Sunday, July 11, 2010

Salam Kami Julai 2010

ASSALAMUALAIKUM WR.WBT.
SEGALA puji dan syukur kita ke hadapan Allah s.w.t. serta salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w. Kami mengalu-alukan anda untuk terus menyelak setiap halaman keluaran kali ini dan menghayati paparan kisah iktibarnya dan pelbagai rencana yang ada manfaatnya. Memanglah sesuatu yang aneh apabila menyaksikan jenazah yang telah disemadikan dalam kubur menyemburkan api melalui perut mayat. Mungkin itu hanya sedikit balasan dosa kepada si mati yang ditunjukkan di dunia ini. Pembalasan yang akan diterima di alam barzakh dan di akhirat kelak entah berganda lebih dari itu. Sementara itu kita selama ini cuma mendengar saja bagaimana sukarnya seseorang menghadapi sakaratul maut hinggakan ikhtiar dilakukan dengan di buka atap rumah orang berkenaan untuk memudahkan rohnya dikeluarkan dari jasad. Apa sebabnya berlaku sedemikian? Bacalah kisah luar biasa itu. Dalam keluaran ini juga, Hidayah memaparkan rangkaian doa buat pasangan suami isteri yang bakal menyambut cahaya mata agar dikurniakan anak yang salih dan salihah. Bacalah rencana bertajuk ‘Mengharap Permata hati yang salih’. Rasanya anda tidak perlu menjadi ‘Wali Allah’ untuk mendapatkan zuriat semurni itu. Memadai keazaman dan tekad untuk dikurniakan keturunan yang salih dan salihah dengan pembentukan peribadi mulia diri anda sendiri. Begitu juga bagi anda dalam menghadapi kerjaya sehari-hari, wajibkanlah membaca rencana bertajuk: “Memilih jalan yang lurus”. Hayatilah mesejnya, rasakanlah kemuliaan hati seorang pekerja ‘pencuci bilik air/tandas’ yang mendapat keberkahan hasil ketulusan dan keikhlasannya bekerja. Dan banyaklah lagi rencana-rencana lain yang perlu anda tatapi dan menikmatinya melalui Hidayah keluaran ini. Untuk kesekian kalinya kami paparkan madah Abu Bakar Alwaasithi yang berkata: “Keuntungan yang besar itu dalam tiga: Hidup, mati dan kiamat. Adapun untuk keuntungan hidup itu bila digunakan dalam taat kepada Allah Taala. Dan keuntungan mati bila ia mati dalam mengucap kalimah “Laailaha illallah”, dan keuntungan hari kiamat pula bila bangkit dari kubur disambut dengan berita bahawa syurga tersedia untuknya.” Allah hu akbar! Terima kasih kepada anda kerana berterusan menyokong Hidayah dan menjadi pembaca setianya. Kita berjumpa lagi dalam keluaran akan datang. Wassalam!

Pengarang,
Shahimisaifulislam@yahoo.com.my

No comments: