Dialah wanita beruntung sepanjang masa. Wanita yang dipinang manusia agung menjadi isterinya. Dialah puteri dari Khuwailid bin Asad bin Abdul Uzza bin Qushai bin Kilab al-Qurasyiah al-Asadiyah. Terlahir 15 tahun sebelum tahun fiil (tahun gajah). Dia membesar dalam lingkungan keluarga yang mulia dan pada gilirannya kelak menjadikannya seorang wanita yang cerdas, teguh, agung dan memiliki akhlak yang luhur. Kerana itulah banyak lelaki dari kaumnya menaruh simpati kepadanya. Sebelum dinikahi oleh Rasulullah, Khadijah dinikahi oleh Abu Halah bin Zurarah at-Tamimi. Dari hasil perkahwinan tersebut membuahkan dua permata hati bernama Halah dan Hindun. Namun perkahwinan keduanya ditakdirkan Allah tidak berumur lama kerana Abu Halah kemudian meninggal dunia. Setelah ditinggal mati suaminya, Khadijah pun berkahwin lagi dengan Atiq bin ‘A’id bin Abdullah al-Mahzumi hingga beberapa waktu lamanya, namun akhirnya mereka bercerai. Setelah itu, banyak pemuka-pemuka Quraisy yang menginginkannya. Akan tetapi, dia ingin memberi perhatiannya dulu untuk mendidik putera-puterinya, disamping sibuk mengurus perniagaan oleh kerana dia memang wanita yang kaya raya. Urusan perniagaan yang benar-benar mengambil sebahagian besar waktunya membuat Khadijah harus mencari orang yang mampu diharapkan membantu perniagaanya. Beliau pun memutuskan mencari orang yang dapat menjual barang dagangannya. Beliau pun mendengar khabar tentang keperibadian Muhammad (sebelum diangkat menjadi Nabi) yang memiliki sifat jujur, amanah, dan berakhlak mulia. Sebab inilah dasar dari kejayaan perniagaan. Bersama pembantunya, Maisaroh, Khadijah pun lantas mendatangi Muhammad. Beliau menawarkan perniagaan dengan memberikan barang dagangan kepada Muhammad dalam jumlah yang cukup banyak. Muhammad pun menyetujui tawaran tersebut. Bersama Maisaroh, dia langsung pergi berniaga. Hasilnya? Di luar dugaan. Keuntungan berganda didapatkan oleh mereka. Khadijah pun gembira kerananya. Akan tetapi, lebih dari itu, dia merasa takjub pada keperibadian Muhammad. Kekagumaan yang lama kelamaan membawanya pada benih-benih cinta di hatinya. Apalagi dia sudah lama menjanda. Namun dia pun sedar diri bahawa usia mereka terpaut jauh. Saat itu Muhammad masih berusia 25 tahun sedang dirinya sudah mencapai 40 tahun. Di saat bersamaan, dia bermimpi aneh namun cukup membahagiakan. Dia penasaran dengan takbir mimpi itu. Maka di pagi harinya, dengan penuh kegembiraan dia pergi ke rumah sepupunya, iaitu Waraqah bin Naufal. “Malam tadi aku bermimpi sangat menakjubkan. Aku melihat matahari berpusing-pusing di atas kota Makkah, lalu turun ke arah bumi. Dia semakin mendekat dan semakin mendekat. Aku terus memperhatikannya untuk melihat kemana dia turun. Ternyata dia turun dan memasuki rumahku. Cahayanya yang sangat agung itu membuatku tertegun. Lalu aku terbangun dari tidurku,” ceritanya pada Waraqah. Dan Waraqah pun tertegun mendengarnya. “Aku sampaikan berita gembira padamu, bahawa seorang lelaki agung dan mulia akan datang meminangmu. Dia memiliki kedudukan penting dan kemasyhuran yang semakin hari semakin meningkat,” jelas Waraqah seraya mentakbirkan mimpi Khadijah itu. Akhirnya mimpi itu menjadi kenyataan bahawa kelak Khadijah akan dikahwini seorang Nabi dan Rasul. Seiring dengan itu, perasaan yang tersemai di hati Khadijah semakin mengembang. Dia tak kuasa menahannya. Semakin dalam dia merenung, semakin merasa kuat hasratnya untuk dinikahi Muhammad. Maka dia pun bermaksud mengajukan diri agar Muhammad dapat mempersuntingnya. Namun, dia sempat meragu atas langkah yang tak lazim pada masyarakat Arab ketika itu. Sebab pada saat itu bangsa Arab jahiliah memiliki adat bahawa pantang bagi seorang wanita untuk meminang lelaki. Untuk itu, dia perlu ‘orang ketiga’ sebagai penyambung rasa hatinya. Di saat dia bingung dan gelisah kerana masalah yang menggelayuti fikirannya, tiba-tiba muncullah seorang temannya yang bernama Nafisah binti Munabbih. Nafisah mampu menyibak rahsia yang disembunyikan oleh Khadijah tentang permasalahan yang sedang dihadapinya. Betapa dia ingin dikahwini oleh manusia berbudi luhur. Tak semata hawa nafsu yang mengendarai rasa suka terhadap Muhammad. Sebab itulah dia mengatakan, “Jika segala kenikmatan hidup diserahkan kepadaku, dunia dan kekuasaan para raja Iran dan raja Rom diberikan kepadaku, tetapi aku tidak hidup bersamamu, maka semua itu bagiku tak lebih berharga daripada sebelah sayap seekor nyamuk.” Nafisah terus berusaha membesarkan dan menenangkan hati Khadijah. Dia meyakinkan Khadijah bahawa dia seorang wanita kaya, bermartabat, keturunan orang terhormat, memiliki harta, lagi berparas cantik, sehingga tak sepatutnya Khadijah merasa ‘rendah diri’ dalam hal ini. Sebab itu pula akhirnya dia mahu menemui Muhammad untuk mengungkapkan maksud hati Khadijah. Sesampainya di kediaman Muhammad, dengan olah bahasa yang berlapik dan santun, dia utarakan maksud kedatangannya. “Wahai Muhammad, apakah yang menghalangimu untuk berkahwin?” “Aku tidak memiliki apa-apa untuk berkahwin.” “Bagaimana jika aku pilihkan untukmu seorang wanita yang kaya, cantik, dan berkecukupan, apakah kamu mahu menerimanya?” “Siapa dia?” Nafisah (Dengan cepat dia menjawab), “Khadijah binti Khuwailid.” “Jika dia setuju, maka aku pun setuju.” Mendengar ketegasan ini, Nafisah gembira dan lantas pergi menemui Khadijah untuk menyampaikan khabar tersebut. Ini bererti, lamaran Khadijah diterima. Sedangkan Muhammad langsung memberitahukan kepada bapa-bapa saudaranya tentang keinginannya untuk mengahwini Khadijah. Budi baik wanita ibu tunggal tersebut layak dijadikan alasan bahawa dia patut dinikahinya, walaupun usia mereka terpaut sangat jauh. Kemudian, pergilah bapa-bapa saudara Nabi: Abu Thalib, Hamzah, dan yang lainnya menemui bapa saudara Khadijah yang bernama Amru bin Asad untuk melamar Khadijah. Selanjutnya, mereka menyerahkan ‘mahar’ sebagai tanda sahnya akad nikah tersebut. Maka, sejak saat itu, jadilah Khadijah sebagai isteri Muhammad. Dia menjelma sebagai ummul mukminin yang paling utama dan paling baik dalam hal mencintai suami dan mengutamakan kepentingan suami daripada kepentingan dirinya sendiri.
Dari perkahwinan ini Allah memberikan kurnia kepada keduanya putera dan puteri yang bernama al-Qasim, Abdullah, Zainab, Ruqayyah, Ummu Kaltsum dan Fatimah. Berkat perkahwinan ini pula, Khadijah merupakan orang yang pertama kali masuk Islam dan beriman kepada Allah dan RasulNya. Khadijah terus mendukung perjuangan suaminya dalam menyebarkan risalah Islam. Namun seiring dengan perjuangan ini, kaum muslimin terus ditimpa ujian dan musibah yang sangat berat, akan tetapi Khadijah tetap berdiri kukuh berada di sisi suaminya. Bahkan ketika ujian demi ujian secara beruntun diberikan Allah s.w.t. kepada mereka berdua, Khadijah tetap tabah dan gigih. Kedua puteranya yang masih kanak-kanak, iaitu Abdullah dan al-Qasim dipanggil Allah untuk selama-lamanya, namun demikian Khadijah tetap bersabar. Dia juga melihat dengan mata kepala sendiri bagaimana syahidah pertama dalam Islam yang bernama Sumayyah menghadapi sakaratul maut kerana seksaan kaum kafir hingga jiwanya menghadap Si Pencipta penuh kemuliaan. Dalam kesempatan lain, Khadijah kembali menunjukan kualiti peribadinya yang mulia sebagai seorang isteri. Tatkala orang-orang Quraisy mengumumkan pemulauan (memboikot) terhadap orang-orang Islam untuk menekan dalam bidang politik, ekonomi, dan kemasyarakatan, dan pemboikotan tersebut mereka tulis dalam sebuah naskhah dan mereka gantungkan pada dinding Kaabah, Khadijah tidak ragu-ragu untuk bergabung dalam barisan orang-orang Islam bersama dengan kaumnya. Dia rela meninggalkan kampung halaman tercinta untuk menempa kesabaran selama tiga tahun bersama Rasulullah dan orang-orang yang menyertainya menghadapi beratnya pemboikotan yang penuh dengan kesusahan dan menghadapi kezaliman sewenang-wenangnya para kafir penyembah berhala.
Sewaktu malaikat turun membawa wahyu kepada Muhammad, Khadijah adalah orang pertama yang mengakui kenabian suaminya, dan wanita pertama yang memeluk Islam. Sepanjang hidupnya bersama Muhammad, Khadijah begitu setia menyertainya dalam setiap peristiwa suka dan duka. Setiap kali suaminya ke Gua Hira’, dia pasti menyiapkan semua perbekalan dan keperluannya. Seandainya Muhammad agak lama tidak pulang, Khadijah akan melihat untuk memastikan keselamatan suaminya. Sekiranya Muhammad khusyuk bermunajat, Khadijah tinggal di rumah dengan sabar sampai suaminya kembali pulang. Terkadang kepulangan itu membawa sejuta persoalan dan kesusahan hingga membuat Rasulullah gelisah. Khadijah pun mampu mencuba sekuat mungkin untuk mententeramkan dan menghibur Rasulullah sehingga suaminya benar-benar merasa tenang.
Selanjutnya dapatkan Hidayah Disember 2010 di pasaran...
Tuesday, December 7, 2010
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment