Monday, November 12, 2012

Penyanyi 'Rap' Terkenal Perancis Pilih Islam

SEBAHAGIAN kita tentu maklum bagaimana kisah para bintang ternama dunia yang akhirnya tewas dengan tragis. Mereka menyalahguna ubat penenang tidur hingga melebihi dos. Pelarian terhadap ubat-ubatan tentu bukan tanpa alasan. Bahkan, tak sedikit hingga ke dadah. Ubat-ubatan sejenis ini dianggap penawar atas kegelisahan dan ‘kepedihan’ jiwa. Menjadi bintang terkenal ternyata tidak selalu berbanding lurus dengan kebahagiaan dan ketenangan hidup. Sebut saja, bintang seksi Marilyn Monroe, yang meninggal tahun 1963. Kematiannya akibat terlebih menelan ubat tidur, yang biasa ia gunakan di saat masalah menghampirinya. Ia mengalami kekecewaan berat, kerana kekasihnya curang, hingga kemudian bunuh diri di bilik mandi dengan menelan ubat tidur hingga ‘over dose’. Nasib serupa juga dialami oleh Amy Whinehouse, Elvis Presley, Heath Ledger, Jimi Hendrix, Michael Jackson, dan sebilangan artis lainnya. Bahkan, beberapa tahun yang sudah, ratu muzik pop Amerika Syarikat, Whitney Houston, juga meninggal dunia akibat ubat-ubatan. Ia mencampur antara alkohol dan ubat-ubatan hingga ‘over dose’ dan ditemui mati di bilik hotel mewah Beverly Hilton. Ada lapuran mengatakan dia sengaja melakukan hal itu kerana kecewa atas masalah yang membelitnya. Kerana tidak kuat menghadapi masalah hidup, bunuh diri akhirnya jadi pilihannya.  Tapi, tidak semua bintang dunia mengikuti jejak mereka. Ada juga bintang dunia yang menjadikan agama sebagai pelarian sebenar. Islam, sebagai agama pembawa kedamaian, hadir membawa sinar. Penyanyi ‘Rap’ terkenal Perancis, Diam’s, atau nama sebenarnya Melanie Georgiades salah satunya. Penyanyi rap ini justeru jatuh ke pangkuan Islam manakala segala jenis ubat-ubatan dirasa tak mampu mengubati jiwanya yang sedang gundah. Manakala dia menghadapi masalah yang begitu besar, Islam lalu hadir untuk mengubati jiwanya yang ‘sakit’. Sejumlah pakar jiwa dan psikologi tak mampu merawat sakit kejiwaannya. Di saat itulah ia mengenal Islam dan mencuba memahaminya secara perlahan. Lambat laun, perkenalannya dengan Islam ternyata dapat mengubati kemelut kejiwaannya. Islam, bagi wanita kelahiran Cyprus, 25 Julai 1980 ini, adalah jawapan kehidupan. “Saya belum menemukan caranya untuk penyelesaian masalah yang selama ini dihadapi, baik dari ahli psikologi mahupun doktor jiwa. Namun, hanya saya dapatkan dalam Islam,” jelas Diam’s, menjawab persoalan Paris Match Magazine, mengenai keislamannya. Sebelumnya, Diam’s memang mengaku mengalami masalah kejiwaan yang begitu dahsyat. Kepindahan agama Diam’s akibat mengalami depresi besar seiring dengan populariti dan kejayaan yang diraihnya. Dia biasa dipuja-puja para peminatnya. Keadaan tersebut, sebagaimana dipetik dari Paris Match, membuat Diam’s melakukan pencarian alternatif yang tepat untuk hidupnya. Majalah Perancis Gala juga menyampaikan khabar bahawa penggerak dirinya menjadi seorang ‘saudara baru’ adalah kerana tekanan batin. “Dia telah menemukan (jawapan kehidupannya) dalam Islam, sesuatu yang tidak dapat ditemukan di agama-agama lain, yang telah membantunya dalam menangani psikologi, emosional dan masalah dalam kehidupan sehari-hari,” kata salah seorang teman dekatnya, kepada Majalah Gala. Media ternama di Perancis ini juga mencatat bahawa dalam beberapa tahun terakhir sebelum dirinya menjadi seorang muslimah, Diam’s turun dengan tekanan psikologi yang kuat kerana jatuh pada kejayaan dan populariti. Hal ini menyebabkan pengasingan dan mencari pilihan hidup. Menurut saksi sebahagian temannya yang lain, masuk Islamnya Diam’s kerana dia banyak berteman dengan para artis keturunan imigran. Terutama teman rapat perempuannya, artis Perancis berdarah Morocco, Amel Bent, dan Jamal Dabouz, yang banyak mendukung kerjaya seninya selama ini. Media massa di Perancis menyebutkan bahawa perubahan secara drastis dalam hidup Diam’s terjadi setelah dua bulan artis terkenal itu melangsungkan perkahwinan dengan pemuda Muslim bernama Aziz. Paris Match juga menceritakan keadaan Diam’s ketika masih kecil. Dia pernah mengalami kecelaruan jiwa, khususnya, setelah kedua ibu bapanya yang beragama Katolik bercerai. Dia bahkan pernah melakukan cubaan bunuh diri pada usia remaja 15 tahun. Sebagaimana pengakuan Diam’s, “Kemasyhuran dan kekayaan tidak membuat saya tenteram sesuai yang diinginkan, dan saya hanya mendapatkan jawapan dari Allah s.w.t.’” Dia juga menceritakan bahawa selama ini dirinya sudah melakukan upaya yang sungguh-sungguh untuk ‘mengubati’ kejiwaannya, yang terkadang terguncang di tengah populariti yang dia perolehi.  Perceraian yang menimpa ibu bapanya adalah keadaan yang sangat memukul kejiwaannya. Di saat dirinya masih remaja dan mengidealkan keutuhan rumahtangga, justeru ibu bapanya memilih jalan perceraian.  Kerana masih meraba-raba dalam hidupnya kala itu, dia mencuba mengakhiri nasib hidupnya, seperti yang sudah dilakukan oleh Merilyn Monroe mahupun bintang dunia lainnya. Untung saja, niat untuk bunuh diri kala itu dapat dicegah.

Selanjutnya dapatkan Hidayah November 2012 di pasaran...

No comments: