Thursday, February 7, 2013

Dilambung Ombak Ketika Ke Makkah

MENYAMBUNG lagi cerita menunaikan haji dalam tahun 70an, sebenarnya cerita yang lebih menarik untuk pembaca Hidayah mengetahuinya akan saya ceritakan kisahnya sebelum tahun tersebut. Menurut catatan yang saya baca dalam buku-buku catatan dari mereka yang tunaikan haji dalam tahun-tahun 40an, 50an dulu lebih hebat lagi. Orang-orang dulu nak buat haji terpaksa kumpul wang bertahun-tahun lamanya. Dah tu, mereka naik kapal. Dalam kapal laut itu pula akan mengambil masa hampir sebulan. Dalam masa pelayaran itu berbagai dugaan dihadapi. Para jemaah yang sudah tua, uzur dan usia melebihi 60 tahun dan 70 tahun paling teruk sekali. Mereka muntah-muntah dalam kapal. Mereka dilambung ombak besar dalam pelayaran tersebut. Kesukaran, dan kepayahan yang mereka hadapi agak menyulitkan mereka. Mereka yang benar-benar memang sudah uzur dan sudah tua sangat oleh kerana tak tahan dilambung ombak dalam kapal, ada yang meninggal dunia. Memang pun ajal sudah sampai, demikian menurut satu catatan yang saya baca dalam sebuah buku yang menerangkan mengenai pemergian Haji dengan kapal dalam tahun 40an dan 50an dulu. Kenapa orang-orang dulu pergi haji agak tua-tua belaka? Sebabnya, mereka terpaksa kumpul wang agak lama. Mereka sudah tanamkan niat dan cita-cita mahu tunaikan haji. Orang-orang kampung dulu bekerja sendiri. Ada yang toreh getah, ada yang membuat bendang sawah padi. Hasil dari jualan getahnya, selain dari untuk menampung makan harian, mereka kumpul sedikit demi sedikit untuk tunaikan haji.
Manakala mereka yang bekerja bendang sawah tanam padi, menjual padi mereka setiap tahun bila tiba musim mengambil padi atau pun musim menuai. Biasanya, orang-orang kampung seperti ini memiliki sawah bendang yang luas, dan mereka tanam padi menghasilkan padi yang lumayan. Untuk makan setahun, mereka simpan, dan yang lebihnya mereka jual untuk pergi haji. Begitu juga penoreh-penoreh getah, biasanya mereka punya ladang getah yang luas, dan boleh mengupah orang lain untuk menoreh getah. Itulah sebabnya mereka boleh simpan sedikit wang untuk tunaikan haji. Oleh kerana simpan wang sedikit demi sedikit maka usia pun semakin meningkat dan semakin tua, barulah wang itu terkumpul untuk mereka pergi tunai haji suami-isteri. Dari mereka inilah, ada orang yang rajin mencatatkan kisah-kisah menarik pada zaman itu pergi Makkah. Zaman dulu sebelum wujudnya Tabung Haji, orang-orang Islam pergi ke Makkah tunai haji melalui ejen-ejen yang ada di negeri masing-masing. Di Makkah pula ketika itu menggunakan sistem “Syeikh Haji”. Syeikh-Syeikh inilah yang menguruskan orang-orang Islam untuk tunaikan haji. Biasanya syeikh ini terdiri dari orang-orang dinegeri di Malaya yang tinggal di Makkah. Mereka inilah yang tubuhkan dan menamakan mereka sebagai “Syeikh-syeikh haji”. Mereka ini akan melantik ejen-ejennya, misalnya di Melaka, di Kelantan, di Johor, mereka ini punya “ejen-ejen” bagi mendaftarkan nama mereka yang mahu tunaikan haji.
Ketika itu orang-orang nak tunaikan haji, kalau mereka dari Melaka, dari Selangor, dari Negeri Sembilan, akan pergi ke Singapura. Di Singapura ada pelabuhan kapal yang mengangkut jemaah haji dari sana.
Mereka yang tinggal di Perak, Kedah perlis dan sebahagiannya dari Kelantan akan pergi ke Pulau Pinang. Hanya dua buah negeri ini sahaja yang ada pelabuhan kapal.  Bahawa Syeikh Haji ini adalah satu sistem untuk menguruskan jemaah haji. Ia wujud dan mengendalikan jemaah haji sejak zaman berzaman, menurut catatannya. Sebenarnya, Syeikh haji ini bertugas atau pun berfungsi sebagai suatu institusi yang menyelenggarankan urusan pemergian jemaah haji ke Makkah. Syeikh-Syeikh dan wakil mereka mempunyai tugas yang tertentu. Mereka sudah ditetapkan untuk menjaga hal ehwal orang-orang akan tunaikan haji, dari permulaannya sehingga mereka itu pulang ke tanah air masing-masing. Jadi, zaman saya ke Makkah tahun 70an itu dibandingkan dengan sekarang saya merasakan sangat payah. Tetapi rupa-rupa zaman sebelum itu lagi payah lagi terutama mereka yang naik kapal. Ada satu catatan yang saya baca, tentang bagaimana mereka yang menghantar saudara-mara, ibu bapa mereka ke pelabuhan Singapura dan juga ke Pulau Pinang.
Kata pencatat itu ketika itu hujan turun dengan lebat sedangkan di kawasan itu tidak ada tempat berteduh. Orang-orang yang menghantar terpaksa basah kuyup dalam hujan lebat itu. Manakala jemaah yang mahu naik kapal terpaksa mengharung hujan. Cubalah bayangkan betapa payahnya, tetapi mereka harungi juga keadaan itu.

Selanjutnya dapatkan Hidayah Februari 2013 di pasaran...

No comments: