Thursday, August 15, 2013

Empat Bulan-Bulan Ibadah Yang Agung

DI DALAM ayat ini Allah menjelaskan bahawa dalam setahun ada 12 bulan, salah satunya empat bulan haram. Menurut Syeikh Al-‘Allamah ‘Abdurrahman bin Nasir Asa’di, dinamakan empat bulan haram kerana pada bulan-bulan tersebut diharamkan peperangan dan perbuatan keji dan zalim. Jadi, empat bulan ini termasuk bulan yang suci. Hal ini dipertegas dengan ayat al-Quran yang ertinya, “Mereka bertanya tentang berperang pada bulan Haram. Katakanlah: ‘Berperang dalam bulan itu adalah dosa besar...’” (QS. Al Baqarah: 217) Al-Hafizh Ibnu Katsir menyatakan, “Yang dimaksud ayat ini adalah pemuliaan dan pensucian bulan tersebut dan pengakuan terhadap kemuliaannya serta meninggalkan semua yang dilarang oleh Allah, seperti memulai peperangan dan penegasan terhadap perintah menjauhi hal yang diharamkan.”  Profesor Dr. M. Quraish Shihab dalam Tafsir Al-Mishbah menulis bahawa hampir seluruh masyarakat Arab sebelum Islam mengakui dan mengagungkan empat bulan dalam setahun. Sedemikian besar pengagungan mereka sampai walau seseorang menemukan pembunuh ayah, anak atau saudaranya pada salah satu dari empat bulan itu, ia tidak akan mencederai musuhnya kecuali setelah berlalu bulan haram itu. Namun, kata Quraish, larangan menganiaya atau melakukan dosa pada keempat bulan itu, bukan bererti pada bulan-bulan sisanya dosa dapat dilakukan. Tidak! Yang dimaksud adalah penekanan khusus pada keempat bulan itu, kerana ia merupakan bulan-bulan ibadah lagi agung di sisi Allah s.w.t. Kerana itu pula, maka beribadah pada masa-masa tersebut berkesan positif dan mengundang banyak pahala, demikian pula sebaliknya, berdosa mengakibatkan murka yang besar. Ibnu Jarir ath-Thabari meriwayatkan melalui sanadnya, dari Ibnu Abbas r.a. sehubungan dengan pengagungan Allah terhadap kesucian bulan-bulan ini, beliau berkata, “Allah s.w.t. telah menjadikan bulan-bulan ini sebagai (bulan-bulan yang) suci, mengagungkan kehormatannya dan menjadikan dosa yang dilakukan pada bulan-bulan ini menjadi lebih besar dan menjadikan amal salih serta pahala pada bulan ini juga lebih besar.” Al-Baghawi menuturkan, “Maksudnya bahawa Allah menjadikan bulan-bulan haram ini sebagai penunaian kewajipan kepada manusia untuk menstabilkan keadaan pada bulan-bulan ini dari peperangan.” (Tafsir Al Baghawi dan Zaadul Masiir). Tentang nama bulan-bulan yang haram itu dijelaskan oleh hadis Nabi dalam riwayat Abu Bakrah bahawa Nabi s.a.w. dalam khutbah haji Wada’nya mengatakan: “Sesungguhnya zaman telah berputar sebagaimana bentuknya pada hari diciptakan langit dan bumi. Tahun ada 12 bulan, di antaranya 4 bulan haram. Tiga bulan saling bersamaan, iaitu Zulkaedah, Zulhijjah, dan Muharram. Sedangkan Rejab ada di antara bulan Jumad dan Syaaban.” (HR. Bukhari-Muslim) Imam Ibnu Katsir rahimahullah mengatakan, “Bulan-bulan yang diharamkan (disucikan) itu hanya ada empat. Tiga bulan secara berurutan dan satu bulannya berdiri sendiri (tidak berurutan) lantaran adanya manasik Haji dan Umrah. Maka ada satu bulan yang telah diharamkan (disucikan) yang letaknya sebelum bulan-bulan Haji, iaitu bulan Zulkaedah, kerana ketika itu mereka menahan diri dari perang. Sedangkan bulan Zulhijah diharamkan (disucikan) kerana pada bulan ini mereka pergi menunaikan ibadah Haji, dan pada bulan ini mereka menyibukkan diri dengan berbagai ritual manasik Haji. Sebulan setelahnya, iaitu bulan Muharram juga disucikan kerana pada bulan ini mereka kembali dari haji ke negeri asal mereka dengan aman dan damai. Adapun bulan Rejab yang terletak di tengah-tengah tahun diharamkan (disucikan) kerana orang yang berada di pelosok Jazirah Arab berziarah ke Baitul Haram. Mereka datang berkunjung ke Baitul Haram dan kembali ke negeri mereka dengan keadaan aman.”

Selanjutnya dapatkan Hidayah Ogos 2013 di pasaran...

No comments: