Friday, July 20, 2012

Mengungkap Rahsia-Rahsia Makrifat

BAGAIMANAKAH kita mengenal Allah s.w.t.? Tahapan-tahapan apa saja yang mesti kita lalui? Dan bagaimana sebenarnya tanda-tanda pengenalan itu? Inilah hal yang terus direnungi dan dimaknai seorang sufi. Mengenal Allah (makrifatullah) adalah rahsia dari segala rahsia kehidupan. Siapapun yang boleh mengungkap rahsia makrifat dan mewujudkannya dalam amal keseharian akan sampai kepada darjat yang tinggi.
Seorang sufi nusantara abad ke-17, Syeikh Yusuf al-Makassari, mengungkap hal ini dalam naskhah yang ia tulis tahun 1676, Zubdat al-Asrar (Menyingkap Intisari Segala Rahsia).  Naskhah yang sudah berusia 336 tahun itu ditulis Syeikh Yusuf untuk pegangan murid-muridnya, para calon sufi, dimana tauhid adalah dasar dari itu semua. Siapa yang ingin mencapai makrifat dan mengenal Allah tak boleh mengabaikan tauhid juga rukun Islam dan rukun iman. Semua dimulai dari keyakinan bahawa Allah itu ada. Keberadaan Allah harus diyakini sepenuh hati. Adanya Allah itu Qadim, sudah sejak dahulu kala, tanpa permulaan. Dialah yang tiada bermula dan tiada berakhir dan tiada sesuatu yang serupa dengan Dia. Hati harus menghadap dan berikrar akan hal ini. FirmanNya: “Sesungguhnya aku menghadapkan diriku kepada Tuhan yang menciptakan langit dan bumi dengan cenderung kepada agama yang benar, dan aku bukanlah termasuk orang-orang yang mempersekutukan Tuhan.” (QS. Al-An’Am: 79). “Sesungguhnya aku pergi menghadap kepada Tuhanku, dan Dia akan memberi petunjuk kepadaku.” (QS. As-Shaffat: 99) Keyakinan akan keberadaan Allah ini berlaku dalam setiap waktu dan keadaan. Hamba yang bijaksana dan tercerahkan meyakini bahawa Allah bersama dia dimana pun ia berada, sesuai dengan sabda Rasulullah s.a.w.: “Iman seseorang yang paling baik, ialah mengetahui bahawa Allah bersamanya dimana pun ia berada.” Maka ia pun harus selalu menjaga dan sentiasa ingat bahawa Allah selalu bersamanya, melihat kepadanya, dan meliputinya dengan kasih sayangNya. Sebaliknya, si hamba harus ingat kepada Allah setiap waktu dan keadaan.

Ingat dan Sedar
Cara untuk selalu ingat kepada Allah ialah dengan mengucapkan zikir, iaitu dengan menyebut nama Allah dalam berbagai lafaz. Dengan zikir terus menerus hamba ingat hanya kepada Allah s.w.t. dan meniadakan apa saja selain Dia. Dengan zikir, akhirnya hamba akan meyakini dan merasakan bahawa tiada yang disembah, dituju, dimaksud, dan dicintai selain Allah. Dan zikir terbaik adalah kalimah syahadah. Namun kita juga boleh berzikir dengan lebih sederhana dengan menyebut asmaNya: “Allah...Allah... “. Zikir tertinggi adalah zikir hati (qalb/kalbu). Melalui zikir itu, calon sufi akan meyakini bahawa tiada wujud yang hakiki selain wujud Tuhan, dan segala sesuatu selain Dia hanya bayangan saja. Wujud selain Allah hanya sebagai fenomena saja sebagaimana timbulnya bayangan dari seseorang yang berdiri. Sekalipun bayangan itu terlihat dengan mata, tapi wujud sebenar adalah orang itu bukan bayangannya. Demikian perumpamaannya.
Setelah meyakini keberadaan Allah dan memahami wujud al-Haq, seorang hamba mesti berbaik sangka kepadaNya. Inilah akhlak kepada Allah itu. Allah s.w.t. adalah Tuhan yang Penyayang dan ia tak pernah alpa menyayangi setiap makhlukNya. Dia Maha Lembut (Al-Lathif), Pengampun (Ghoffur) dan sentiasa Memelihara kita lahir dan batin (Hafiz). Akhlak ini juga mesti dikedepankan dalam hubungan dengan manusia. Sentiasalah berbaik sangka kepada sesama manusia, termasuk orang-orang yang bersalah, kerana sesungguhnya kita tak pernah berhak menyalahkan orang, sebab Allah-lah Hakim sebenar dan Dia juga mengampuni setiap kesalahan.

Selanjutnya dapatkan Hidayah Julai 2012 di pasaran...

No comments: