DALAM sebuah kitab yang berjudul “Zaadul Ma’ad”, karya Imam Besar Ibnu Qayyim Al-Jauziyah telah menyebutkan tentang bagaimana Rasulullah s.a.w. mengerjakan fardu haji. Katanya: “Ketika Rasulullah s.a.w. sudah masuk masjid, Nabi terus menuju ke Kaabah dan tidak melakukan solat tahyatul Masjid, sebab tahyatnya adalah tawaf. “Ketika tiba di Hajar Aswad, baginda menciumnya tidak ada orang lain yang ikut sama bergabung atau berebut. Baginda tidak mendatangi rukun Yamani terlebih dahulu sebelum mencium hajar aswad ini dan pula mengangkat tangan kearahnya, dan juga tidak mengucapkannya “Aku berniat dengan tawafku ini tujuh kali.”
Tidak pula memulai dengan takbir, tidak mencium atau memeluk Hajar Aswad dengan seluruh badannya. Baginda tidak berdoa saat dipintu Ka’abah, tidak pula disamping Kaabah mahupun disalah satu rukunnya.
“Tidak ada zikir yang baginda ucapkan saat tawaf. Tetapi zikir yang diriwayatkan dari baginda saat berada diantara dua rukun iaitu: “Wahai Rabb kami, berilah kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat serta lindungilah kami dari seksa neraka.” “Baginda mempercepat jalan saat tawaf pada putaran tiga yang terakhir, tapi dengan langkah-langkah kaki yang lebih pendek. Baginda menyelempangkan kain di atas salah satu bahu (kiri) dan memperlihatkan bahunya yang lain (kanan) dan bahunya. Setiap kali melalui di depan Hajar Aswad, baginda memberi isyarat kepadanya dengan tongkatnya lalu baginda memeluk tongkat itu. “Diriwayatkan bahawa baginda mencium Rukun Yamani, tapi tidak memeluknya dan tidak pula memeluk dengan tangan tatkala menciumnya. Ada riwayat bahawa baginda memeluk Hajar Aswad, ada pula menyatakan bahawa baginda mencium beserta tangannya, dengan meletakkan tangan padanya, kemudian memeluknya. “Adakalanya baginda mencium dengan tongkatnya. Jadi ada tiga cara dalam hal ini. At-Thabarani menyebutkan dengan isnad yang jayyid, bahawa tatkala mencium itu beliau mengucapkan, “Dengan asma Allah, Allah Maha Besar.” “Kemudian tatkala melalui Hajar Aswad pada tawaf berikutnya, baginda hanya mengucapkan Allahu Akbar dan tidak menciumnya.”
Setelah selesai tawaf, baginda menuju belakang Maqam, seraya membaca ayat, “Dan jadikanlah sebahagian maqam Ibrahim tempat solat.” (Al Baqarah: 125). “Kemudian baginda solat dua rakaat. Kedudukan maqam antara baginda dan Kaabah. Sesudah Al-Fatihah baginda membaca surah Al-Kafirun dan Al-Ikhlas. Selesai solat baginda mendatangi Hajar Aswad lalu menciumnya. Kemudian baginda menuju Shafa dari pintu yang berbeza. Ketika mendekati Shafa, baginda membaca: “Sesungguhnya Shafa dan Marwah adalah sebahagian dari syiar Allah.” (Al-Baqarah: 158). “Baginda naik ke bukit Shafa sehingga dapat melihat Kaabah. Dengan menghadap ke arah Kaabah, baginda mengesakan Allah dan mengagungkannya dengan mengucapkan, “Tiada Ilah selain Allah semata, yang tiada sekutu baginya, bagiNya kerajaan dan bagiNya pujian, dan Dia Maha Berkuasa atas segala sesuatu. Tiada Ilah selain Allah semata, yang memenuhi janjiNya, yang menolong hambaNya dan yang mengalahkan pasukan musuh semata.” “Di antara Shafa dan Marwah baginda juga mengucapkan hal yang sama tiga kali. Kemudian turun ke Marwah dengan berjalan kaki. Ketika menuruni Wadi, baginda berjalan cepat, dan ketika melewati Wady dan jalannya menanjak, beliau berjalan biasa. “Setiba di Marwah baginda naik ke atas bukit lalu menghadap ke arah Kaabah, sambil mengagungkan Allah dan mengesakanNya. Baginda melakukan hal yang sama seperti ketika di Shafa. Ketika sa’inya selesai di Marwah, baginda memerintahkan orang yang tidak mempunyai haiwan korban untuk bertahallul, dan tetap menetap di sana hingga hari Tarwiyah (sehari sebelum wukuf di Arafah). “Baginda menetap bersama orang-orang Muslim di dekat Makkah selama empat hari, dan selama itu baginda mengqasar solatnya. Pada hari Khamis pagi, baginda dan semua orang-orang Muslim berangkat menuju Mina. Setiba di Mina, baginda turun dari haiwan tunggangannya dan solat zuhur serta Asar serta bermalam di sana. Keesokan paginya setelah matahari terbit baginda pergi ke Arafah. Baginda mengambil jalan di samping kanan dari jalan yang biasa dilalui orang-orang pada zaman sekarang. Di antara para sahabat ada yang bertalbiyah, ada pula yang bertakbir. Baginda hanya diam saja dan tidak mengingkari perbuatan mereka. Baginda mendapatkan khemah sudah didirikan di Namirah, sebuah dusun di sebelah timur Arafah.
Baginda singgah di tempat itu. Ketika matahari sudah tergelincir, baginda meminta untanya Al-Qashwa’, lalu pergi lagi, hingga tiba di sebuah wadi di bilangan Uranah. “Di sana baginda menyampaikan khutbah yang amat agung dari atas belakang untanya, yang didalam khutbahnya baginda menyampaikan kaedah-kaedah Islam, menghancurkan sendi-sendi kemusyrikan dan jahiliyah. Dalam khutbahnya itu baginda menyampaikan hal-hal yang diharamkan, seperti yang juga diharamkan agama-agama samawi lainnya, baik yang berkaitan dengan darah, harta mahupun kehormatan diri, meletakkan berbagai urusan jahiliyah di bawah telapak kakinya, membatilkan sesembahan Jaliliyah, mewasiatkan perlakuan yang baik terhadap wanita, menyebutkan hak-hak wanita yang harus dipenuhi dan juga kewajipan-kewajipannya, para wanita itu berhak mendapatkan rezeki dan pakaian secara layak, dan baginda tidak membuat arahan tertentu dalam hal ini. Baginda membolehkan suami memukul isteri jika dia memasukkan orang lain yang tidak disukainya ke dalam rumahnya, mewasiatkan kepada umat agar berpegang teguh kepada Kitab Allah, seraya mengkhabarkan bahawa mereka tidak akan sesat selagi mereka tetap berpegang kepadanya. Baginda mengkhabarkan bahawa mereka bertanggungjawab terhadap Kitab Allah itu, lalu meminta mereka untuk mengatakan apa yang hendak dikatakan dan dipersaksikan. Maka para sahabat berkata: “Kami bersaksi bahawa engkau telah menyampaikan, melaksanakan dan menyampaikan nasihat.” Lalu baginda menunjuk jarinya ke langit dan meminta agar mereka bersaksi kepada Allah tiga kali, dan memerintahkan agar mereka yang hadir saat itu menyampaikan isi khutbah ini kepada mereka yang tidak hadir. Baginda hanya menyampaikan satu kali khutbah. “Setelah selesai, baginda memerintahkan Bilal untuk azan lalu iqamat. Baginda solat zuhur dua rakaat dengan merahsiakan (tidak menguatkan suara) bacaan, padahal saat itu hari Jumaat. Hal ini menunjukkan bahawa orang bermusafir boleh tidak solat Jumaat. Kemudian baginda memerintahkan Bilal untuk iqamat sekali lagi, lalu baginda mendirikan solat asar dua rakaat, dengan cara mengqashar dan menjamak. Di sini terkandung dalil bahawa perjalanan jarak yang pendek tidak perlu diatas dengan jarak tertentu. Selesai solat baginda naik haiwan tunggangan dan melanjutkan perjalanan hingga tiba di tempat wukuf. Baginda wukuf di lereng bukit. Dengan menghadap ke arah Kaabah, baginda berdoa, bertahlil dan merendahkan diri kepada Allah hingga matahari tenggelam. Baginda memerintahkan agar orang-orang naik lagi ke Uranah, dan mengkhabarkan bahawa seluruh tempat di Arafah adalah tempat wukuf. Baginda memerintahkan agar orang-orang tetap berada di tempat mereka masing-masing dan wukuf di sana. Dalam berdoa di Arafah ini baginda mengangkat tangan ke arah dadanya, seperti orang miskin yang meminta huluran makanan. Baginda bersabda: “Sesungguhnya sebaik-baik doa adalah hari Arafah.” Di dalam wukufnya ini baginda mengucapkan doa: “Ya Allah, bagiMu segala puji seperti yang kami ucapkan, dan kebaikan dari apa yang kami ucapkan. Ya Allah, bagiMu solatku, ibadahku, hidupku dan matiku, kepadaMu tempat kembaliku, bagiMu ya Rabbi warisanku. Ya Allah, sesungguhnya aku berlindung kepadaMu dari azab kubur, bisikan di dada dan urusan yang cerai berai. Ya Allah, aku berlindung kepada-Mu dari kejahatan yang dibawa angin.” (Diriwayatkan At-Termizi).
“Doa baginda yang lain: “YA Allah, sesungguhnya Engkau mendengar perkataanku, melihat tempatku, mengetahui rahsia dan penampakkanku, tidak ada sesuatu pun yang tersembunyi dariMu dari urusanku, aku adalah yang sengsara dan fakir, yang meminta pertolongan dan perlindungan, yang takut dan perlu dikasihani yang mengakui dosa-dosanya. Aku memohon kepadaMu dengan permohonan orang yang miskin dan yang berdoa kepadaMu dengan doa orang yang takut lagi tak tahu apa-apa, sambil melututkan lututnya kepadaMu, yang kedua matanya menitiskan air mata, dengan merendahkan jasadnya dan memburukkan hidungnya. Ya Allah, janganlah Engkau menjadikan aku dengan doa kepadaMu ini orang yang celaka. Jadilah Engkau menyayangi aku dan mengasihi wahai sebaik-baik Zat yang diminta, wahai sebaik-baik Zat yang memberi.” “Ahmad menyebutkan dari hadis Amr bin Syu’aib, dari ayahnya, dari datuknya, bahawa zikir Nabi s.a.w. yang paling banyak dibaca saat di Arafah adalah: “Tiada Ilah selain Allah semata, yang tiada sekutu bagiNya. BagiNya kerajaan dan bagiNya segala puji. Di TanganNya kebaikan dan Dia Maha Berkuasa atas segala sesuatu.” Ketika di Arafah itu pula turun ayat, “Pada hari ini telah Kusempurnakan untuk kalian agama kalian, dan telah Kucukupkan kepada kalian nikmatKu, telah Kuredhoi Islam itu jadi agama bagi kalian.” (Al-Maidah: 3). Di sana pula ada seseorang yang jatuh dari haiwan tunggangannya dan meninggal dunia. Maka Rasulullah s.a.w. memerintahkan orang itu dikafani dengan kainnya, tidak boleh diberi wewangian, dimandikan dengan air dan dicampuri dengan pohon bidara, kepala dan wajahnya tidak ditutupi kain, dan baginda mengkhabarkan bahawa Allah akan membangkitkan orang ini pada hari kiamat sambil bertalbiyah...
Selanjutnya dapatkan Hidayah Disember 2010 di pasaran...
Tuesday, December 7, 2010
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment