Wednesday, September 11, 2013

Sejarah Puasa Para Nabi a.s.

SEBAGAIMANA yang kita maklum, Ramadan termasuk di antara bulan-bulan yang mulia. Kerana itu, kehadirannya selalu disambut oleh umat Islam di seluruh di dunia. Salah satu kemuliaan bulan ini kerana di dalamnya terdapat malam Lailatul Qadar, suatu malam yang lebih baik dari seribu bulan. Orang yang beroleh mendapatkannya sangatlah beruntung dan berbahagia. Secara syariat, puasa diperintahkan oleh Allah dalam Surat al-Baqarah ayat 183, yang ertinya, “Hai orang-orang yang beriman diwajibkan atas kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang sebelum kamu agar kamu bertakwa.”  Berdasarkan ayat di atas, maka hukum puasa Ramadan adalah wajib. Menurut Prof. Dr. M. Quraish Shihab, MA., dalam Wawasan al-Quran, diwajibkan puasa Ramadan ketika Nabi s.a.w. hijrah ke Madinah. Sebab, ulama al-Quran sepakat bahawa surat al-Baqarah turun di Madinah. Para ahli sejarah menyatakan bahawa kewajipan melaksanakan puasa Ramadan ditetapkan Allah pada 10 Syaaban tahun kedua Hijrah. Pertanyaannya: apakah perintah wajib puasa sebulan penuh tersebut dilakukan secara bertahap atau tidak? Sebahagian ulama berpendapat bertahap, mulai dari tiga hari hingga sebulan penuh. Tetapi, Quraish Shihab berpendapat lain. Menurutnya, bahawa turunnya perintah puasa sebulan penuh itu dilakukan secara langsung, bukan bertahap. Bila kita tengok ayat di atas nampak bahawa puasa juga diwajibkan bukan saja kepada umat Nabi Muhammad s.a.w., tetapi juga umat-umat sebelumnya. Menurut Mujahid, Allah telah mewajibkan puasa bulan Ramadan atas semua umat manusia. Bererti, bukan saja terhadap umat Islam, tapi juga kepada umat-umat yang lain.
Demikian pula Muhammad Rasyid Ridha. Ia menulis dalam tafsirnya bahawa puasa telah diwajibkan terhadap semua agama terdahulu dan menjadi sendi semua agama. Yang demikian kerana puasa merupakan ibadah yang terkuat pengaruhnya dan teragung sebagai sarana pendidikan. Profesor Muhammad Faried Wajdi menerangkan bahawa puasa diwajibkan atas segenap umat atau bangsa sejak dulu kala; dan penyelidikan-penyelidikan untuk mencari keterangan-keterangan yang benar tentang hal itu pada akhir-akhir ini telah menunjukkan kebenarannya. Menurut HM. Siswono dalam Puasa pada Umat-umat Terdahulu dan Sekarang (2010), ayat tersebut seolah-olah mengundang kita untuk mengungkapkan pengetahuan tentang sejarah bangsa-bangsa penganut agama-agama terdahulu, dalam mengungkap dan menyelidiki sejarah umat pemeluk agama-agama di masa lampau, khususnya tentang ajaran puasa di kalangan mereka. Salah satu puasa para Nabi terdahulu diungkapkan oleh Ibnu Katsir dalam tafsirnya. Menurutnya, Nabi Adam a.s. berpuasa selama 3 hari setiap bulan sepanjang tahun. Ada pula yang mengatakan bahawa Adam berpuasa pada 10 Muharram sebagai rasa bersyukur bertemu dengan isterinya, Hawa a.s., di Arafah. Yang lain berpendapat bahawa Nabi Adam berpuasa 40 hari 40 malam setiap tahun; sedangkan yang lain menyebutkan, bahawa Adam berpuasa dalam rangka mendoakan putera-puteranya. Pendapat lainnya menjelaskan, Adam berpuasa pada hari Jumaat untuk mengenang peristiwa penting, yakni dijadikannya dia oleh Allah, hari diturunkannya ia oleh Allah dari dalam syurga dan dia bertaubat kepada Allah atas dosanya memakan buah khuldi.

Selanjutnya dapatkan Hidayah September 2013 di pasaran...

No comments: