah Allah itu, sedangkan iblis itu adalah di antara makhluk yang paling taat kepada Allah. Menurut para ulama, sebelum bumi ini dihuni oleh sesiapapun makhluk, Allah telah memerintahkan jin menghuni bumi ini. Oleh kerana jin itu telah melakukan berbagai keburukan, onar, kejahatan dan pelbagai kejahatan yang dilarang, akhirnya Allah arahkan para Malaikat menghalau para jin itu keluar dari muka bumi ini. Akhirnya jin meninggalkan bumi ini. Ada di antaranya lari ke laut, di hutan-hutan belantara dan di kawasan-kawasan yang boleh mereka tinggal.
Iblis juga sama dalam misi ini untuk mengusir para jin itu keluar dari muka bumi ini yang ketika itu menjadi sebagai khalifah di muka bumi ini. Menurut keterangan para ulama dalam kitab-kitab tersebut, iblis sebenarnya mempunyai cita-cita yang besar, iaitu ingin menjadi khalifah di muka bumi ini. Harapan iblis setelah jin dikeluarkan, dihalau dari muka bumi ini semoga Allah akan melantiknya (iblis) sebagai khalifah bagi menggantikan golongan Jin. Allah Maha Mengetahui apa yang tersemat di hati setiap makhluknya di muka bumi ini termasuklah jin dan iblis. Sunnatullah sudah menentukan bahawa bumi ini akan dihuni oleh para insan, dan sebagai khalifahnya. Allah menjadikan Adam sebagai makhluk yang paling baik dan sebaik-baik kejadian khalifah di muka bumi ini. Bila bentuk Adam dijadikan Allah, maka Allah perintahkan para malaikat dan iblis supaya memberi hormat kepada Adam. Tetapi hanya iblis sahaja yang tidak mahu tunduk untuk memberi hormat. Cerita ini sudah pun diketahui oleh umum, kerana ia sudah dijelaskan dalam kitab suci Al-Quran. Apa yang mahu dijelaskan bahawa implikasi dari sikap iblis yang engkar terhadap perintah Allah itu. Kalau kita contohkan di dunia sekarang, iblis merupakan satu golongan yang mempunyai cita-cita politik yang benar mahu menguasai dunia ini. Iblis mempunyai wawasan mahu menjadi “Pemimpin Politik Dunia” yang semua mahkluk di atas muka bumi ini tunduk kepadanya. Oleh kerana cita-cita politik iblis tidak terlaksana dan gagal. Akhirnya iblis mengambil keputusan tidak mahu tunduk. Keengkaran konon! Dia dijadikan dari nyala api, sedangkan Adam dijadikan dari tanah, maka dari dua unsur ini, iblis berpendapat bahawa nyalaan apilah yang lebih baik dari tanah. Selain dari alasan asal kejadiannya, iblis mempunyai wawasan tinggi mahu jadi pemimpin, mahu jadi khalifah dan sebab itulah dia engkar atas perintah Allah. Cita-cita politik iblis mahu menguasai dunia tidak tercapai, kerana Allah lebih mengetahui, Allah maha mengetahui apa yang terkandung dalam hati sanubari iblis bila dia jadi khalifah di bumi kelak. Bila Allah melantik Adam sebagai khalifah, maka timbullah rasa dengki dan sombong iblis terhadap Adam, kerana seolah-olah Adam merampas haknya untuk menjadi khalifah di bumi. Akhirnya iblis mohon kepada Allah supaya ia diberi tangguh kematiannya hingga hari kiamat. Permohonannya diperkenankan oleh Allah.
Itulah sebabnya, iblis tidak pernah putus asa dan akan terus menerus untuk menyesatkan anak cucu Adam, kerana terbit dari sifat dengkinya itu. Jadi, kalau kita sebagai insan mempunyai sifat dengki terhadap sesama insan, maka bolehlah kita di anggap sama dengan ‘iblis’. Sifat dengki itu memang tidak patut wujud dalam hati setiap insan. Sebenarnya marah atau dengki itu ialah secebis api yang bersumber dari Api Allah yang bernyala-nyala yang panasnya naik kepangkal hati.

Selanjutnya dapatkan Hidayah September 2013 di pasaran...

No comments: