ASSALAMUALAIKUM WR.WBT.
SEGALA puji dan syukur kita ke hadapan Allah s.w.t. serta salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w. Kita kini sedang berada dalam bulan Safar. Biasalah apabila datang bulan ini, akan mengembalikan nostalgia lama betapa khurafatnya bangsa kita menyambut bulan Safar khususnya pada tahun-tahun 50an dan 60an. Ada kelompok bangsa kita beramai-ramai ‘mandi safar’ di sana dan di sini kononnya ‘mandi tolak bala’. Maka gegak gempitalah anak-anak buah berpesta ria. Bercampur baurlah lelaki dan perempuan di tepi-tepi pantai, sungai dan sebagainya untuk merayakannya. Dalam mengenang bulan Safar ini moleklah sangat kita mengucapkan syukur ke hadrat Allah Yang Maha Berkuasa yang akhirnya telah menghapuskan adat istiadat sesat itu apabila pihak berkuasa mengharamkan sambutan sedemikian rupa.
Kami di majalah Hidayah ini tetap menemui anda sebagaimana biasa dengan mengemukakan beberapa kisah iktibar dan rencana yang ‘wajib’ anda baca. Anda yang berniat untuk ‘mati’ dalam keadaan yang baik hendaknya membaca kisah iktibar bertajuk “Meninggal Saat Berzikir”. Hendaknya kita juga dimatikan dalam keadaan sedemikian malah jika diperkenankan Allah, Malaikat Maut menjemput kita ketika sedang bersolat, InsyaAllah.
Kami juga mengambil kesempatan di sini mengucapkan terima kasih atas sokongan yang berterusan dari pembaca. Mahunya apabila anda membaca Hidayah, ada ‘berkat’ dan ‘pahala’nya kerana anda menyokong sebuah penerbitan majalah yang bercorak dakwah. Akhir kalam untuk keluaran kali ini suka saya petik kata-kata Abul Laits Assamarqandi yang menyatakan: “Hilangkan rasa menyesalmu dengan memikirkan maut yang akan tiba pada dirimu sendiri seakan-akan telah tiba, sebab seorang yang jika berfikir bahawa ia sendiri akan mati maka tidaklah bersedih, sebab kesedihan tidak dapat menolak maut bahkan akan menghilangkan pahala musibah. Sesiapa yang mengeluh samalah seperti mengadu Tuhannya dan seperti menolak takdirnya.”
Kita berjumpa lagi dalam keluaran akan datang.
Wassalam!
Pengarang
Shahimisaifulislam@yahoo.com.my
Wednesday, February 9, 2011
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment