Thursday, February 7, 2013

Asqalan: Kota Bersejarah Tinggal Nama

Seseorang yang mengetahui khazanah Islam dengan baik pasti tak asing dengan nama Asqalan. Ya, nama ini merupakan nama belakang bagi pengarang kitab Fathul Bari yang merupakan syarah kitab Shahih Bukhari yakni Ibnu Hajar al-Asqalani. Walau Ibnu Hajar lahir dan besar di Mesir, nama Asqalan melekat di namanya. Ini dimungkinkan sebab beliau adalah anak keturunan orang Asqalan. Nama Asqalan juga dikaitkan dengan Imam Syafi’i. Ada ahli sejarah yang mengatakan dia berasal dari Asqalan walaupun mashyur menyebut dia lahir di Gaza, Palestin. Namun dalam peta kita boleh saksikan bahawa Gaza dan Asqalan tidaklah terlalu jauh. Boleh jadi beliau lahir di Gaza yang dianggap daerah Asqalan, atau sebaliknya. Dalam sejarah, Asqalan adalah daerah penting bagi umat Islam. Kota ini pada masa Bizantium sampai pertengahan abad ke-4 Masehi sudah termasuk wilayah Palestin. Pada masa itu, Palestin dibahagi menjadi tiga wilayah dan Asqalan masuk wilayah Palestin I (satu) bersama kota al Quds, Nablus, Yafa, dan Gaza. Asqalan sudah dikuasai Islam sejak zaman Khalifah Umar bin Khattab r.a. dan terus dikuasai di masa Dinasti Umayyah dan Abbasiyah. Setelah masa itu, ia adalah kota yang berdikari di tanah Palestin. Tapi saat ini Asqalan adalah wilayah Israel. Namanya sedikit berubah menjadi Ashkelon, mengikuti dialek Ibrani. Di tangan Israel, Ashkelon menjadi daerah pelancongan. Letaknya yang strategi di pinggiran Laut Tengah (Mediteranian) membuatnya menjadi tempat yang nyaman untuk bercuti. Israel giat menjual kawasan ini untuk pendapatan tambahan mereka. Ashkelon terkenal memiliki banyak kawasan tanah subur. Di pusat kota ada pusat perdagangan, muzium dan peninggalan arkeologi. Di pesisirnya ada sejumlah restoran, hotel dan marina yang besar. Kota ini juga beberapa kali mengumumkan penemuan arkeologi, memiliki taman nasional dengan sejumlah khazanah dari Ashkelon kuno. Kerana sudah menjadi kekuasaaan Israel, Ashkelon hampir tak lagi memiliki jejak-jejak keislaman. Hanya ada kawasan perkuburan muslim di sana. Tapi tidak lama dulu kawasan perkuburan ini sudah dialihfungsikan menjadi tempat letak kenderaan. Pihak berkuasa Ashkelon mengubah kawasan perkuburan Islam itu untuk memenuhi keperluan letak kereta para ahli perniagaan Israel di pusat perdagangan yang didirikan baru-baru ini di samping kawasan tanah perkuburan Islam itu.
Media tempatan sempat melapurkan ada seorang penduduk kota menyampaikan protes namun pihak berkuasa tidak berganjak dan tetap menggunakan kawasan perkuburan Islam tersebut untuk tempat meletak kenderaan. Ahmad Thibi, anggota Parlimen Israel yang muslim, juga  mengecam hal itu.  “Sekiranya tanah perkuburan Yahudi di Perancis digunakan sebagai tempat letak kenderaan, pasti Israel akan memprotes keras. Apa yang terjadi saat ini di sini sungguh menyakiti kaum muslimin,” ujar Tibi. Suara Tibi dan seorang warga itu kemudian tenggelam begitu saja. Siapa yang peduli dengan Islam di sana? Ya, hampir boleh dikatakan tak ada. Yang ada malahan jejak-jejak Islam memang berusaha dikubur sedalam-dalamnya.
Pihak berkuasa kota hanya mengutamakan Ashkelon sebagai daerah kuno yang telah diceritakan Alkitab. Pihak berkuasa menyediakan pelancongan khusus (Bible Tour) bagi para pelancong untuk menjejak kisah-kisah dalam Alkitab itu. Pihak berkuasa Ashkelon menyebutnya sebagai pelancongan untuk kerinduan Tanah Suci yang mengajak para pelancongan mengunjungi Shephelah, kota yang menjadi tempat peperangan antara Yosua atas raja-raja Amori, Kiryat Gat, Tel Lakhis, Beit Guvrin, Lembah Elah, Lembah Soreq, Lembah Ayalon, Ekron,dan Muzium Kibbutz.

Selanjutnya dapatkan Hidayah Februari 2013 di pasaran...

No comments: