KEMATIAN adalah rahsia Ilahi. Tak ada satu pun manusia tahu bila ajalnya akan datang menjemput. Adakah ketika kita sedang duduk, tidur, atau bahkan sedang berjalan. Semua menjadi rahasia Pemilik pencipta manusia, yang tak lain adalah Allah s.w.t., yang menggerakkan alam ini. Yang penting untuk diketahui adalah: apakah seseorang sudah memenuhi tanggungjawab hidupnya di jalan Allah, ataukah sebaliknya? Kemudian, apakah kita mengakhiri hidup ini dalam keadaan yang baik, atau justeru sebaliknya? Kenapa ini penting? Sebab, akhir hidup seseorang adalah gambaran dari perilaku yang ia kerjakan selama hidupnya. Oleh kerana itu, Nabi s.a.w. selalu menganjurkan agar kita berdoa untuk selalu dijaga iman di setiap waktu, dan agar kita meninggal dalam keadaan husnul khatimah (akhir hayat yang baik). Diriwayatkan dari Imam Thabrani dalam Kitab Al-Ausath dari Ibnu Abbas r.a., bahawa seorang lelaki pernah bertanya kepada Rasulullah. “Ya Rasulullah, tunjukkan kepadaku amal yang dapat memasukkanku ke dalam syurga?” Rasulullah s.a.w. menjawab, “Jadilah engkau seorang muazin (orang yang mengumandangkan azan).” Lelaki itu bertanya lagi, “Aku tidak dapat. Adakah amal lain?”
Nabi s.a.w. menjawab, “Jadilah engkau seorang imam (dalam solat) berjemaah.” Orang itu berkata lagi, “Aku tidak dapat. Tapi adakah yang lain?” Lalu Nabi s.a.w. menambahnya dengan kata terakhir, “Maka, berdirilah engkau di tengah-tengah imam.” Hadis ini menunjukan betapa mulianya orang yang selalu mengumandangkan azan dan menjadi imam dalam solat berjemaah. Nabi s.a.w., secara umumnya, sangat menyanjung tugas muazin dan imam dalam solat. Balasan yang akan diterima oleh orang semacam ini tak lain adalah syurga di akhirat kelak.
Berikut ini sebuah kisah seorang kiai di kampung di Jombang, Jawa timur, yang selalu menjadi imam di surau kariahnya. Dia meninggal dunia setelah menjadi imam dalam solat asar berjemaah di suraunya.
Tersungkur Sujud
Kiai Jalil, begitulah namanya. Dia seorang ulama kampung yang tak memiliki populariti apa-apapun di tingkat daerahnya apalagi peringkat nasional. Dia bukanlah apa-apa bila dipandang dari peranannya di tingkat masyarakat luas. Dia tak memegang jawatan kemasyarakatan apa lagi jawatan dalam parti politik. Orang ramai pun ada yang tak tahu nama lengkapnya. Orang hanya tahu sebutan nama singkatnya, iaitu Kiai Jalil, itu saja.
Tapi, siapa sangka, lelaki berusia emas itu mencatat kisah indah di tengah orang yang mengenalinya secara dekat. Dia dikenali sebagai ‘warga emas’ yang selalu menempatkan dirinya pada kedudukan yang dihormati masyarakatnya. Dia tidak mahu berpihak kepada sesiapapun ketika terjadi perselisihan di tengah masyarakat.
Menurut isterinya, Khumairah, suaminya adalah lelaki yang rajin, tekun, bersopan, dan tak mudah menyerah. Sudah 40 tahun dia mengharungi bahtera rumah tangga dengannya, namun dia tak pernah mendapat perlakuan kasar dari suaminya. Dan, yang paling dia kagumi adalah usaha menjaga solat tepat pada waktunya.
“Dia itu tergolong orang yang tak ingin terlambat dalam menunaikan solat. Meski dalam keadaan sibuk bagaimanapun, dia selalu berusaha untuk bersolat tepat waktu. Ketika di rumah, dia selalu mengusahakan agar dapat solat berjemaah di surau,” ujarnya. 12 tahun yang silam, tepatnya tahun 1998, Khumairah mencuba mengingatkan sekilas kematian suaminya itu. Di usianya yang ke 65 tahun sekarang ini, dia berusaha mengurai kisah kematian suaminya yang maish segar dalam ingatan. Ketika itu, ujarnya, suaminya seperti biasa melaksanakan solat asar di surau yang tak jauh dari rumahnya. Si suami tak mengeluhkan apapun dengan masalah kesihatannya. Dia terlihat sihat walafiat. Menu makan siang pun dia habiskan dengan berselera. Itu ertinya, keadaannya sangat sihat sekali. “Saya pun tak menyangka bahawa itu adalah hari pertemuan terakhir kami di dunia ini. Sebab, dia tidak mengeluhkan penyakit apapun kepada saya,” katanya. Setelah pulang dari surau, Kiai Jalil duduk sebentar di kerusi anjung rumah. Dia meminta minuman kepada isterinya. Saat itu, Khumairah menyatakan bahawa air minumannya sudah tersedia di meja makan. Kiai Jalil pun bergegas ke dapur untuk mengambil gelas yang berisikan air putih itu. Khumairah, yang ketika itu sibuk melepaskan kain telekungnya kerana baru saja melaksanakan solat, sekilas memperhatikan suaminya dari pinggir pintu dalam biliknya. Dia melihat suaminya sedang meneguk air dalam gelas itu. Tapi, tiba-tiba saja, prak...! Kiai Jalil terjatuh dari kerusi bersamaan dengan gelas itu. Gelas itu pecah berserak di lantai. Khumairah pun langsung menghampiri tubuh suaminya yang sudah tersungkur ke lantai dalam keadaan bersujud. Dengan perasaan cemas dia lalu mengangkat dan memapah tubuh suaminya yang sudah lemah. Tapi, kerana berat, dia lalu memanggil anaknya yang berada di belakang rumah. Tubuh Kiai Jalil pun dipapah dan diusung ke bilik. Tubuh lelaki itu kemudian dibaringkan ke tempat pembaringan. Namun, tubuhnya sudah tak bernyawa lagi. Lelaki tua itu sudah meninggalkan dunia yang fana ini. Innaalillaahi wa innaa ilaihi raaji’un...!
Kubur Berbau Wangi
Khumairah macam tak percaya bila mendapati suaminya sudah menemui ajalnya. Begitu mudahnya si suami pergi meninggalkan dunia yang fana ini. Sebab, beberapa jam lalu dia sempat bergurau senda dengan suaminya itu. Yang sangat tidak dia percaya adalah bahawa suaminya tak mengeluhkan rasa sakit sedikit pun. “Dia tak ada apa-apa penyakit. Dia sama sekali tidak mengadu apa-apa penyakit pun,” beritahunya. Tapi, bagaimana pun juga, Khumairah berusaha menerima semuanya itu. Ia menerima dengan ikhlas dan redho bila si suami yang ia cintai itu lebih dulu dipanggil Allah s.w.t. Sebab, pada hakikatnya semua manusia pasti akan mati. Termasuk juga dirinya. Kematian hanya soal menunggu waktu saja. Petang itu rumah Kiai Jalil dikunjungi ramai orang. Anak-anak dan cucu-cucunya berdatangan. Yang berziarah pun silih berganti berdatangan. Sejumlah ahli keluarga mendatangi rumah sederhana itu. Petang itu pula, rancangannya, jenazah akan dikuburkan. Sebab, Khumairah ingat bahawa suaminya dulu pernah berpesan agar segera menguburkan jasadnya bila sudah meninggal dan tidak usah menunggu lama-lama. Maka, setelah dipersetujui oleh pihak keluarga, jenazah Kiai Jalil langsung dimandikan, dikafani, disolatkan, dan kemudian dikebumikan. Jenazahnya disolatkan di surau tempat dia lazimnya bersolat lima waktu. Surau itu menjadi saksi bisu atas amal ibadah yang ia perbuat selama ini. Setelah disolatkan, jenazahnya langsung dikuburkan. Penggalian tanah kubur pun dilakukan dengan melibatkan beberapa orang dibuat secara gotong royong. Mereka mengejar waktu semoga jenazah selamat dikebumikan sebelum azan maghrib. Beberapa minit sebelum berkumandang azan maghrib itu, proses pengkebumian pun selesai dilakukan.
Sampai di sini, ada keanehan terjadi. Sebab, pihak keluarga terlupa membeli bunga untuk diletakkan di atas kubur. Sebab, mungkin, kerana waktunya sangat terbatas, jadi hingga tidak ada siapa yang ingat untuk membeli bunga. Tapi, meski tidak menaburkan bunga di atas pusara, kubur itu bagai menyebar bau wangi yang bersemarak sekali. Semerbak wangi bunga melati terasa sekali. Mereka yang berada di tanah perkuburan itu dapat menciumi. “Harum sekali baunya. Padahal saya lupa beli bunga,” jelas Khumairah.Keanehan yang kedua ketika anaknya hendak mengumandangkan azan maghrib di tanah perkuburan itu, tiba-tiba saja suara azan terdengar di beberapa surau di kampung itu yang menggunakan pembesar suara. Jadi, azan yang dilakukan anaknya bersamaan berkumandang dengan azan yang dilakukan para bilal di beberapa surau dan masjid di sekitar itu. Begitu syahdu sekali terasa... Dan, yang lebih aneh lagi, azan di beberapa surau dan masjid itu terdengar serentak ketika menyebut kalimat “Allaahu Akbar, Allaahu Akbar.” Ini sungguh aneh dan jarang berlaku. Semua itu adalah kebesaran Allah. Pasti ada hikmat disebaliknya.
Selanjutnya dapatkan Hidayah Disember 2010 di pasaran...
Tuesday, December 7, 2010
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment