Thursday, August 15, 2013

Umat Islam Umat Nombor Satu Di Muka Bumi

HARI RAYA AIDILFITRI, Allah jadikan adalah sebagai perayaan bagi umat Islam. Allah jadikan hari itu sebagai hari gembira kepada umat Islam itu sendiri. Yang demikian, pada saat kita menyambut hari yang mulia itu janganlah ada di antara kita yang bermuram, sedih dan menangis. Ini, biasanya terjadi semasa kita saling maaf bermaafan atas kesalahan, yang telah kita lakukan dalam setahun itu. Apa yang harus kita tunjukkan dalam masa bermaaf-maafan itu ialah dengan senyum, dan kita lontarkan satu tanda kegembiraan kepada mereka. Ini sesuai dengan apa yang dimaksudkan dengan hari kegembiraan, dan bukan hari sedih dan dukacita. Allah menganugerahkan nikmat berupa kegembiraan ini, sehingga pada satu Syawal, kita diharamkan untuk berpuasa. Tujuan Allah memerintahkan demikian kerana kita telah dapat menyelesaikan satu tugas yang besar dan berat mengerjakan satu kewajipan selama satu bulan iaitu berpuasa. Allah telah memberikan kepada kita umat Islam khusus dengan dua hari raya, iaitu hari raya aidilfitri dan hari raya aidiladha. Kedua-dua hari raya besar ini, masing-masing mempunyai dan memiliki manfaat besar, baik dari segi kepentingan duniawinya.  Dan ini, hanya ada pada Islam sahaja. Hakikat hari raya adalah sebagai hari kenikmatan. Hari kemenangan, hari penolong bagi umat Islam terhadap musuh-musuhnya iaitu iblis dan syaitan. Ibadah puasa yang telah kita lalui ini adalah merupakan satu perang iaitu perang melawan hawa nafsu. Kita telah berjaya dalam perang  ini dengan mencapai kejayaan yang cemerlang dan sudah sepatutnya kita bergembira kerana kita berjaya dalam peperangan melawan hawa nafsu dan syaitan yang dianggap tidak akan selesai selagi manusia mendiami bumi ini. Kita yang telah melaksanakan perintah Allah sepanjang bulan Ramadan dengan berpuasa sebulan dan kita juga telah berjaya meruntuhkan kejahatan syaitan. Syaitan sebenarnya tidak akan bosan dan letih untuk berperang dengan kita manusia yang beriman. Kalau kita orang-orang yang beriman ini kalah dalam peperangan ini, maka akan tercampaklah kita ke dalam api neraka. Tetapi ternyata kita telah berjaya dalam perang ini. Kita berjaya melaksanakan puasa, dan dalam pada itu, sebulan pula lamanya kita mendatangi masjid-masjid dan surau-surau bersembahyang isyak, lalu kita solat terawih dan witir.

Selanjutnya dapatkan Hidayah Ogos 2013 di pasaran...

No comments: