Thursday, August 15, 2013

Hebatnya Fadhilah 'Berselawat'

KEBANYAKAN kita memang mengetahui kelebihan dan ‘kehebatan’ berselawat. Namun atas kelemahan diri dan faktor-faktor tertentu kita lupa dan lalai dalam mengamalkan selawat. Rencana yang disiarkan ini merupakan bahagian terakhir yang disiarkan oleh Hidayah mulai keluaran Jun lalu. Semoga ianya memberi manfaat dan motivasi untuk sama-sama kita amalkan menurut keupayaan masing-masing, InsyaAllah.

1. Shalawat Rahmatan
Lil ‘Alamin [Menyingkap Tabir Fitnah]
Selawat ini bermaksud: “Ya Allah, limpahkanlah rahmat kepada junjungan kami, Nabi Muhammad s.a.w., yang datang dengan membawa kebenaran nyata, dan yang Engkau utus sebagai rahmat bagi alam semesta.”

Fadhilah dan Hikmah:
Jika seorang dituduh atau difitnah orang, perbanyaklah membaca selawat ini untuk membuktikan kebenaran yang sesungguhnya, insyaAllah, akan dibukakan dan diperlihatkan siapa yang benar dan siapa yang salah.

2. Shalawat Sayyidul
Wujud [Menjadi Pemimpin Mulia]
Ertinya: “Ya Allah, limpahkan rahmatMu kepada junjungan kami, Nabi Muhammad s.a.w., penghulu segenap wujud dengan selawat sebanyak bilangan yang maujud tanpa batasan yang terbatas dan bahkan teramat layak diliputi kemuliaan dan kedermawanan. Limpahkan pula rahmatMu kepada para nabi dan rasul, keluarganya dan para sahabatnya, para pengikutnya dan juga semoga kami boleh hidup bersamanya, wahai Tuhan Yang Maha Pengasih dari segala yang mengasihi.”

Fadhilah dan Hikmah:
Barangsiapa yang melazimkan selawat ini, insyaAllah, ia akan menjadi pemimpin yang mulia di mata rakyatnya dan juga dalam pandangan Allah.

3. Shalawat ad-Darajah
wal-Wasilah [Penggugur Dosa]
Ertinya: “Wahai Tuhan Nabi Muhammad dan Tuhan keluarga Muhammad, limpahkanlah rahmat kepada Nabi Muhammad s.a.w. Berilah Muhammad darjat dan wasilah di dalam syurga. Wahai Nabi Muhammad dan Tuhan keluarga Muhammad, berilah ganjaran kepada Nabi Muhammad. Semoga Allah melimpahkan rahmat kepadanya sesuai dengan apa yang selayaknya baginya.”

Fadhilah dan Hikmah:
Dalam kitab Syarah Dala’il disebutkan bahawa Nabi s.a.w. telah bersabda, “Barangsiapa diantara umatku membaca selawat ini, baik di waktu pagi mahupun petang, maka ia telah membuat malaikat pencatat amal kepayahan selama seribu hari, juga diampuni dosa-dosanya dan dosa-dosa kedua ibu bapanya.”
Dalam kitab Syarah al-Fasi dijelaskan bahawa selawat ini diangkat dari hadis Jabir bin Abdullah r.a. dan disebutkan faedah yang banyak baginya. Sementara itu, al-Hafidzh as-Sakhawi berkomentar, “Seandainya ada orang bersumpah hendak mengucapkan selawat yang paling utama, lalu ia membaca selawat ini, pastilah ia telah memenuhi sumpahnya itu.”

Selanjutnya dapatkan Hidayah Ogos 2013 di pasaran...

No comments: