Thursday, July 19, 2012

Jangan Biarkan Diri Dibelit Iblis

SEMUA yang berpangkat “Jeneral” dikalangan “iblis” dan “syaitan” ada di Makkah dan Madinah. Tugas mereka untuk melalaikan umat Islam dari pergi ke masjid untuk bersembahyang berjemaah. Itulah sebabnya, ada di antara para jemaah yang melakukan “Haji” atau pun “Umrah”, kadang-kadang terlepas dari bersembahyang berjemaah di Masjidil Haram  atau pun di Masjidil Nabawi. Apa lagi kalau para jemaah itu bersama dengan kawan-kawan sebilik yang hanya kenal di Makkah saja, dan ketika di sana mereka tinggal sebilik, manalah ada masa untuk mengejutkannya supaya bangun segera pergi masjid? Ketika berada di Makkah, masing-masing dengan halnya. Kecuali suami isteri. Dia bersama anak-anaknya. Dia bersama ibu ataupun bapanya, bolehlah dia ambil perhatian berat. Tetapi sekadar sebagai seorang sahabat, bila azan berkumandang masing-masing kelam kabut masuk bilik air dan ambil wuduk untuk bersembahyang.
Kalau tempat itu jauh dari tempat penginapan, timbul juga masalah. Sejam lagi masuk waktu solat, kita terpaksa bersiap sedia untuk keluar dari hotel. Kalau kita terlambat, kita tidak dapat tempat. Kita terpaksa bersembahyang di luar saja. Itulah sebabnya, kalau ada kawan-kawan bercerita, dia tidak dapat berjemaah beberapa waktu, kerana terlewat, akibat tertidur. Masa yang agak panjang sedikit ialah antara subuh dengan zuhur. Waktu inilah para jemaah yang “kaki tidur boleh tidur”. Tetapi kalau sentiasa tidur-tidur saja, zuhur akan terlepas dari berjemaah, hanya dapat bersembahyang dalam hotel sahaja. Selepas zuhur, kita akan menghadapi waktu asar pula. Antara zuhur dan asar, masanya tidaklah begitu lama. Kita tidak bolehlah nak tidur-tidur sebagaimana waktu selepas subuh. Begitulah juga antara asar dan maghrib, masanya juga tidak lama. Kalau tempat penginapan agak jauh, kita terpaksa bersiap-siap sejam sebelum masuk waktu.
Oleh sebab itulah kita tidak boleh tidur-tidur. Para jemaah sentiasa berkejar-kejar untuk mendapatkan tempat berjemaah bersama Imam. Kalau kita tertidur, maka kita akan terlepas dari berjemaah. Masa tidur itulah, Iblis akan “membelit” kita. Ketika itulah jeneral-jeneral syaitan akan dikerahkan untuk mengkhayalkan kita supaya terus tidur. Beberapa ramai orang tidak dapat berjemaah dalam masjid. Kadang-kadang ada yang tidak sempat masuk dalam masjid, dan hanya dapat berjemaah di kaki lima kedai saja. Ada yang membentangkan sejadah ditepi-tepi jalan, kerana mahukan pahala jemaah itu. Kedai-kedai yang berdekatan dengan Masjidil Haram itu akan ditutup apabila tiba waktu solat. Sembahyang subuh terutamanya, kita mestilah ada sebuah “jam loceng” untuk membangunkan kita segera. Kalau waktu sembahyang  subuh jam 3.30 pagi, kita hendaklah mengunci jam kita kira-kira jam 2.40 untuk membolehkan kita bersiap-siap lebih awal ke masjid.

Selanjutnya dapatkan Hidayah Julai 2012 di pasaran...

No comments: