SEMASA di Singapura, saya tinggal di Geylang Serai. No.4 Geylang Serai, merupakan satu alamat paling popular ketika itu, kerana alamat ini sering tersiar dalam surat khabar terutama dalam majalah. Biasanya, kalau saya menulis rencana ataupun surat dari pembaca, saya akan tulis alamat penuh dan pengarang akhbar akan siarkan sepenuhnya. Jadi, alamat No. 4 Geylang Serai memang terkenal dikalangan orang-orang Melayu, terutama mereka yang tinggal di Geylang Serai, Singapura. Orang-orang Semenanjung Tanah Melayu zaman itu kalau datang atau pun melawat Singapura, mesti melawat Geylang Serai. Adalah satu hal yang seolah-olah tidak sah kalau tidak datang ke Geylang Serai. Bukan ada apa-apa pun di sini, cuma orang-orang Melayu tinggal di kawasan ini. Yang paling meriah di Geylang Serai ialah pada waktu petang, senja hingga ke tengah malam.
Ia bermula dari jam 4 petang dimana penjual-penjual “lambak” (macam kita di Malaysia – pasar malam sekarang ini) di sekitar tepi-tepi jalan di Geylang Serai. Tempatnya bermula dari jalan simpang Joo Chiat Road, hinggalah di persimpangan Jalan Ubi. Sepanjang kawasan jalan ini di panggil Geylang Serai. Di sinilah orang-orang berjualan. Apa juga yang kita hendak beli semuanya ada. Nak barang lama, barang separuh baru, dan yang baru, semuanya ada dijual di sepanjang jalan itu. Keadaan ini paling meriah sekali dimana saban malam tempat ini tidak pernah sunyi dari orang ramai yang mundar mandir di jalan raya. Bukan semua yang mundar mandir itu membeli, bahkan sekadar jalan-jalan saja cuci mata. Itulah sebabnya, bagi orang-orang semenanjung Tanah Melayu terutama orang-orang dari Pantai Timur, Utara, Melaka, Negeri Sembilan yang melawat menaiki bas mesti ke Geylang Serai, nak tengok dan lihat dengan mata sendiri apa yang ada di Geylang. Zaman itu orang-orang Melayu/Islam tahu bahawa meninggalkan sembahyang salah, dan berdosa. Tetapi cerita orang tidak “sembahyang maghrib” ini berlaku sejak tahun 50an lagi. Misalnya yang disebutkan orang berjualan di kawasan Geylang Serai ini yang bermula petang membawa tengah malam. Ada dua buah masjid yang berdekatan di kawasan Geylang Serai, tetapi bila muazin melaungkan “azan” tidak siapa yang pergi sembahyang. Yang mundar mandir terus mundar mandir. Cerita ini samalah juga dengan sebahagian dari orang-orang Melayu/Islam pergi “pasar malam” sekarang ini. Orang azan tanda masuk waktu solat maghrib, orang ramai terus “mundar mandir” ke pasar malam.
Yang ingat nak sembahyang, pergilah sembahyang, yang mundar mandir ingat sembahyang, terpaksa tergesa-gesa pulang ke rumah untuk solat maghrib. Cuma berapa kerat saja yang buat macam tu?
Begitu juga di Geylang Serai dalam era 50an dan 60an itu, keadaannya sama juga. Yang nak sembahyang pergilah sembahyang, yang tak nak, tetap mundar mandir di jalan raya sehinggalah waktu maghrib luput...
Di kawasan Geylang Serai pada waktu siangnya memanglah menarik. Orang-orang Melayu dari segala keturunan, dari berbagai gaya hidup ada di sini. Di kawasan Geylang Serai mereka menyewa rumah. Ada yang tinggal menyewa pakai bilik-bilik saja. Kita biasa melihat filem “Kisah-kisah Bujang lapok” dimana bujang-bujang lapok ini tinggal menyewa bilik-bilik saja dalam sebuah rumah yang sederhana. Begitulah cara hidup dizaman itu sebagaimana yang digambarkan oleh P.Ramlee dalam siri filem “bujang lapoknya” itu. Kalau anda nak tahu keadaan orang-orang yang menyewa terutama mereka yang datang merantau untuk cari kerja, rumah-rumah dan bilik-bilik yang macam filem bujang lapok, itulah yang mereka tinggal menyewa. Ada yang menyewa bilik-bilik apabila buka tingkap melihat longkang rumah sebelah. Lalu pintu belakang terpaksa melintas tandas rumah orang.
Tandas-tandas pada zaman itu ialah “main tandas angkat”. Zaman itu ada ‘tender’ dari kerajaan “angkat najis”. Dimana kadang-kadang kita sedang buang air besar, tiba-tiba tong najis kita hilang. Rupa-rupanya yang mengangkat najis sudah mengambilnya untuk dicurahkan dalam tong lain untuk diangkut. Pendeknya, apa yang ada dalam filem bujang lapok, begitulah gambaran sebenarnya. Siapa yang pernah ke Singapura merantau mencari kerja dalam era tersebut mengakui hakikat tersebut. Keadaan kotor jangan nak cakap lagi. Dimana-mana pun kita masuk dalam kawasan Geylang Serai itu keadaannya sama saja. Kalau musim hujan, keadaannya semakin bertambah buruk. Di Geylang Serai tempat saya mencari berita-berita menarik, kisah-kisah masyarakat, kisah-kisah luar kain, luar seluar dan macam-macam yang lain yang boleh kita siarkan dalam akhbar.
Undang-undang dan peraturan tidaklah begitu ketat. Kawalan bagi penjaja-penjaja, penjual-penjual makanan, warung-warung buka kedai itu dan ini tidak lagi dikawal ketat. Siapa pun boleh berniaga. Siapa pun boleh bentang kain di tepi kaki lima jual ubat, jual itu dan jual ini. Tidak perlu ada lesen itu dan ini. Di mana-mana simpang, di mana-mana kaki lima, di mana-mana lorong orang boleh dirikan apa juga jenis warung, asalkan jangan ganggu lalu lintas dan ganggu orang nak jalan dan masuk ke rumah sendiri. Tidak seperti sekarang, apa pun mesti ada lesen. Mesti ada kebenaran dari pihak berkuasa. Kita tidak boleh buat sesuka hati sendiri. Negeri ada undang-undang. Negeri ada peraturan. Kampung-kampung ada disiplin penduduk. Rumah-rumah pun mesti ada undang-undang kalau mahu duduk ramai-ramai, kalau disewakan dengan orang asing. Dulu-dulu “lantaklah” masing-masing punya suka. Nak sewa sendiri berapa bilik nak buat, aku punya suka. Itu rumah aku, sepuluh bilik untuk sewakan orang, aku punya suka. Orang lain tidak ambil peduli. Zaman era itu “lu-lu, gua-gua”. Lu punya rumah, lu punya kain lu jaga, gua punya rumah, gua punya kain, gua jaga. Sejenis judi yang paling digemari bagi orang-orang yang sedikit berada, atau pun yang tidak begitu “sengkek” ialah judi “main kuda”. Permainan ini biasanya pada hari Sabtu dan Ahad. Masanya selepas waktu zuhur. Di Geylang Serai ada beberapa buah kedai kopi. Dalam kedai kopi ini pula ada Radiofusion. Radio inilah saja yang akan menyiarkan secara langsung “kuda lumba” dari race Course Bukit Timah. Mereka yang bekerja di pejabat-pejabat akan pulang dari pejabat kira-kira jam 1.00 tengahari. Mereka yang punya banyak wang akan terus ke Bukit Timah di padang lumba kuda. Di sana, mereka berjudi sehingga lupa diri, lupa yang dia orang Islam, lupa dia ada isteri, ada anak, ada ibu bapa dan ada tanggungjawab besar di rumah, iaitu rumah mesti dibayar sewa setiap bulan.
Selanjutnya dapatkan Hidayah Disember 2010 di pasaran...
Tuesday, December 7, 2010
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment