Tuesday, December 7, 2010

Salam Kami Disember 2010

ASSALAMUALAIKUM WR WBT.
SEGALA puji dan syukur kita kepada Allah s.w.t. serta salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w. Kita bertemu lagi untuk sekian kalinya. Keluaran ini rasanya agak istimewa kerana ianya merupakan bulan mengucapkan “selamat tinggal kepada tahun 2010”. Bulan depan kita akan mengucapkan “Selamat Tahun Baru 2011”. Begitulah masa yang berjalan pantas. Diam tak diam, Hidayah sendiripun telah melebihi 12 tahun bersama para pembacanya disamping melebarkan jumlah pembacanya di Indonesia malah hingga dilanggani ribuan pembacanya di Hong Kong (terdapat puluhan ribu para pekerja Indonesia di sana) Di Malaysia, sambutan pembaca tetap setia. Buktinya Hidayah tetap terbit setiap bulan. Dan sebagaimana biasa, keluaran kali ini Hidayah muncul dengan pelbagai kisah iktibar yang kian menarik. Kisah imam mati selepas solat asar memberi motivasi kepada kita untuk sentiasa meningkatkan kualiti iman dan ibadah kita sepanjang masa. Sementara kisah anak derhaka mati berkudis memberi keinsafan agar jangan kita terlanjur menderhakai ibu bapa kandung. Pembalasan Allah bukan saja berlaku di akhirat saja, malah boleh terjadi juga di dunia ini. Begitu jugalah dengan kisah iktibar mengenai ‘Jenazah yang mengembung’ mengingatkan kita jangan tamak dengan harta warisan.
Sementara tak kurang menariknya diikuti ialah kisah seorang bakal haji yang bankrap kerana laburkan wang simpanan haji untuk bisnes yang akhirnya lingkup. Pembaca juga perlu mengikuti ruangan bersiri ‘nostalgia’ yang ditulis oleh Ibnu Idris untuk menoleh sekilas gaya kehidupan masyarakat Melayu/Islam di Singapura era 50an dan 60an dulu. Jangan lupa mengikuti dakwaan Datuk Abu Hasan Din Al-Hafiz menyatakan ‘tidak ada sirath di padang mahsyar’. Dalam melabuh tirai tahun 2010 ini kami mengucapkan rasa terharu dengan sokongan pembaca yang berterusan. Tanpa pembaca apalah maknanya kami di sini. “Selamat menyambut hari raya Aidiladha 1431” dan semoga yang belum sempat menunaikan fardu haji akan terus dipanjangkan umur untuk melaksanakan ibadah wajib tersebut pada tahun-tahun mendatang, InsyaAllah.
Wassalam!

Pengarang
Shahimisaifulislam@yahoo.com.my

No comments: