Tuesday, December 7, 2010

Surat Pembaca

MATI HUSNUL KHATIMAH
Saudara Pengarang,
Mati dengan acara yang baik itu memang diidamkan oleh kebanyakan kita. Siapa yang tidak mahu mati dalam keadaan ‘husnul khatimah’. Begitulah saya tertarik dengan kisah iktibar 1 yang tersiar dalam Hidayah keluaran November 2010 lalu. Kerana cerita itu juga saya membeli ‘Hidayah’ kerana nak tahu cerita lengkapnya.
Saya tertarik dnegan kisah Ahmad Matin atau ‘Aceng’ yang begitu istiqamah dalam menjalani ibadatnya hingga ke hujung hayat. Allahyarham orang biasa-biasa saja. Seorang drebar. Dia bukan ustaz atau agamawan. Tapi penghayatannya dalam mengisi makna hidup sebagai seorang mukmin jelas tergambar dalam kehidupannya.
Ada ustaz yang mengajar di surau kariah saya menasihatkan, seseorang itu hendaklah datang berjemaah di surau baik dalam keadaan kerana jemaahnya ramai, atau dalam keadaan jemaahnya sedikit. “Kita hendaklah datang bersolat jemaah bukan kerana hebat jemaah di situ tapi semata-mata ikhlas beribadat untuk Allah s.w.t. semata-mata,” katanya. Allahyarham Aceng ini menepati ciri-ciri yang dikehendaki dalam Islam. Saya berharap Hidayah terus menyiarkan kisah-kisah yang dapat memberi ‘motivasi’ kepada pembacanya seperti paparan kisah-kisah iktibar ini. Saya berjanji selepas ini akan terus melanggani Hidayah seterusnya. InsyaAllah.

Haji Sabtu Johar,
Taman Sri Gombak, Selangor.

• Alhamdulilah, bersyukurlah kerana anda turut menjadi pembaca Hidayah. Semoga ada keberkatannya buat anda. - Pengarang.

PAPARKAN SEJARAH ISLAM DI INDIA
Saudara Pengarang,
Kita selalunya mempunyai perasaan ‘melankolik’ apabila sesuatu itu terlepas dari tangan kita. Namun sejarah tetap tinggal sejarah. Ianya tidak akan berulang lagi. Begitulah dengan Granada di Sepanyol. Ada masanya kita boleh bermegah dengan apa yang dicipta oleh orang-orang terdahulu, tapi ada ketikanya pula kita kesal dengan kesilapan yang dilakukan yang mengakibatkan punahnya suatu kegemilangan dan tamadun. Benarlah kita perlu belajar dari sejarah. Apabila membaca sekilas mengenai Granada di Sepanyol yang disiarkan dalam Hidayah keluaran November 2010, saya terkenang juga mengenai sejarah kegemilangan Islam di India satu ketika dulu.
Islam pernah memerintah India. Kini hanya tinggal sejarah dan yang kesannya ialah kemegahan ‘Taj Mahal’.
Pun begitu, kita tak dapat menafikan jutaan umat Islam di India hingga kini antara umat yang kental dengan akidahnya di tengah-tengah pengaruh agama lain. Saya berharap Hidayah dapat memaparkan kesan-kesan sejarah Islam di India dalam keluaran-keluaran akan datang.

Kamaruzzaman Adnan,
Sungai Siput, Perak.

• Akan kami usahakan, InsyaAllah! – Pengarang.

No comments: