Monday, November 12, 2012

Salam Kami

ASSALAMUALAIKUM WR.WBT.
SEGALA puji dan syukur ke hadrat Allah s.w.t. serta salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w. Masa yang terus merangkak dan berlalu meninggalkan kita. Sedar tak sedar kita sudah berada hampir penghujung tahun 2012. Kehadiran penghujung tahun ini mengejutkan kita yang sentiasa dibelit dengan kesibukan hidup sehari-hari. Begitu sibuk dengan hal dunia, kita kadang-kadang terlalai dengan kewajipan sebagai seorang muslim. Contohnya dalam kewajipan bersolat lima waktu, ada yang mengabaikan, melupakan dan menganggapnya sebagai persoalan yang remeh. Pembaca budiman, apalah ertinya kehebatan kita dengan pelbagai kejayaan dan kedudukan yang diraih. Ianya tidak bererti sama sekali seandainya kita mengabaikan kewajipan bersolat lima waktu atau meringan-ringankan ibadat solat. Apabila bersolat ditunaikan di hujung-hujung waktu, atau diqadha apabila masa lapang atau ditinggalkan terus apabila dijamah kesibukan. Alangkah malangnya jika berada dalam kelompok manusia seperti itu. Memanglah Allah tidak menghukum serta merta setiap hambaNya yang ingkar dengan perintahNya, tapi amat malang apabila hidup tidak ada keberkatan walaupun hidupnya gemilang dijulang pelbagai kejayaan. Hidayah dalam keluaran kali ini mengemukakan kisah ‘iktibar 1’ yang sungguh menyentuh kalbu. Bagaimana seorang pemuda salih mengalami keajaiban dalam keadaan ‘koma’ dikebumikan dan mengalami peristiwa aneh yang perlu dijadikan renungan kita bersama. Pembaca juga dialu-alukan menghayati ‘Kisah iktibar 2’ yang memaparkan pula mengenai seorang wanita yang istiqamah dalam menjaga wuduknya saban waktu. Hidayah akan terus dengan tradisi ‘berdakwah melalui pembacaan’. Kami bersyukur dengan kerjasama dan sokongan para pembaca yang membolehkan Hidayah tetap unggul dihati peminatnya dari dulu, kini dan seterusnya. Alhamdulilllah. Kita berjumpa lagi dalam keluaran akan datang.
Wassalam!

Pengarang.
Shahimisaifulislam@yahoo.com.my

No comments: