Thursday, July 19, 2012

Mereka Yang Haram Dinikahi

PERNIKAHAN yang disyariatkan Islam sebenarnya bertujuan menautkan dua hati antara seorang lelaki mukmin dan perempuan mukminah. Mukmin manapun bebas menentukan pilihan kepada siapa hatinya akan ditambatkan; apakah kelak pendamping hidupnya seorang gadis, ataukah janda. Begitu pula dengan wanita mukminah. Status duda atau masih bujang tidak menjadi halangan untuk melangsungkan pernikahan. Asalkan beriman dan mampu, dia boleh menikahi wanita mukmin. Namun Allah memberi aturan tegas bahawa tidak semua wanita mukminah boleh dinikahi. Dalam al-Quran disebutkan secara tegas sejumlah wanita yang haram dinikahi kerana dianggap memiliki hubungan nasab (kekeluargaan). Mereka ini disebut dengan mahram. Hubungan mahram ini melahirkan beberapa tanggapan, iaitu hubungan mahram yang bersifat kekal, antara lain kebolehan berkhalwat (berduaan), kebolehan bepergiannya seorang wanita dalam suatu perjalanan (safar) lebih dari tiga hari asal ditemani mahramnya. Akan tetapi hubungan mahram yang selain itu, adalah mahram sekadar haram untuk dinikahi, tetapi tidak membuat halalnya berkhalwat, bepergian berdua, atau melihat sebahagian dari auratnya. Hubungan mahram model ini disebut sebagai hubungan mahram yang bersifat sementara saja. Wanita yang haram dinikahi (mahram) disebutkan dalam al-Quran surat An-Nisa’, ayat 23. “Diharamkan atas kamu (mengahwini) ibu-ibumu; anak-anakmu yang perempuan; saudara-saudaramu yang perempuan, saudara-saudara bapamu yang perempuan; saudara-saudara ibumu yang perempuan; anak-anak perempuan dari saudara-saudaramu yang lelaki; anak-anak perempuan dari saudara-saudaramu yang perempuan; ibu-ibumu yang menyusui kamu; saudara perempuan sepersusuan; ibu-ibu isterimu (mertua); anak-anak isterimu yang dalam pemeliharaanmu dari isteri yang telah kamu campuri, tetapi jika kamu belum campur dengan isterimu itu (dan sudah kamu ceraikan), maka tidak berdosa kamu mengahwininya; (dan diharamkan bagimu) isteri-isteri anak kandungmu (menantu); dan menghimpunkan (dalam perkahwinan) dua perempuan yang bersaudara, kecuali yang telah terjadi pada masa lampau. Sesungguhnya Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.” Ayat ini memperincikan beberapa kriteria orang yang haram dinikahi sekaligus menjadi orang yang boleh melihat bahagian aurat tertentu dari wanita. Mereka adalah ibu kandung, anak-anak perempuan, saudara-saudara perempuan, saudara-saudara perempuan bapa (ibu-ibu saudara), saudara-saudara perempuan ibu (ibu-ibu saudara), anak-anak perempuan dari saudara-saudara lelaki (anak saudara), anak-anak perempuan dari saudara-saudara yang perempuan (anak-anak saudara), ibu-ibu yang menyusui, saudara perempuan sepersusuan, ibu-ibu dari isteri (mertua, ibu dari ibu mertua dan seterusnya ke atas), anak-anak isteri yang dalam pemeliharaan (diasuh) isteri yang digauli, serta isteri-isteri anak kandung (menantu).

Peringkat Mahram
Para ulama membagi dua peringkat mahram: mahram yang bersifat abadi, iaitu keharaman yang tetap akan terus melekat selamanya antara lelaki & perempuan, apa pun yang terjadi antara keduanya. Lalu, mahram bersifat sementara, iaitu kemahraman yang sewaktu-waktu berubah menjadi tidak mahram, tergantung tindakan-tindakan tertentu terkait dengan syariah yang terjadi. Para ulama membahagi mahram yang bersifat abadi ini menjadi 3 kelompok berdasarkan penyebabnya. Pertama, kerana sebab hubungan nasab; nasab ibu kandung dan seterusnya ke atas seperti nenek, ibunya nenek, anak wanita dan seterusnya ke bawah (cucu, cicit dan seterusnya), saudara kandung wanita, anak perempuan dari saudara lelaki mahupun saudara perempuan (anak saudara), ibu saudara dari pihak ayah mahupun ibu Kedua, kerana hubungan perkahwinan (perbesanan/ipar) seperti ibu dari isteri (mertua wanita) dan seterusnya ke atas yang segaris (nenek dari ibu mertua dan seterusnya), anak wanita dari isteri (anak tiri dan seterusnya ke bawah yang segaris), isteri dari anak lelaki (menantu perempuan), isteri dari ayah (ibu tiri dan seterusnya ke atas), dan anak tiri yang diasuh oleh ibu tiri. Ketiga, kerana hubungan akibat persusuan. Yakni ibu yang menyusui, kerana dia menjadi ibu bagi anak yang disusuinya. Ibu dari ibu yang menyusui (nenek), kerana ia telah menjadi neneknya. Ibu dari suami wanita yang menyusui, kerana ia juga telah menjadi neneknya, saudara perempuan ibu yang menyusui, kerana ia menjadi ibu saudara bagi yang disusui, saudara perempuan dari suami ibu yang menyusui, kerana ia juga menjadi ibu saudara bagi yang disusui dari pihak bapa, cucu perempuan dari ibu yang menyusui, kerana mereka adalah anak saudara bagi anak yang disusui tersebut.

Selanjutnya dapatkan Hidayah Julai 2012 di pasaran...

No comments: