Friday, July 20, 2012

Orang Islam Sekarang Lebih Suka Bermusuh

ISLAM, adalah satu nama yang besar dan agung. Tidak ada yang lebih  agung darinya. Nilainya tidak terhingga. Nama  itu diberi oleh Allah s.w.t. sendiri. Islam itu bukan diberi oleh Nabi Besar kita Muhammad s.a.w. dan mana-mana pihak pun. Allah telah memberitahu Rasulnya Muhammad s.a.w. bahawa Allah redho Islam itu menjadi agama kita. Jadi, sama-samalah kita pelihara Islam itu supaya ia tidak tercemar.
Maksudnya, janganlah ada diantara sesama kita menjadikan nama Islam itu sebagai topik untuk kita berbahas, berbincang dan berpolimek sehingga nama Islam itu menjadi lain pula bila ditafsirkan kelak.
Kadang-kadang manusia ini hilang pegangan, hilang perhitungan, sehingga yang baik datang dari Allah itu, akhirnya menjadi tidak baik bila tiba ditangan manusia. Manusia sendirilah yang merasakan  nama dan nikmat yang diberikan oleh  Allah itu. Islam, sebagaimana yang kita tahu adalah satu agama, satu pegangan hidup.
Adanya agama itulah yang menjadikan manusia ada prinsip hidupnya. Itulah sebabnya Allah berikan agama kepada manusia. Agama itulah merupakan satu keyakinan kepada manusia. Agama yang diredhoi oleh Allah untuk manusia itu, ialah Islam. Oleh yang demikian, etika dakwah dalam Islam ialah bagaimana mengislamkan orang Islam, bukan mengislamkan orang di luar Islam. Sejauh ini apa yang dilakukan oleh para mubaligh ialah menyampaikan Islam, dan bukan mengislamkan orang. Kalau kita menghimbau kembali sejarah Islam, apakah Nabi Nuh a.s. tidak ingin supaya anaknya beriman? Apakah Nabi Muhammad s.a.w. tidak ingin Abu Jahal dan Abu Lahab berdiri dibarisan orang-orang yang beriman? Kalau sejarah menceritakan anak Nabi Nuh a.s. berdiri dibelakang orang-orang kafir. Azar ayah Nabi Ibrahim a.s. menjadi pengukir berhala, manakala Abu Jahal pula menentang perjuangan Nabi s.a.w., itu semuanya sebagai contoh bahawa kita hanya berkewajipan menyampaikan Islam. Sedangkan setiap individu itu sama ada Islam atau pun tidak, bergantung sepenuhnya kepada kurniaan hidayah dari Allah s.w.t. Yang penting bagi umat Islam ialah menjaga kerukunan umat seagama. Kita tidak perlu untuk bertelagah antara satu dengan lain semata-mata kerana soal kecil, soal mentakrifkan Islam itu sendiri. Islam sudah mengikat kita dengan akidah, iaitu keyakinan. Dari mana pun kita datang, apa pun warna kulit kita, kalau akidah kita sama, maka kita adalah bersaudara. Walau pun kita berlainan fahaman politik, tetapi akidah kita sama, maka kita bersaudara dalam Islam. Kenapa mesti kita bercakaran sesama sendiri? Apakah tokoh-tokoh agama kita tidak nampak semua ini? Allah s.w.t. telah menyempurnakan agama kita. Allah telah mencukupkan nikmatnya kepada kita. Allah telah redho Islam itu menjadi agama kita. Apa lagi yang kita mahu? Apa perlu lagi kita bergaduh? Apa perlu lagi kita ungkit itu dan ini? Soal untuk bertengkar hanya kerana soal kecil, soal mahu mencari pengaruh, dan soal untuk mengekalkan kedudukan, sudah berlalu. Dunia ini tidak lama. Dunia ini tidak kekal. Apa bendanya yang kita nak rebut-rebut? Kita perlu menjaga dan mengawasi dimana umat Islam sekarang menghadapi tentangan yang lebih berat. Setengah setengah dari pemimpin barat menganggap agama Islam dan umat Islam sebagai agama orang mundur, ridak mampu memerintah dan membangun negara sendiri yang sering terlibat dengan keganasan. Hari ini sesiapa yang memiliki nama Islam diberi layanan yang buruk. Mereka ditahan, disoal, diperiksa, diserang bahkan dibunuh dengan sewenang-wenangnya. Memang jelas bahawa umat Islam sekarang tertindas dan dihina di dunia. Hakikatnya sekarang, kita orang-orang Islam sudah tidak lagi berpegang kepada ajaran Islam sebenarnya. Hari ini orang-orang Islam dan negara-negara Islam lebih kuat bermusuh dari orang bukan Islam atau pun negara bukan Islam yang bermusuh dengan kita.
Ada diantara orang-orang Islam dan negara Islam yang sanggup bersyubahat dengan musuh Islam daripada bekerjasama dengan orang Islam atau negara Islam.

Selanjutnya dapatkan Hidayah Julai 2012 di pasaran...

No comments: