Sunday, July 11, 2010

Surat Pembaca

SIMPATI NASIB ORANG MELAYU
Saudara Pengarang,
Saya adalah peminat ruangan ‘Al-Kisah – Pak Syeikh’. Dalam keluaran bulan Jun 2010 lalu beliau ada menyentuh mengenai ‘NASIB ORANG MELAYU’ dimana beliau ada menyentuh nasib peniaga-peniaga kecil seperti penjual nasi lemak, penjual roti canai dan sebagainya yang nasib mereka tidak terbela walaupun telah berniaga lebih 10 tahun. Katanya, mereka bukan tidak mahu maju, tapi apabila nak minta tolong buat pinjaman ada saja halangannya. Yang menjual di bawah pokok 20 tahun lalu, hingga sekarang masih bercokol di situ.
Yang menumpang di kaki lima kedai bukan orang Islam, di situlah dia sampai ke usia tuanya. Saya sokong pandangan Pak Syeikh yang begitu pedas dan sinis terhadap ‘pemimpin Melayu’ yang cakap tak serupa bikin. Telah berpuluh tahun memerintah, tapi ‘orang Melayu’ tak tertolong juga. Yang senang kroni dan anak-anak buahnya saja. Saya menyeru Pak Syeikh jangan jemu-jemu atau rasa muak untuk terus menulis kepincangan-kepincangan masyarakat seperti ini. Anda mempunyai kuasa menulis, gunakan kekuasaan anda untuk menyelak dan membongkar pekong-pekong yang ada dalam masyarakat kita demi untuk kebaikan semua.
Semoga ruangan ‘Al-Kisah – Pak Syeikh’ akan terus menyengat di masa-masa akan datang.

Peniaga Kecil,
Kamunting, Taiping, Perak.

• Betul kata anda itu. Kesilapan mesti ditegur, bukan didiamkan saja. Pemimpin yang membetulkan kesilapannya apabila ditegur adalah pemimpin yang berjiwa besar dan beroleh pahala di akhirat kelak. – Pengarang.

JANGAN ANGGAP REMEH PERKARA AKIDAH
Saudara Pengarang,
Saya terharu apabila membaca rencana Iktibar 1 bertajuk ‘Nasib Jenazah Murtad Kain Kafannya Terbakar’ yang tersiar dalam Hidayah keluaran Jun 2010 lalu. Apa yang menyentuh hati kecil saya, ialah betapa rapuhnya iman seorang pemuda yang mudah terpesong akidahnya semata-mata kerana terpikat dengan seorang wanita bukan Islam. Tanggapannya terhadap murtad begitu mudah sekali, seolah-olah ianya bukan perkara besar dalam hidupnya dan boleh dipermain-mainkan. Dia mengakhiri hidupnya dengan kematian tragis. Malah lebih menginsafkan betapa kain kafannya turut mengalami kebakaran tanpa sebab munasabah. Ini memberi petanda tidak baik buat si mati. Bagi kita yang masih hidup, ini sudah sewajarnya menjadi iktibar bahawa jangan sekali-kali meremehkan persoalan akidah. Bagi anak-anak muda hendaklah kuatkan hati dan semangat untuk mengikuti kuliah-kuliah agama yang ada di masjid-masjid dan surau-surau agar ilmu anda terhadap agama akan bertambah. Ilmu agama tidak akan didapati di tepi-tepi jalan, atau dalam kelas-kelas muzik, atau di padang bola dan sebagainya. Biarlah anda bersusah payah belajar agama diusia muda agar tidak menyesal apabila usia tua kelak. Semoga anda termasuk dalam golongan orang-orang yang salih, InsyaAllah!

Haji Mahmud Bakar,
Batu Kurau, Perak.

• Semoga nasihat anda itu dapat dijadikan renungan buat anak-anak muda yang membaca Hidayah ini. Semoga. – Pengarang.

NASIB MENANTU DERHAKA
Saudara pengarang,
Membaca Hidayah bukan saja menghiburkan, malah memberi ilmu pengetahuan. Apa yang paling saya gemari ialah membaca ruangan-ruangan iktibarnya setiap keluaran. Kisah-kisah dalam iktibar mampu memaparkan pelbagai karenah kehidupan dalam hidup dan matinya manusia ini. Dalam iktibar keluaran lalu (Jun 2010) ada dipaparkan nasib malang seorang menantu yang menderhakai ibu mentuanya. Tajuk iktibar tersebut ‘Darah Keluar Dari Dubur Sampai Ajal Menjemput’. Si menantu itu tergamak ‘menghalau’ dan ‘mencemoh’ ibu mentuanya yang sekadar memetik cili di kebun anaknya itupun selepas mendapat keizinan anaknya sendiri.
Satu lagi kelakuannya yang menjijikkan ialah tergamaknya dia mencampurkan darah haidnya dalam minuman untuk suaminya agar suaminya tidak mengahwini wanita lain kerana dia sendiri didapati tidak boleh mengandung dan memberi zuriat kepada suaminya. Yang lebih tragis, walaupun menghadapi penderitaan hingga membawa maut, dia tetap tidak mahu memohon keampunan terhadap ibu mentuanya. Ini menunjukkan betapa sombong dan egonya wanita ini yang tidak mahu insaf salah silapnya sendiri. Mungkin di luar sana, ramai kalangan wanita-wanita yang berperangai seperti menantu derhaka ini. Namun mereka mungkin tidak menerima pembalasan segera di dunia ini. Tapi jangan lupa. Walaupun anda terlepas dari hukuman di dunia, tapi hukuman di kubur, di akhirat tidak akan terlepas. Oleh itu yang bersalah haruslah insaf dan bertaubat sebelum terlambat. Jangan jadi seperti Suminah yang membawa penderitaannya hingga ke liang kubur.

Zaharah Haji Yahya,
Kuala Ketil, Kedah.

No comments: