Thursday, July 19, 2012

Ketika Makmum Memisahkan Diri Dari Imam

DALAM solat berjemaah, imam itu pemimpin yang harus diikuti oleh makmum. Selagi imam benar memimpin solat jemaah, makmum mestilah mengikutinya,  dalam keadaan apa pun. Kecuali jika imam batal solatnya, seperti buang angin, atau imam tidak thuma’ninah kerana gerakannya terlalu cepat, hingga sulit bagi si makmum menempati kedudukan sempurna di setiap rukunnya. Apabila berada dalam keadaan demikian, makmum disyariatkan untuk mufaraqah (memisahkan diri dari jemaah). Begitu pula apabila imam membaca surat atau memanjangkan bacaan solatnya sementara ada makmum yang fiziknya lemah hingga tidak dapat berlama-lama, maka wajib baginya melakukan mufaraqah. Namun demikian, para ulama Syafi’i mengecualikan pada solat Jumaat. Imam Zainuddin al-Malibary, dalam kitab Fathul Mu’in, mengatakan sebenarnya tanpa uzur sekali pun makmum boleh saja memisahkan diri dari imam dan solatnya tetap sah. Hanya saja, orang yang mufaraqah tersebut tidak mendapatkan pahala solat berjemaah. Masih menurut al-Malibary, wajib mufaraqah apabila makmum mengetahui ada hal-hal yang membatalkan solatnya imam. Sebab bila tidak berniat mufaraqah, solatnya batal sekali pun tidak mengikuti imam. Yang tergolong uzur di antaranya adalah bacaan imam yang terlalu panjang, meninggalkan salah satu sunnah solat (seperti: tasyahud awal, qunut dan lainnya, kerana itu makmum boleh mufaraqah dengan mengerjakan sunnah-sunnah itu), khuatir dirinya diserang rasa mengantuk, takut kehilangan harta dan sebagainya. Disebutkan dalam Shahih Bukhari dan Shahih Muslim, ada riwayat yang menyebut bahawa Muaz pernah melaksanakan solat Isyak bersama para sahabatnya dan ia memanjangkan (bacaannya) lalu ada seorang lelaki keluar dari shaf dan mengerjakan solat. Kemudian Muaz mendatangi Nabi s.a.w. dan menceritakannya. Rasulullah s.a.w. marah dan mengingkari apa yang dilakukan Muaz dan Rasul tidak mengingkari apa yang dilakukan lelaki itu serta dia tidak memerintahkannya untuk mengulang solatnya. Riwayat di atas menjadi alasan bolehnya seorang makmum mufaraqah dikeranakan imam terlalu panjang bacaannya, sementara ada makmum yang barangkali tidak boleh berlama-lama bersama imam. Sebab, pada dasarnya imam juga dituntut untuk memahami keadaan makmumnya; apakah mereka yang ikut solat berjemaah fiziknya mampu apabila dipanjangkan bacaan Qurannya atau ada di antara mereka yang lemah fiziknya?

MUFARAQAH KERANA IMAM BATAL
Ketika di tengah solat jemaah, tiba-tiba, imam batal solatnya – disebabkan hadas misalnya -, solat makmum tidaklah menjadi batal. Makmum tetap boleh melanjutkan solatnya. Apabila hal itu terjadi, makmum tidak boleh membatalkan solatnya. Dalam keadaan seperti ini makmum memiliki dua pilihan. Pertama, makmum dapat meneruskan solatnya dengan niat mufaraqah dari imam. Ertinya makmum meneruskan solatnya secara sendirian (munfarid) terpisah dari imam yang telah batal solatnya. Kerana itu, apabila makmum yang mengetahui bahawa imam telah batal solatnya – kendati pun imam tidak sedar dirinya telah batal-, tetapi makmum tetap meneruskan solatnya mengikuti gerakan imam, maka solatnya dinyatakan batal. Imam Nawawi dalam kitab al-Majmu’ Syarah al-Muhadzdzab, mengatakan jika makmum tetap meneruskan solat di belakang imam yang berhadas padahal makmum mengetahui imam berhadas, maka ia berdosa kerana perbuatannya itu dan solatnya batal menurut ijma’ ulama. Makmum tidak boleh diam begitu saja saat mengetahui imam batal solatnya, tetapi boleh menentukan sikap dengan niat mufaraqah. Saat itu juga makmum segera memisahkan diri dari jemaah. Ia tidak boleh meneruskan solat jemaahnya bersama imam, lebih-lebih membatalkan solatnya. Pilihan kedua adalah makmum tadi tetap dapat menyempurnakan solat berjemaah sampai selesai. Bila alternatif ini diambil, maka harus ada penggantian imam. Dalam kajian fiqih, penggantian imam ini disebut dengan istilah istikhlaf. Pengertian istikhlaf adalah salah seorang makmum yang menggantikan tempat imam, kerana imam asli batal solatnya sehingga tidak boleh menyempurnakan solatnya. Istikhlaf boleh dilakukan melalui penunjukan imam tadi, boleh juga dengan inisiatif makmum dengan cara begitu imam asli batal, salah seorang makmum maju menjadi imam.  Tentu saja, makmum yang menggantikan tempat imam adalah yang memenuhi syarat menjadi imam.

Selanjutnya dapatkan Hidayah Julai 2012 di pasaran...

No comments: