Wednesday, September 11, 2013

Salam Kami

ASSALAMUALAIKUM WR.WBT.
Segala puji dan syukur ke hadrat  Allah s.w.t. serta salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w. Memanglah hidup ini penuh dengan warna warninya, penuh dengan ragam dan peristiwa yang berlaku di sana dan di sini.Bagi yang mahu melihat dengan mata yang terbuka dan meniliti dengan mata hati, memadailah ianya menjadi iktibar dan teladan buat diri masing-masing. Al-Hasan berkata: “Berfikir sesaat lebih baik daripada ibadah sepanjang malam.” Ahli sufi Fudhail pula berkata: “Tafakur itu cermin kaca yang akan memperlihatkan kepadamu kebaikan dan keburukannya.” Sementara Sufiyan bin Uyainah pula bermadah: “Jika orang memiliki fikiran, segala sesuatu akan menjadi pelajaran.” Rasailah denyut nadi kehidupan di sekeliling anda. Kita tidak hidup berseorangan. Kita hidup bermasyarakat. Hayatilah hidup anda dengan menjadikan setiap yang belaku di sekitar anda sebagai iktibar. Melalui media massa kita dapat menimba pelbagai peristiwa. Cedoklah apa yang jernih dan kuaklah apa yang keruh dan jadikanlah ianya cermin kehidupan. Dalam kaitan inilah Hidayah tidak jemu-jemu memaparkan pergolakan hidup masyarakat dalam dunia realitinya. Begitu juga dengan keluaran kali ini kita persembahkan cebisan peristiwa yang boleh dijadikan pengajaran. Kisah ‘Derita memijak Al-Quran’ boleh dijadikan pengajaran. Bagaimana hanya untuk secebis habuan dunia, manusia sanggup bersumpah untuk menutup keburukan yang dilakukan. Sementara ‘Hidayah Dalam Terowong’ menyingkap pengakuan berterus terang seorang yang berjaya dalam kerjayanyanya sebagai usahawan, namun mengabaikan tanggungjawabnya sebagai seorang muslim yang sejati. Dia beruntung mendapat petunjuk hidayah dalam keadaan luar biasa. Pembaca juga wajib membaca rencana melalui ruangan ‘Bicara Ustaz Hashim Al-Maranji’ yang semoga dapat membuka mata hati dalam membimbing diri menuju kehidupan bahagia di akhirat. Dan banyak lagi rencana-rencana lain yang boleh anda hayati sebagai santapan kerohanian. Jadikanlah majalah ini santapan jiwa yang wajib dibaca setiap keluarannya. Anda tidak rugi menjadi ‘pembaca setia’ majalah ini. Tegurlah kami dengan apa yang kurang, dan sokonglah kami dalam meneruskan usaha berdakwah melalui pembacaan. Terima kasih dengan sokongan berterusan anda. Berjumpa lagi dalam keluaran akan datang, InsyaAllah.
Wassalam!

Pengarang
Shahimisaifulislam@yahoo.com.my

No comments: