SEORANG ulama tersohor dalam negara kita, Datuk Hassan Din Al-Hafiz berpendapat bahawa tidak ada “jambatan” yang dibentangkan di atas neraka untuk semua makhluk menyeberangi di akhirat nanti. “Cerita jambatan atau pun Sirath itu hanyalah sebagai simbolik saja. Sebenarnya ia tidak wujud sama sekali,” katanya dalam satu ceramah yang disampaikannya di sebuah madrasah “madrasah Al-Huda” di Taman Keramat, Kuala Lumpur baru-baru ini. Katanya: “Kesilapan dan kesalahan yang timbul dari soal ini kerana ramai para ustaz salah memahami maksud ayat Quran dan hadis Nabi s.a.w. mengenai perkara ini.” Beliau telah menghuraikan dengan panjang lebar berhubung dengan masalah yang penuh kontroversi ini yang katanya: “Semasa saya kecil dulu pun saya diberitahu jambatan atau pun Sirath itu ada di atas Neraka.” Datuk Hassan telah mengemukakan dalil-dalil sama ada dari nas Al-Quran dan hadis Nabi s.a.w. berhubung perkara ini, dan beliau telah menyebutkan ayat-ayat tersebut dalam surah apa dan ayat berapa. Begitu juga dengan hadis-hadis yang dibetangkan sebagai dalil yang sahih bahawa tidak ada “Sirath” sebagaimana yang di maklumkan itu. “Salah mengerti, dan tidak memahami isi al-Quran dan tidak memahami isi al-Hadis, maka terjadilah hal ini,” jelasnya. Datuk Hassan kemudian telah bercakap satu persatu berhubung dengan proses kebangkitan manusia dari kubur. Katanya: “Apabila ditiup Sangkakala, semua makhluk akan bangkit dari kubur masing-masing. Mereka akan berdiri di tepi kubur dan akan diperintahkan menuju ke padang Mahsyar. “Mahsyar atau pun Padang Mahsyar ini merupakan satu perjalanan yang paling jauh dan paling menyukarkan, menyulitkan sekali. “Manusia atau pun makhluk akan dibangkitkan dengan “tiga tahap”. Tahap pertama: Dari golongan kafir akan dihantar terus masuk ke dalam neraka tanpa bicara apa-apa pun. Tahap kedua (B): Makhluk yang akan dibangkitkan akan terus masuk ke syurga tanpa dihisab. Golongan ini bergantung kepada amalan masing-masing. Tahap ketiga: Golongan ini akan “stay” (menetap) di Padang Mahsyar. Berapa lama? Allah s.w.t. saja yang menentukan. Satu hari di akhirat, nisbahnya sama dengan seribu tahun di dunia. “Bayangkan bagaimana seksanya manusia yang bersalah menanti di bicara di Mahkamah Allah. Ketika itu tidak ada peguam bela. Hakim Yang Maha Besar dan Maha Perkasa, Yang Maha Mengetahui dan Maha segala-galanya iaitu Allah akan menghakiminya,” jelas Datuk Hassan dengan wajah serius. Beliau telah membawa projector dimana ada “slide” sebagai carta untuk menerangkan kedudukan “Neraka” dimana letaknya kedudukan “Syurga” dimana pula letaknya dan di tengah-tengahnya antara syurga dan neraka itu akan satu tembok besar apa yang disebut “al-a’rab”. Orang-orang yang ditempatkan di sini ialah mereka yang mempunyai “Dosa” dan “pahala” iaitu “fifty-fifty”. Dalam saat-saat Datuk Hassan Din membuat penjelasan itu, seorang jemaah angkat tangan bertanya: “Apa akan jadi dengan orang-orang yang duduk di atas tembok itu?” Datuk Hassan menjawab: “Yang berdosa akan menjalani hukuman iaitu masuk neraka, dan selepas selesai hukuman berjalan, orang-orang itu akan dihantar ke Syurga. “Begitu keadilan Allah s.w.t. dalam mengadili mahkluknya dan menghukum mereka.” Datuk Hassan Din kemudian memberitahu bahawa yang dimaksudkan jambatan atau pun “Sirath” itu ialah mereka yang berjalan dari kubur masing-masing ke Mahsyar. “Cangkuk-cangkuk besi yang tajam dan besar-besar sebagaimana yang digambarkan dalam kisah itu ialah sebagai “simbolik” dimana menunjukkan betapa sukar dan sulitnya manusia berjalan menuju ke Mahsyar. Kepayahan, kesulitan itu sama juga seperti kita mengharungi satu jalan dimana jalan-jalan itu penuh denga duri, semak samun penuh dengan ranjau dan sebagainya yang menimbulkan kesulitan yang amat sangat. Kata Datuk Hassan: “Cerita-cerita tambahan tanpa dalil dan yang sahih kita tidak boleh terima. Kadang-kadang ada cerita-cerita yang ditokok tambah. “Ada di antaranya yang kita dengar dan baca dalam kitab-kitab agama itu hanya sebagai pendapat para ulama itu sendiri, bukan dari “Quran Hadis Nabi s.a.w. yang sahih,” katanya. “Begitulah prosesnya dimana yang akan dimasukkan ke neraka datang berduyun-duyun begitu bising sekali, sehingga penjaga pintu neraka merasa hairan apa yang bunyi bising itu. “Oleh kerana para malaikat yang menjaga pintu-pintu neraka itu mahu tahu apa yang bunyi bising itu, lalu membuka pintu-pintu neraka dan orang-orang kafir terus saja masuk ke dalamnya. “Manakala orang-orang yang sudah ditentukan ke syurga terus ke pintu syurga, tetapi pintu syurga ditutup. Akhirnya Nabi kita Muhammad s.a.w. yang berjalan di depan sekali lalu mengetuk pintu syurga. “Malaikat yang menjaga pintu syurga bertanya: “Siapa? Nabi s.a.w. memberitahu bahawa baginda bersama umatnya masuk ke syurga. Para malaikat menyambutnya dengan ucapan “selamat sejahtera”.
“Lalu Nabi Muhammad s.a.w. memohon kepada Allah minta izin keluar semula untuk ke Mahsyar untuk melihat umatnya yang masih tertinggal. Maka Allah s.a.w. izinkan permintaan Nabi s.a.w. itu. “Rasulullah s.a.w. kesana semata-mata untuk mahu memberi syafaat kepada umatnya yang masih berada di mahsyar kerana urusan bicara di mahkamah Allah belum beres lagi. Begitulah sayang dan kasihnya Nabi kepada umatnya,” demikian kata Datuk Hassan dalam penjelasannya itu. Beliau menyambung: “Jadi prosesnya sudah kita tahu. Dari kubur ke mahsyar. Di sini menanti bicara. Ada mahkamah Allah dimana Allah sendiri sebagai Hakim. Kemudian, ke syurga, maka akan ke syurga. Ke neraka, akan ke neraka. “Jadi, bagaimana boleh timbul ada “Sirath”? Sedangkan keputusan sudah pun selesai. Penghisaban dan perbicaraan sudah pun selesai, keputusan sudah pun di buat, bagaimana pula ada cerita lain, mereka yang nak ke syurga akan melalui “jambatan” atau pun “Sirath”?
“Jambatan itu pula di sebutkan kecil seperti rambut dibelah tujuh, dan tajamnya lebih dari pedang. Cara berjalan di atas Sirath itu ada bermacam-macam. Ada macam kilat, ada berlari, dan berjalan, dan ada yang merangkak serta berengsot-engsot. “Yang banyak dosa akan jatuh ke bawah, di mana di bawah Sirath itu ialah “Neraka Jahanam”. Kata Datuk Abu Hassan lagi: “Tidak ada nas yang menceritakan hal ini semua, baik dalam Quran mahu pun dari hadis Nabi s.a.w. Ini cuma pendapat para ulama saja.
Selanjutnya dapatkan Hidayah Disember 2010 di pasaran...
Tuesday, December 7, 2010
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment