Monday, November 12, 2012

Kisah Tunai Haji Dalam Tahun 1971

DALAM bulan Disember 1970 saya tunaikan haji bersama satu rombongan dari Malaysia menggunakan pesawat MAS. Itulah penerbangan sulung MAS memulakan perkhidmatannya membawa jemaah haji.
Sebelum itu jemaah haji pergi ke Makkah menaiki kapal laut. Nama kapal itu ialah “Ansun”, dan “Kuala Lumpur”. Akhirnya kedua-duanya tenggelam dalam laut. Itulah sebabnya Malaysia menggunakan pesawat MAS untuk bawa jemaah haji selepas itu, yang bermula dalam bulan Disember 1970 hinggalah hari ini.
Kisah orang naik kapal laut pergi Makkah sudah tidak wujud lagi selepas tarikh tersebut. Ke Makkah tunaikan haji dalam tahun tersebut agak lain jika dibandingkan sekarang. Zaman itu keadaan di Makkah belum membangun lagi. Masjidnya pun belum diperbesarkan. Masjidil Haram masih lagi belum hebat sebagaimana sekarang. Di kawasan keliling Masjidil Haram masih banyak lagi rumah-rumah kayu.
Sebahagiannya adalah hotel yang diperbuat dari kayu dan batu. Jalan raya yang ada disekeliling Masjidil Haram masih lagi belum bertar dengan sepenuhnya. Saya tunaikan haji dalam tahun itu atas undangan Kerajaan Arab Saudi, iaitu atas nama Kementerian Penerangan Arab Saudi. Pegawai dari Kedutaan Saudi di Kuala Lumpur menghantar surat kepada Utusan menjemput salah seorang wakilnya untuk mengikuti perkembangan orang buat haji dalam tahun itu. Masa itu Pak Melan Abdullah sebagai Ketua Pengarang. Beliau telah memilih saya wakil utusan. Kebetulan dalam pemergian buat haji dalam tahun itu termasuk Timbalan Perdana Menteri, Tun Dr. Ismail. Menteri Kewangan, Tengku Razaleigh Hamzah, Tengku Ahmad Rithauddin selaku Menteri Luar, Menteri Besar Kelantan, Mohamad Yakub, Abdullah Ahmad yang ketika itu menjadi Setiausaha akhbar kepada Tun Razak turut sama tunai haji, dan satu penerbangan dengan kami dan jemaah haji lainnya. Saya dibekalkan dengan satu surat dari kedutaan dalam bahasa Arab. Surat itu saya diberitahu sebagai tanda: “Inilah orang yang menjadi tetamu Arab Saudi dalam Musim Haji ini.” Pak Melan telah memberitahu saya bahawa apabila tiba di Airport ada pegawai sambut dan ambil terus bawa ke hostel, dan pegawai ini akan uruskan segala-galanya. Tiba di Airport Jeddah, tak ada seorang pun yang sambut. Saya berjalan kaki dari pesawat menuju ke terminal bersama dengan jemaah lain.

Selanjutnya dapatkan Hidayah November 2012 di pasaran...

No comments: